Salam perkenalan semua, terima kasih admin siarkan cerita aku.
Pengenalan singkat, aku Kelam, anak tunggal perempuan dalam 4 beradik dan aku membesar tanpa tahu apa yang aku lihat itu selalunya bukan manusia.
1. RUMAH NENEK
[BUAIAN]
Semasa kecil, aku suka tinggal lama di rumah nenek. Rumah nenek sejuk dan lapang, terletak di atas cerun hujung jalan dan berjiran dengan tapak kosong di belakang rumah.
Setiap kali datang, akan ada seorang kakak yang akan tegur aku, manis senyumnya, tapi hanya suka berdiri sebelah kawasan pokok pisang dan nangka.
Aku tak ambil pusing, sebab kakak tak pernah ganggu aku, hanya senyum tanda hadir dan selalu teman aku dan sepupu main di kawasan halaman rumah nenek.
Aku hanya tahu itu bukan ‘kakak’ biasa bila kami semua membesar dan berkumpul Kembali di rumah nenek selepas nenek meninggal. Aku dan sepupu jalan-jalan di sekitar halaman nenek sambal mengingat memori kami main bersama sewaktu kecil.
“Kelam ingat tak buaian ni?” tunjuk salah seorang sepupu aku pada buaian yang sudah lusuh dan rosak, “Kelam selalu tak bagi yang lain duduk sebab ada kakak tak bagi duduk sekali dengan dia. Padahal Kelam sorang je main buaian tu.” katanya sambal tertawa kecil.
Aku diam..
Dari situ baru aku tahu, hanya aku yang nampak kakak, dan buaian tu terletak betul-betul sebelah satu pokok pisang. Aku bergegas masuk dalam rumah dan pura-pura mahu ke tandas.
[TINGKAP DAPUR]
Tingkap dapur rumah nenek menghadap ke tapak kosong belakang rumah. Aku ingat waktu ni kawasan itu masih penuh dengan semak samun, belukar dan pokok-pokok liar.
“Kelam, kenapa lama sangat kat dapur tu?” Aku dengar Bonda menegur aku dari belakang sambil mengambil botol susu adik yang ada di tangan aku.
“Risau bonda, ingatkan Kelam jatuh panjat sinki sebab tak sampai nak amik botol adik.” Bonda terus keluar dari dapur dengan botol adik selepas pastikan yang aku tidak apa-apa.
Aku diam..
Sebab aku nampak ada makcik di luar tingkap dengan tangan panjang masih mengetuk tingkap dapur nenek. Aku lama di sinki dapur sebab aku ‘bersembang’ dengan makcik tersebut.
‘Dia’ minta aku bukakan tingkap minta izin mahu masuk, namum aku tak sampai untuk buka selak tingkap. ‘Kalau Bonda pun nampak makcik tu, mesti Bonda akan tegur, Bonda tak pernah tak tegur orang’ ujarku dalam hati.
Diam-diam aku bergerak keluar dari dapur dan malam itu aku tak boleh tidur. Aku mimpi makcik itu berusaha mencari tingkap atau lubang terbuka untuk masuk ke rumah nenek.
2. SEKOLAH
[PADANG SEKOLAH PETANG]
Aku tak kesah kalua Ayah ambil kami lewat, sebab aku dan kawan-kawan akan habiskan masa main di padang depan Kawasan sekolah. Padang ini dikongsi dengan penduduk taman. Bagi aku, padang ini sangat besar dan banyak tempat yang belum aku explore.
Hampir tiap hari aku dan abang akan balik dengan baju sekolah yang lencun dengan peluh. Abang selalu main bola dengan kawannya di hujung padang, aku dan kawan-kawan akan main sorok-sorok atau ‘pura-pura’ jelajah kawasan hutan.
Hari tu, macam biasa, aku tunggu kawan di depan sekolah untuk main bersama, namun kawan aku tak muncul tiba.
Keesokan harinya, kawanku menegur aku dengan nada separa marah, “Kau pergi mana semalam Kelam? Kenapa kau main dulu tak tunggu kami? Penat kami jerit panggil kau kat seberang padang tapi kau tak toleh-toleh. Apa yang kau main sapai tak dengar suara kami”
Aku diam (lagi).
Hari tu aku pergi ke padang sendiri kerana penat menunggu kawan aku, katanya lama lagi di tandas sakit perut. Kami berjanji akan jumpa di kawasan pokok rendang (satu-satunya pokok yang agak tua dan besar di kawasan padang tersebut).
Aku mulakan ‘pengembaraan’ sendiri, mula naik bonggol kecil yang aku anggap bukit, dan melihat bunga-bunga yang tak pernah aku jumpa sebelum ini bila tiba-tiba aku ditegur oleh dua ‘benda’.
Aku katakan benda kerana satunya tampak normal seperti manusia, kelihatan seperti orang kerdil, namun nampak tua dan bongkok tetapi tidak mengerikan. ‘Pakcik’ itu datang menyapa aku dengan tongkat kayu seperti ranting, “Adik sorang je ke main kat sini, boleh kami main sama?”
Aku teringat Bonda dan Ayah banyak kali menegaskan tentang jaga-jaga dengan orang ang tak dikenali. Namun ini, kawasan padang umum, penuh dengan orang awam yang lain dan aku dapat lihat abang aku main bersama kawannya dari kawasan aku berdiri.
Aku tidak menjawab namun terus meneruskan ‘pengembaraan’ olok-olokku. “Kawan kamu tak datang pun, jom la main dengan kami,” ‘Pakcik’ itu terus mendesak. Aku buat tak tahu sebab aku lihat ‘pakcik’ itu bersama dengan satu lagi benda yang terapung terbang di atas pokok dan mengikut kami.
Aku pura-pura tak dengar sebab waktu itu aku tahu, untuk tidak menegur lagi ‘mereka’. Nenek juga sudah pesan supaya jangan tegur mereka dan kenal mana satu ‘mereka’.
[BENGKEL SEKOLAH]
Sekolah aku sudah sangat lama berdiri, lagi-lagi bengkel di kawasan hujung ceruk sekolah. Seboleh-bolehnya aku mengelak kesana, kerana waktu ini, aku sudah agak tahu membezakan yang mana satu manusia dan mana yang bukan.
Sepanjang di sekolah ini, banyak sangat yang aku lihat, namun cuba aku butakan sebutanya.
“Kelam, tolong letakkan buku ni kat bengkel untuk kelas petang nanti boleh? Ajak kawan sorang, berat kalau nak angkat semua ni.” Guruku berkata sambil menunjuk ke arah timbunan buku latihan untuk subjek petang itu.
Aku akur, dan mengambil separuh daripada timbunan tersebut dan berjalan ke arah bengkel sekolah bersama kawan aku.
“Lepas letak ni, kita terus lari balik tau. Aku takut la, belakang tu orang kata nampak Cik Langsir terbang la, Cik Gula-gula la.” kata kawanku semasa kami turun bukit ke arah bengkel itu.
Sesampainya kami di sana, kawanku mengambil masa untuk membuka kunci pintu bengkel.
“Kelam, kau jangan tinggalkan aku tau, aku takut ni. Lepas ni kau pulak kunci pintu bengkel ni.” petah kawan aku bercakap, mungkin untuk mengurangkan rasa takut kami berdua.
Dari lirik mata, aku lihat ada lembaga hitam lalu lalang dari dalam bengkel, di kawasan belakang pokok ada lembaga lain. Semuanya memandang ke arah aku, ingin tahu jika aku boleh nampak mereka atau tidak.
Sesudah kami meletakkan buku di dalam bengkel, terdengar bunyi ketukan kuat dari pintu bilik bengkel. Aku nampak ada jari panjang dan besar, mengetuk pintu bengkel.
“Lariiiii!!!!” jerit kawanku dan meninggalkanku seorang di dalam bengkel, dengan lembaga tadi yang menghampiriku sambil tersenyum puas, kerana kami takut.
“Boleh nampak ke tak?” Lembaga kuku panjang itu masih bertanya aku dan berdiri tepat di depan muka aku semasa aku mengunci pintu bengkel seorang diri. “Takut ke? Boleh nampak kami kan?” kakak rambut panjang turun dari pokok dan cuba melihat reaksi aku.
Aku cuba tenang dan membaca doa dalam hati. Aku paling tak suka kawasan bengkel, sangat banyak ‘mereka’. Walaupun aku sudah meninggalkan Kawasan bengkel, masih boleh terdengar tawa-tawa ‘mereka’.
[TANGKI SEKOLAH]
Jarang aku tidur lewat untuk menyiapkan kerja sekolah. Siap atau tidak, tidur yang cukup menjadi keutamaan aku. Namun hari itu, aku tidur lewat, leka bersembang dengan kawan aku.
“Teman aku pergi tandas Kelam, sunyi sangat malam ni” kawanku mengajakku ke tandas. Akur, aku bangun dan ikut bersama membawa tuala dan baldi.
“Kau nak mandi ke pagi-pagi ni? Tak awal sangat? Kalau kau mandi, aku ikut sekali, ada teman.”
Bersama kami masuk ke bahagian tandas masing-masing. “Kelam, kau ada situ kan, kau nak cuci baju juga ke? Nanti kau tunggu aku tau. Dah siap mandi pun kau tunggu aku” suara kawanku bergema.
Seusai mandi, aku keluar dari tandas dan menunggu di luar. Selepas hampir setengah jam, aku sudah tak senang duduk, namun bunyi air shower masih kedengaran.
Aku masuk semula ke tandas ingin mengetuk pintu bilik mandi, namun aku lihat pintu terbuka dan kawanku tiada. “Dah tahu ke?” kepala dengan leher panjang muncul di hadapan aku sambil terkekek ketawa.
Aku keras, diam. Aku beranikan diri untuk menutup air shower dan cuba setenangnya keluar dari tandas. “Dalam tandas mana boleh baca doa. Takut kan sebenarnya. Boleh nampak kami kan?” sambung kepala itu lagi mengekor aku keluar dari tandas.
Aku berjalan pantas ke arah bilik dorm aku. Dari dorm kami, akan terlihat tangki sekolah. Dan di situ, aku nampak dengan jelas Cik Langsir terbang turun dari tangki dan menuju ke arah aku.
Aku ketuk pintu dorm, kerana pintu berkunci, sedangkan semasa kami keluar, kami biarkannya terbuka. Esokknya aku tegur kawanku, kenapa dia meninggalkan aku keseorangan di tandas sedangkan aku menunggunya di depan.
“Hah? Mana ada, aku ajak kau tapi kau kata ngantuk. Jadi aku pergi sorang je la.”
Aku diam. Tapi tuala aku masih basah, tanda aku memang mandi awal pagi tadi. Sampai sekarang aku masih terfikir dengan siapa aku bersembang. Adakah aku bermimpi?
Sampai sini dahulu cerita aku. Jika kesampaian akan aku sambung cerita-cerita lain.
Terima kasih membaca.
– Kelam (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit