Aku dilahirkan dalam sebuah keluarga yang boleh dikatakan cukup. Cukup dari segi makan, cukup dari segi tempat tinggal, dan cukup dari segi kasih sayang.
Ayah aku, seorang lelaki yang sangat bertanggungjawab. Sejak kecil, aku sering melihat dia bangun awal pagi, pergi bekerja, dan pulang lewat malam.
Ayah bekerja sebagai Pengarah di sebuah syarikat besar, jadi pendapatan beliau memang lebih daripada cukup untuk menyara kami sekeluarga. Walaupun gaji ayah agak tinggi, dia tidak pernah menunjuk-nunjuk. Kami hidup dengan cara yang sederhana. Tidak ada yang mewah, namun cukup bahagia.
Mak pula seorang wanita yang penyayang dan sentiasa ada untuk kami. Walaupun bekerja, mak pandai menguruskan rumah tangga. Dari segi pendidikan, mak selalu menekankan supaya kami belajar dengan rajin. Katanya, “Pendidikan itu kunci untuk masa depan.”
Aku, kakak, dan adik lelaki dibesarkan dengan nilai-nilai keluarga yang baik. Ayah dan mak selalu berpesan, “Kita tak perlu banyak, yang penting cukup dan hidup aman.”
Namun, ada satu perkara yang aku rasa kurang dalam hidup aku—ayah tak pernah cerita banyak tentang keluarganya di kampung. Walaupun kami pulang ke kampung, jarang sekali ayah bercakap tentang keluarganya.
Ayah ada seorang adik lelaki, pakcik aku, yang tinggal di kampung. Kami dan sepupu-sepupu hampir sebaya, tetapi hubungan kami dengan mereka tidaklah begitu rapat.
Apa yang aku tahu, kehidupan pakcik aku jauh berbeza dengan ayah. Kehidupannya sederhana dan banyak cabaran, berbeza dengan ayah yang nampak berjaya di kota.
Sebahagian sepupu aku memang cemerlang dalam pelajaran, tetapi ada juga yang kurang bernasib baik. Kadang-kadang, pakcik akan menghadapi masalah kewangan dan ayah akan membantu.
Mak selalu berkata, “Ayah kamu memang jenis yang tolong keluarga. Itu tanggungjawab dia.” Tetapi, mak tidak pernah menjelaskan lebih lanjut. Aku rasa pelik.
Aku suka melihat sikap ayah yang suka membantu. Kadang-kadang, dia akan menyelitkan duit ke dalam kocek pakcik ketika bersalaman. Tetapi, ada satu perkara yang mula buat aku rasa tak adil. Aku mula rasa kekok apabila ayah mula membayar yuran sekolah dan universiti sepupu-sepupu aku.
Pada waktu itu, aku sedang di universiti. Yuran pengajian dan duit poket memang ayah bagi, tetapi kadang-kadang ada keperluan tambahan seperti kelas khas, aktiviti persatuan, atau peralatan baru yang aku perlukan. Ayah akan susah hati untuk memberi lebih. Ayah bagi, tapi susah.
Akhirnya, aku terpaksa bekerja sambilan untuk menampung kos tambahan. Aku tahu ayah tak mahu memberi terlalu banyak wang kepadaku kerana dia mahu aku belajar berdikari. Namun, bila aku tahu ayah boleh membantu sepupu-sepupu, aku rasa macam ada sesuatu yang tak kena. Aku anak dia!
Aku tak pernah berbincang dengan ayah tentang perasaan ini, tetapi dalam hati aku sedikit terguris. Setiap kali aku minta duit untuk membeli baju, kasut sukan, atau bayaran tambahan di kampus, ayah hanya memberi apa yang perlu. Tidak lebih.
Aku faham bahawa ayah mahu aku berjimat dan tidak terlalu bergantung pada duit, tetapi kenapa dalam masa yang sama dia memberi lebih kepada sepupu-sepupu? Mereka bukan hidup mewah, tetapi kenapa ayah lebih banyak memberi kepada mereka berbanding kami?
Aku mula berfikir, apakah ayah lebih pentingkan mereka? Mungkin kerana mereka tidak memiliki peluang sepertimana kami?
Tetapi, dalam hati aku, ada rasa ketidakadilan. Kenapa kami, anak-anak kandungnya, terpaksa berusaha lebih? Terpaksa makan mee segera sementara sepupu-sepupu hanya fokus belajar tanpa perlu bekerja sambilan seperti aku. Kadang-kadang, aku penat bekerja, kelas pon hampir tak pergi.
Suatu hari, aku balik ke rumah dan ceritakan perasaan ini kepada kakak aku. Kakak aku lebih matang, lebih sabar, dan lebih tenang. Aku berharap dia boleh memberi aku jawapan yang dapat menghilangkan rasa tidak puas hati ini.
“Kenapa ayah selalu bantu diorang? Kenapa dia tak bagi kita lebih? Kita bukan nak mewah, tapi sekurang-kurangnya taklah susah sangat,” aku tanya dengan nada yang sedikit marah.
Kakak aku pandang aku dengan penuh ketenangan. “Erin, kau kena faham. Ayah kita bukan jenis yang tunjukkan segala-galanya. Mungkin dia nak kita belajar sesuatu daripada apa yang dia buat. Kita tak nampak, tapi dia sentiasa buat yang terbaik untuk kita.”
Aku sedikit tercengang. “Tapi… kenapa dia lebih banyak tolong mereka? Mereka tak perlu pun cari kerja sambil belajar.”
Kakak aku menghela nafas panjang. “Ayah mungkin nak kita belajar sesuatu, Erin. Dia tak nak kita terlalu bergantung pada duit. Kalau dia beri lebih, mungkin kita akan jadi lalai. Dia mahu kita faham bahawa hidup ini bukan semudah yang kita sangka. Setiap yang kita peroleh, perlu ada usaha.”
Aku masih tidak faham sepenuhnya. Aku tahu apa yang kakak aku cakap ada benarnya, tetapi kenapa ayah buat semua ini dengan cara yang mungkin aku tak faham?
Kenapa dia tidak boleh bantu kami seperti mana dia bantu sepupu-sepupu? Kenapa kami, yang ada di depan mata, perlu bekerja keras untuk mendapatkan apa yang kami perlukan? Rasa macam kera di hutan disusukan, anak di rumah sakit tak makan.
Suatu hari, aku balik ke kampung bersama ayah. Aku hanya mengikut sahaja. Ayah mengajak kami makan bersama di rumah pakcik. Sepupu-sepupu semua ada.
Aku melihat kehidupan mereka—walaupun sederhana, ada kebahagiaan yang lain. Walaupun mereka tidak kaya, mereka tampak puas dengan apa yang mereka miliki. Kami makan dengan sederhana, dan aku tidak tahu kenapa, tetapi aku rasa seperti ayah gembira melihat mereka bahagia.
Aku masih terfikir, kenapa? Apa yang ayah cuba sampaikan?
Selepas makan, aku duduk bersama ayah. Aku bertanya dengan lembut, “Ayah, kenapa ayah selalu bantu pakcik? Kenapa ayah lebih banyak bantu sepupu-sepupu daripada kami?”
Ayah senyum, tetapi senyuman itu seperti menyimpan seribu rahsia. Dia hanya menjawab, “Setiap orang ada caranya. Bantu keluarga itu tanggungjawab. Kadang-kadang orang tak nampak apa yang kita buat. Ayah mungkin tak tunjuk, tapi semua ini untuk kamu semua.”
Aku terdiam. Aku tahu dia tidak mahu menjawab lebih lanjut, tetapi aku masih tidak dapat jawapan yang aku cari.
Kenapa ayah sangat ingin membantu sepupu-sepupu? Apa yang dia harapkan daripada semua ini? Adakah dia mahu kami jadi lebih kuat, lebih berdikari, atau ada sesuatu yang lebih besar yang aku tak nampak?
– Erin (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit