Semuanya bermula dari salah satu aplikasi cari jodoh.
Perkenalkan, nama aku Razak, 34 tahun. Aku berkenalan dengan seorang perempuan yang aku namakan sebagai Siti. Siti 32 tahun. Kerja sebagai Cikgu SK di borneo.
Macam yang aku cakap tadi, melalui aplikasi cari jodoh aku dan Siti berkawan selama sebulan, kemudian kami berjumpa secara bertatap muka. Aku tinggal tak jauh dari tempat dia bekerja.
Masa hari kami berjumpa, aku ajak adik perempuan aku temankan untuk elak sebarang fitnah yang mungkin orang akan termakan, dan Siti juga sudah maklumkan kepada family dia yang berada jauh di semenanjung.
Setelah sebulan kami berjumpa bertatap muka, bertentang mata, giliran keluarga kami pula untuk saling jumpa dan buka bicara, namun hanya sebatas maya. Alhamdulillah hasilnya positif.
Perjumpaan kedua pula bakal diaturkan untuk jadi pemutus kata. Nilai hantaran sudah saling setuju, boleh kata proses hubungan kami ni bergerak laju.
Dalam tempoh menunggu untuk atur perjumpaan kedua, kami masih saling chat dan bergurau senda.
Oh ya, kami tak pernah call cuma chat sahaja sepanjang berkenalan. Kadang dia voice note bila bercerita panjang tentang pengalaman.
Aku beri ruang sebesarnya untuk dia sentiasa jujur, itu yang aku selalu pegang dan tekankan sebelum rancang semua perkara yang kami sudah atur.
Aku beri dia kebebasan untuk chat ikut masa yang dia ada, tak pernah aku bertanya atau marah bila dia tak balas chat ataupun balas lambat. Sebab aku faham tugasan dan kerja dia yang mungkin banyak menghambat.
Tapi rupanya itu jadi liabiliti pada aku, kerisauan yang menyelimuti kerinduan terkadang menjadi kegelisahan bila dia lambat balas.
Aku cuba positif mungkin dia sibuk mungkin juga malas. Ye lah, perempuan kadang moodnya aneh juga, tambah bila datang purnama sepertiga (haid). Aku faham dan aku diam.
Kadang aku juga akan berfikir samada dia berubah hati atau pun sudah mati rasa, sebab semakin lama dia bukan seperti yang biasa.
Dalam tempoh itu, kami sudah banyak bincang soal kahwin dan masa depan, ada yang sama-sama win ada yang kami simpan. Akan sambung bincang kemudian hari, kononnya bila bergelar raja sehari.
Semakin hari dia semakin menjauh, itu yang aku perasan bila dia chat sikit-sikit dan tanpa perasaan. Aku bodoh tak bertanya sebab masih fikir dia mungkin sibuk dengan kerjanya.
Hinggalah dia sendiri yang tiba-tiba bagitahu dia tidak dapat teruskan hubungan sebab alasan yang tiba-tiba muncul yang tak pernah pun dia sebut. Iaitu soal restu keluarganya.
Aku sejak awal sudah tekankan soal kejujuran, dan buka seluasnya ruang untuk dia jujur, tapi eh malah dia memilih untuk kabur (lari) tanpa beri penjelasan awal. Terus putus macam tu je.
Aku okay je kalau dari awal dia jujur, tapi dia sendiri mengaku dah lama pendam, walhal aku dah nasihat jangan suka pendam nanti jadi dendam.
Bukanlah aku nak kata aku berdendam, tapi apa yang dia buat tu memang menyakitkan hati dan risiko untuk ruang dendam tu ada.
Dan sejujurnya aku tak sakit hati sangat kalau dia jujur dari awal tentang perasaan dan sebab-sebab lain yang dia nyatakan untuk putuskan hubungan, soal jarak dan sebagainya.
Awal-awal lagi benda tu masing-masing dah nampak, kenapa baru sekarang dia baru fikir? Itu tandanya dari awal memang dia tak serius pun untuk jalin hubungan, cuma mungkin rasa syok dengan moment-moment sweet dalam hubungan.
Bila makin serius, baru dia rasa benda tu sebenarnya akan ubah hidup dia, kacau keselesaan yang dia nikmati sekarang.
Sebab memang dia jenis orang yang belum matang untuk masuk dalam fasa perkahwinan. Ini bukan aku yang memandai-mandai, memang dia akui sifat personaliti yang dia ada, rupanya itu yang pengaruhi cara fikir dia.
Sebab itulah aku letak tajuk ada Gpt. Iaitu bila aku tanya ChatGpt tentang sifat personaliti yang dia akui ada tu, sangat bertepatan dengan diri dia bila aku semak kembali chat lama kami.
Sifat people pleaser dan avoidant attachment. Aku pun pertama kali tahu tentang sifat ni.
Setelah seminggu dia putuskan hubungan, dia blok aku, aku sedih juga lah, tapi dalam masa yang sama sibuk mengkaji dan membaca tentang dua sifat itu.
Tentang itu, aku sangat berterima kasih lah pada dia sebab aku belajar sesuatu tentang sifat manusia yang patut aku elak bila jumpa orang baru nanti.
Pesan aku buat Siti, kalau dia terbaca: belajarlah untuk jujur dan matang dalam hubungan. Jangan mangsakan orang lain dengan sifat sendiri. Jumpalah kaunselor, demi masa depan kau juga.
Terima kasih kerana ajar aku sesuatu, walau dengan cara yang menyakitkan.
– Razak, si peniaga kedai runcit (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit