Indah Pada Waktunya

Semakin aku meniti usia, semakin aku belajar satu perkara yang sangat besar — aku tak lambat, aku tak tertinggal… aku cuma sedang berada di waktu dan tempat yang paling tepat untuk aku.

Dulu, aku pernah persoalkan kenapa Tuhan tak makbulkan apa yang aku minta. Kenapa doa aku macam tak naik ke langit. Kenapa semua benda yang aku impikan seakan menjauh. Tapi sekarang, aku mula faham… semua tu bukan penolakan, tapi perlindungan.

Aku bukan pelajar cemerlang — bukan juga yang tercorot. Aku berada di tengah-tengah.

Anak sulung dalam keluarga yang sederhana tapi penuh kasih sayang. Mak ayah aku mungkin tak berpendidikan tinggi, tapi cara mereka membesarkan aku sangat luar biasa.

Keluarga besar aku? Gila best. Aku rapat dengan semua — suara gelak tawa, aktiviti karaoke, makan sama-sama, semua tu masih hidup dalam memori.

Bakat dan minat aku pun lahir dari suasana tu. Aku main gitar, aku menyanyi, sebab aku terinspirasi dengan persekitaran aku.

Impian aku dulu besar — nak jadi doktor, belajar kat SBP, sambung ke luar negara, mungkin Al-Azhar. Tapi lepas PMR, keputusan tak menyebelahi aku. Frust? Tipu kalau tak. Tapi itulah titik mula aku belajar erti reda.

Masa kawan-kawan masuk sekolah idaman, aku ditempatkan ke sekolah teknik. Menangis? Ya, malam pertama pun dah banjir bantal.

Tapi siapa sangka, kat situ aku jumpa bahagia. Kawan-kawan yang satu kepala, pengalaman yang tak mungkin aku tukar dengan apa-apa… termasuklah first love aku, yang sekarang dah kahwin dan ada dua anak (ok ni part kelakar sikit hahaha).

SPM pun aku habiskan dengan keputusan yang boleh aku banggakan. Masa tu aku fikir, “Kalau la Allah makbulkan doa aku nak jadi doktor dulu… mungkin ramai nyawa melayang sebab aku memang tak boleh bawa aliran tu.” Hahaha.

Allah tu Maha Tahu. Dia cipta aku, Dia kenal aku lebih daripada aku kenal diri sendiri.

Lepas SPM, aku tukar hala tuju. Masuk politeknik ambil kewangan & perbankan Islam. Waktu diploma, aku aktif dan seronok gila belajar. Anugerah Ketua Jabatan tiga semester berturut-turut.

Bila sampai masa praktikal, aku aim tinggi — nak masuk institusi macam Tabung Haji, BSN, Bank Rakyat. Tapi tiada satu pun panggil. Aku down gila, terus call ibu. Dan seperti biasa… ibu tenangkan.

Dia cadangkan aku cuba hantar dekat Tabung Haji cawangan kampung. Dan ajaibnya, kat situlah rezeki aku.

Aku dapat tempat praktikal impian, dekat dengan keluarga, dan rasa tenang. Masa tu ibu dah sakit — kanser tahap 3. (Al-Fatihah untuk arwah ibu — dah masuk tahun ke-7 pemergiannya.)

Lepas praktikal, rezeki terus mengalir. Aku tak sempat pun menganggur, terus dapat kerja kontrak dengan salah satu kementerian.

Rezeki besar aku masa ni adalah — aku dapat temani ibu ulang alik ke hospital. Jarak antara office dan hospital IKN cuma 10 minit. Allah susun cantik. Betul-betul cantik.

Ibu pergi pada tahun 2019. Kehilangan tu dalam. Tapi aku tahu, aku dah buat yang terbaik untuk dia.

Lepas beberapa tahun kerja, aku mula rasa hidup aku flat. Macam tak berkembang. So aku mula cari kerja lain.

Dan alhamdulillah, aku dapat kerja tetap yang sesuai dengan aku. Rezeki makin luas.

Aku dah travel ke banyak tempat, kenal budaya baru, rasa syukur tu makin menebal. Umrah pun aku dah sampai masa muda. Allah makbulkan bila tiba waktu yang terbaik.

Sekarang ni? Doakan jodoh aku pulak ya. Hahaha.

Kalau kau baca sampai habis, aku nak pesan satu je — percaya lah… semua ni akan indah pada waktunya.

– Aleena (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *