Buli Mental

Ejekan merupakan salah satu bentuk buli yang sangat teruk kesannya kepada seseorang kerana ia tidak hanya melukai hati malah perlahan-lahan mencederakan jiwa dan merosakkan akal.

Kata-kata ejekan yang diulang-ulang, walaupun nampak remeh pada pandangan orang luar, mampu menusuk jauh ke dalam fikiran mangsa. Lama-kelamaan, ejekan itu menjadi bisikan halus yang menghantui, mengganggu emosi dan keyakinan diri.

Luka di tubuh dapat diubati, walaupun ada parut yang tinggal namun ianya tidak berasa sakit bila disentuh. Luka di hati, walaupun tidak berdarah namun kesannya akan terasa sampai bila-bila apatah lagi ianya melibatkan orang terdekat.

Kesan buli mental tidak berlaku serta-merta. Ia meresap perlahan dalam diri seperti racun yang tiada penawar. Tidur mereka terganggu oleh mimpi-mimpi yang penuh dengan wajah dan suara si pembuli. Setiap ejekan, bunyi ketawa, walaupun dari jauh, mampu mencetuskan rasa cemas yang tiba-tiba. Ada yang mula kemurungan, memencilkan diri, mengelak daripada bergaul kerana takut kata-kata yang menyakitkan itu akan berulang lagi.

Dalam diam, mereka membina tembok untuk diri sendiri, bukan untuk melindungi diri daripada dunia luar tetapi untuk menyembunyikan luka yang mereka rasa orang lain tidak akan faham.

Lama-kelamaan, tembok itu menjadi penjara dan mereka menjadi tahanan kepada trauma sendiri. Hilang empati dan payah untuk menyayangi orang lain.

Paling berbahaya, ada yang mula percaya bahawa kata-kata ejekan itu adalah kebenaran. Mereka menilai diri melalui kaca mata pembuli, sehingga hilang rasa harga diri.

Daripada sinilah sejarah hitam dalam hidup bermula satu langkah kecil ke arah rasa putus asa dalam kehidupan. Jika tidak dihentikan, ia boleh membawa kepada kehilangan yang tiada gantinya.

Mereka yang mental dan jiwanya yang sudah koyak akan mudah berasa putus asa kerana kesan buli mental yang mereka hadapi satu masa dahulu. Mereka takut untuk melangkah keluar daripada ‘tembok penjara’ yang mereka bina. Mereka sukar untuk menerima pendapat atau nasihat orang lain kerana bagi mereka semua itu merupakan ejekan, sindiran atau cemuhan orang kepada mereka. Sedangkan mereka tidak sedar bahawa teguran atau nasihat itu adalah untuk kebaikan mereka.

Mereka selesa hidup dalam kelompok yang mereka cipta sendiri. Mereka akan merasakan setiap kata-kata orang lain itu adalah sindiran atau hinaan kepada mereka jika kena tepat pada sejarah silam mereka sedangkan kata-kata itu ditujukan kepada orang lain, bukannya kepada mereka.

Bayangkan jika mereka itu merupakan ahli keluarga kita. Adakah sanggup kita hidup dengan orang seperti ini seumur hidup kita? Pantang di tegur akan bergaduh. Hidup nak menang jer dalam setiap perkara, kuat melawan (kesan daripada tekanan mental sebab sering diejek) untuk pertahankan pendapat sendiri walaupun dia tahu dia salah (tapi biasanya orang macam ni susah nak terima kesalahan sendiri).

Jadi untuk mengelakkan semua ini berlaku kepada generasi kita, marilah sama-sama kita hindari si pembuli ini dengan bijak kerana kita tidak mampu mendidik anak orang lain untuk menjadi baik.

Dalam menghadapi ancaman buli mental, peranan ibu bapa amat penting. Anak-anak perlu diajar bahawa kata-kata orang lain tidak menentukan nilai diri mereka. Sejak kecil, mak ayah boleh menanam keyakinan bahawa setiap anak adalah istimewa dengan kelebihan masing-masing supaya ejekan yang datang dari luar tidak mudah menembusi benteng hati mereka.

Mak ayah perlu menjadi tempat anak meluah tanpa takut dihakimi. Setiap cerita yang anak bawa, walaupun nampak kecil, adalah petunjuk bahawa mereka sedang mencari perlindungan. Dengarkan dengan penuh perhatian, peluk mereka dan berikan kata-kata yang positif.

Didikan emosi juga penting untuk mengajar anak membezakan antara kritikan membina dan kata-kata yang berniat jahat. Latih mereka untuk tidak membalas dengan kebencian, tetapi dengan ketegasan dan keyakinan diri. Sokongan mak ayah yang konsisten akan membantu anak membina “tembok dalaman” satu perisai yang melindungi emosi mereka daripada runtuh walaupun dihentam oleh ejekan berulang kali.

Apa yang paling utama, mak ayah sendiri perlu menjadi contoh. Cara mereka bercakap, bergurau dan mengurus konflik akan menjadi cerminan kepada anak. Anak yang membesar dalam rumah yang penuh kasih sayang, hormat dan sokongan akan lebih kebal daripada terjahan kata-kata yang ingin menjatuhkan mereka.

Mulakan dengan pengiktirafan diri.
Ajar anak kenal kekuatan dan kelemahan mereka supaya mereka tidak percaya bulat-bulat kepada ejekan si pembuli.
Gunakan ayat positif seperti memuji setiap usaha anak supaya mereka tidak mudah rapuh dengan ejekan atau sindiran si pembuli.

Bina ruang selamat untuk berkongsi
Jadikan rumah sebagai tempat anak bebas bercerita tanpa takut kena marah.
Bila anak meluah, mak ayah dengar dulu sebelum memberi nasihat.

Ajarkan bahasa emosi
Latih anak untuk kenal, tunjuk atau nyatakan apa yang mereka rasa contohnya marah, sedih, kecewa, takut supaya mereka tidak menyimpan perasaan itu di dalam hati dan akan menjadi racun kepada jiwanya.
Anak yang kenal emosinya lebih mudah mengawal tindak balas setiap perbuatan di sekelilingnya.

Latih teknik perlindungan mental
Ajar anak mengabaikan ejekan dengan fokus pada suara hati yang positif. Contohnya : Orang boleh kata apa saja, tapi aku kenal siapa aku.

Tunjukkan cara mengurus konflik dengan tenang.
Ajar anak cara menjawab ejekan tanpa emosi melampau. Gunakan nada tegas tetapi bukan dengan kemarahan.

Kukuhkan nilai agama dan moral
Benteng yang paling kukuh adalah iman dan takwa.
Ajar anak bahawa kelebihan atau kekurangan diri mereka tidak terletak pada pandangan manusia. Abaikan setiap cemuhan atau kata-kata yang tidak membina. Belajar terima teguran dengan tenang.

Pantau perubahan tingkah laku
Jika anak mula murung, hilang minat atau suka menyendiri, segera bertindak.
Bincang, beri perhatian atau dapatkan bantuan kaunselor jika tidak mampu tangani sendiri.

Ajarkan seni bela diri sebagai pertahanan diri. Daftarkan anak dalam kelas seni bela diri seperti silat, taekwondo atau karate.
Fokus kepada disiplin, kawalan diri dan teknik melepaskan diri jika terancam.

Ingatkan anak, bela diri hanya digunakan untuk melindungi diri apabila benar-benar perlu.

Wahai para pembaca yang saya hormati…
Anak-anak ibarat tanah subur apa yang kita semai, itulah yang akan tumbuh. Jika kita siram dengan kasih sayang, keyakinan dan perlindungan, mereka akan membesar menjadi pohon yang teguh walau badai datang menghempas. Tetapi jika kita biarkan mereka disirami ejekan dan hinaan, akar mereka akan rapuh dan dengan hanya sedikit angin yang datang, mereka akan tumbang.

Kita tidak mampu membendung budaya buli tetapi kita mampu membina benteng dan benteng pertama adalah bermula di rumah. Jadilah suara yang menenangkan ketika dunia mereka bising dengan cacian. Jadilah pelukan yang menghangatkan ketika hati mereka mula membeku. Jadilah cahaya yang memimpin mereka keluar dari kegelapan kerana seseorang yang tahu dirinya berharga tidak akan mudah luluh oleh kata-kata manusia.

Kepada yang pernah di buli mentalnya satu masa lalu, bangkit lah. Cuba pecahkan tembok yang ada disekeliling kamu. Saya tahu ianya tidak mudah kerana saya pernah duduk di sisi kamu. Cuba terima dunia luar. Jangan mudah terasa dengan kata-kata di sekeliling kamu kerana bukan kamu tajuk utama mereka. Mereka pun tak tahu tentang sejarah hitam kamu. Mungkin kebetulan sahaja apa yang mereka cerita itu kena pada kamu. Berlapang dada dan cari harga diri sendiri.

Ingat…!! Harga diri kita tidak pernah ditentukan oleh lidah manusia, tetapi oleh Allah yang mencipta kita. Kepada setiap jiwa yang pernah terluka oleh ejekan, ketahuilah, luka itu bukan tanda lemah, tetapi bukti bahawa kamu pernah bertahan.

Jika kita dilahirkan dengan kekurangan atau kelebihan, pasti ada asbab Allah jadikan kita begitu. Setiap yang Allah kurniakan kepada kita samada kelebihan ataupun kekurangan semuanya ada manfaatnya…

Dalam hidup, setiap apa yang Allah letakkan pada kita sama ada ia nampak sebagai kelebihan atau kekurangan semuanya datang dengan tujuan.

Firman-Nya:

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.
(Surah Al-Baqarah 216)

Rasulullah ﷺ juga mengajar kita bahawa setiap perkara yang menimpa seorang mukmin adalah baik baginya jika dia bersyukur ketika senang, itu baik; jika dia bersabar ketika susah, itu juga baik.

Kadang-kadang, kita hanya nampak serpihan kecil daripada rancangan besar Allah. Tapi bila tiba masanya, kita akan sedar… bahkan kekurangan yang kita bawa selama ini sebenarnya adalah hadiah yang dibungkus rapi dengan hikmah yang belum terbuka.

Jadi… Jika ada yang mengejek kekurangan dan kelemahan kita ingat balik surah Surah Al-Baqarah ayat 216…

Tidak ada yang diciptakan Allah SWT tanpa hikmah yang membawa kepada kebaikan.

– Mayang Sari Tulis (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

7 Comments

  1. Petik nama is very rude apatah lagi buat keuntungan. Kalau hal berkaitan diri anda disebut (bukan nama pun) maksudnya anda kena tarik masuk dalam hal orang lain yang tidak berkaitan. Walaupun itu bukan hal anda.

    Tak semua orang suka terlibat dalam hal orang lain walaupun letak disclaimer. Rasa maklumat disalahguna. Rasa macam menyokong satu pihak yang kita tak sokong langsung pun. Rasa macam ada good rapport walaupun takde rapport langsung.

    Ada orang siap ambil keuntungan atas tragedi orang lain dengan membuat merchandise etc.

    Apa pendapat anda tentang orang begini? Saya rasa speechless sebab sudah over sangat. Nak kata buli atau kenapa terasa pun tak boleh sebab memang salah guna maklumat orang lain.

    Anda rasa wajar ke misalnya menulis sesuatu dan gunakan nama semua orang di sekeliling tanpa mereka tahu pun untuk perkara-perkara yang seremeh hal cinta. Nama is very obvious. Appropriate ke kalau orang tu mak anak kecil misalnya. Pastinya mereka lebih sesuai dengan cerita berkaitan ketuhanan, hal belajar, anak sekolah, hal perlindungan kanak-kanak, bukan cerita feelings entah ke mana yang bukan kerana Allah SWT.

    Sedih betul bila mereka sudah meninggal (ada juga ibu-ibu muda lagi sudah dijemput Ilahi) dan yang disebut orang bukan hal kasih sayang ibu dan anak tetapi hal cinta. Tidak hormat terhadap anak kepada ibu tersebut. Mengambil keuntungan pula tu super keji.

    Ini bukan buli, ini salah guna maklumat orang lain untuk keuntungan.

  2. Anda pun tahu kan nasihat orang dahulu kala berhati-hati dengan orang yang berpura-pura mengenali ibu atau bapa anda. Takut menjadi cara untuk dekat kepada anda untuk sebarang niat yang kita tak tahu. Salah satu cara orang berpura-pura kenal ibu bapa adalah dengan sebut nama seolah-olah mereka ada kebenaran untuk menyebutnya. Eh nama ibuku disebut dalam buku cerita itu, mesti orang ini baik dengan ibuku. Silap! Itu mungkin taktik untuk pergi dekat kepada anda.

    Berhati-hatilah. Tidak semua buli itu anda je rasa kalau orang lain pun fikir ini tidak kena (seperti guna maklumat peribadi untuk keuntungan). Tak kisahlah ia tentang anda ke, tentang orang lain ke anda tak berkaitan ke. Pokok pangkalnya your data is being misused. Cukup faham perkara itu.

  3. Ada orang kena matchmake, kena pair up, kena itu ini, kena jadi target padahal itu bukan dia, yang mereka tak tahu pun rupanya itu berlaku. Diri sendiri tak tahu sampai orang lain yang cakapkan. Buli ke sengaja. Bila orang meninggal kerana dibuli oleh mob mentality (orang komen dia pun komen, yang ni masuk, yang tu batu api, yang tu ajinomoto, yang ni tambah cerita baru, yang ni reka cerita, yang ni orang cerita pasal orang lain dia tanya orang lain) awak nak ambil tanggung jawab ke? Saya tanya je.

  4. Ia sama je lebih kurang kalau orang hack akaun social media awak baca conversation harmless ditulis sesama kawan, di ambil info tu diolah semula berpusing 360 darjah sehingga yang membaca tu kata rasanya lain saya baca hari tu. Itu buli jugalah sebab penciptaan perkara tidak wujud.

  5. Siapa kata buli tak boleh dibendung? Pesan dekat anak jangan membuli, jangan exploit maklumat orang. Kalau itu pun tak boleh buat jadi parents buat apa?

  6. Bila suka mereka cerita patut semua pun direka, jangan sampai nama diguna buat orang tertanya. Esok ibu dah meninggal misalnya anak mungkin tertanya kenapa dalam buku saya baca ni ditulis orang kenal mak saya, ada nama mak saya????

    Kenapa nak buat begitu pada anak tu? Tak boleh ke bagi hidup dia dalam ketenangan fikiran? Dah habis ke nama boleh direka dalam dunia ni?

  7. Saya pernah jumpa seorang ni dia ada mindset yang berbeza. Kalau TT kata “luka di tubuh tinggal parut dan dah tak rasa sakit bila disentuh, luka di hati kesannya sampai bila2”,
    orang tu pula ada mindset “Takpelah di buli mental pun asalkan bukan fizikal. Sebab fizikal nanti kot terpatah kaki ke tangan ke pecah kepala ke, dah tak dapat berjalan/bergerak buat kerja sampai bila2.. Kalau buli mental ni boleh masuk telinga kanan keluar telinga kiri lagi. Tak perlu pedulik orang camtu yang sebenarnya penakut dan cara nak dapat kekuatan adalah dengan mengejek orang. Dan aku ada Allah untuk mengadu.”

    Dan sekarang dia memang mental sangat kuat. Orang nak bergosip ke mengata mengejek dia memang dia buat dek je (atau kadang2 dia layankan je gelak2 sebab malas nak dragging). Saya pun banyak belajar dengan cara dia. Sebab betul juga apa dia cakap, risau juga kalau dibuli fizikal ni. Contoh ada orang suka buli dengan cara prank tarik kerusi bila kita nak duduk. Tau2 je kita terjatuh habis patah pinggang pastu lumpuh. Kan banyak kes macam tu kat sekolah? Nauzubillahi min zalik

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *