Semasa kecil, aku dan sepupu-sepupu semua tinggal berdekatan. Setiap hujung minggu, kami sering bermain di halaman rumah atok dan opah, menikmati kasih sayang mereka yang tiada tandingan.
Namun, sejak atok dan opah meninggal dunia, keadaan itu berubah. Pusaka mereka yang sepatutnya mengeratkan kami sekeluarga, malah menjadi punca perbalahan yang panjang.
Belasan tahun sudah berlalu, dan setiap kali kami berjumpa, ada sahaja topik yang tidak dapat dielakkan—pembahagian harta.
Lima Beradik dan Permasalahan
Aku datang daripada keluarga yang sederhana. Mak aku adalah anak kedua daripada lima beradik. Mereka semua mempunyai latar belakang dan personaliti yang berbeza. Terkadang aku pelik, kenapa mereka yang sepatutnya saling menyokong, malah selalu bertegang leher.
Abd Wahab, abang sulung, tinggaldi kampung. Beliau seorang yang berpendirian keras dan sangat mengikut tradisi. Pakcik Wahab menjalankan perniagaan kecil di kampung dan menjadi wakil keluarga. Jadi, dia merasa haknya lebih besar daripada adik-beradik yang lain.
Makcik Ghasidah, mak aku, seorang wanita yang berkerja kerajaan. Cekal dan penuh kasih sayang, dia lebih banyak mengutamakan orang lain, malah jarang menyuarakan ketidakpuasan hatinya.
Beliau sering menguruskan perkara-perkara keluarga dan sentiasa menjadi penengah apabila ada masalah. Namun, tentang harta pusaka ini, dia juga ada pandangannya.
Abd Wahib, adik ketiga, sudah berstatus duda, ada anak-anak remaja. Kehidupan peribadinya penuh dengan pergolakan. Beliau bekas seorang penagih, namun masih belum insaf, dengan kehidupan yang penuh masalah.
Dan walaupun sering memberi alasan atas tindakan-tindakannya, kami semua khuatir jika dia membuat keputusan buruk tentang harta pusaka ini. Nasib baik anak-anaknya di asrama di dalam tanggungan JKM dan Baitulmal
Abd Wahub, adik lelaki bongsu, bekerja sebagai pengurus syarikat di kota. Dia berjaya dalam kerjanya, Seorang yang baik, namun dalam hal harta, beliau sangat tegas. Dia tidak terlalu peduli dengan hal konflik keluarga, beliau mementingkan hak beliau, tak lebih, tak kurang.
Faridah, adik terakhir, seorang guru yang baik hati. Dia yang paling rapat dengan atok dan opah semasa mereka sakit.
Dan walaupun hubungan antara mak aku dan Cik Faridah tidak banyak masalah, cuma bila dia ungkit dia yang jaga awah atok dan opah semasa sakit, kadang-kala ia menimbulkan ketegangan.
Permulaan Isu
Apabila atok dan opah meninggal dunia, banyak perkara yang perlu diselesaikan. Mereka meninggalkan beberapa aset, tanah dan rumah. Namun, apa yang sepatutnya menjadi proses yang mudah, menjadi kacau bilau apabila setiap daripada mereka merasakan hak mereka lebih besar.
Isu pertama yang timbul adalah berkenaan dengan pembahagian.
Sebagai anak sulung, Pakcik Wahab merasakan dia berhak mendapat bahagian lebih, memandangkan dia yang lebih lama tinggal di kampung dan mengambil berat tentang atok dan opah semasa hayat mereka. Namun, dia tidak pernah membantu dalam soal kewangan atau menjaga atok semasa mereka sakit.
Pakcik Wahib, yang On Off mengalami ketagihan, langsung tidak boleh dipercayai. Mak takut dia akan menggadaikan segala harta untuk menampung ketagihannya. Oleh itu, adik beradik mak berpendapat ‘Jalan beri bunga kepada monyet, habis hancur bunganya’
Pakcik Wahub, yang sudah berjaya di bandar, langsung tidak menunjukkan minat untuk menuntut lebih daripada apa yang haknya. Tetapi, dia tidak mahu orang lain merasa haknya lebih daripada yang patut.
Setiap kali isu harta timbul, hati mereka semakin panas. Pembahagian harta yang sepatutnya memberi kami ketenangan, malah menjadi sumber ketegangan. Hari Raya kami pon kadang menjadi tegang.
Aku Mengambil Langkah
Pada suatu hari, aku terfikir, aku harus mengambil inisiatif untuk menyelesaikan semua ini. Sebagai sepupu sulung, aku merasa itu adalah tanggungjawab aku.
Aku pun berbincang dengan mak, dan dia akhirnya bersetuju agar aku yang menguruskan perkara ini. “Korang dah besar, bijak pandai, patut korang pandai nak uruskan,” kata mak. “Mak pon dah tua, susah nak faham macam-macam benda ni.”
Aku tidak mahu ini berlarutan. Aku mahu menyelesaikan perkara ini dengan seadilnya. Aku berbincang dengan sepupu-sepupu yang lain, dan mereka semua akhirnya setuju untuk memberi kerjasama.
Kami merancang satu program Hari Keluarga, yang mana selain dapat mengeratkan hubungan kami, kami juga akan berbincang tentang harta pusaka itu.
Kami menginap di sebuah resort selama tiga hari dua malam. Tujuannya adalah untuk merapatkan hubungan, tetapi dalam masa yang sama, kami adakan mesyuarat secara tertutup untuk berbincang tentang pembahagian harta. Syukur, semuanya berjalan lancar.
Sepupu-sepupu dan adik-adik aku bersetuju untuk bantu aku, dan ada yang mengenalkan peguam serta ahli agama untuk mendapatkan pandangan mereka.
Proses Pembahagian Harta
Setelah berbincang dengan mereka yang lebih arif, kami memulakan proses untuk mengumpulkan semua aset dan hutang yang ditinggalkan oleh atok dan opah.
Kami memastikan segala hutang dilangsaikan terlebih dahulu. Kemudian, kami buatkan sebuah badar haji untuk kedua-dua mereka. Semua ini kami lakukan dengan niat untuk mempermudahkan segala urusan mereka di alam sana.
Setelah itu, dengan bantuan peguam dan nasihat agama, kami membahagikan harta tersebut mengikut faraid.
Setiap daripada mereka mendapat bahagiannya mengikut hak yang telah ditetapkan oleh agama. Semua sepupu, termasuk aku, merasa puas hati kerana kami sudah mengambil kira segala yang sepatutnya.
Majlis Tahlil dan Pembahagian Harta
Setelah beberapa bulan berlalu, kami mengadakan majlis tahlil di kampung. Semua saudara mara dijemput. Pada malam itu, di hadapan peguam dan wakil masjid, kami umumkan pembahagian harta tersebut.
Kami jelaskan satu persatu, dan semuanya disokong oleh peguam. Pembahagian ini tidak hanya mengikut faraid, tetapi juga menilai segala sumbangan mak dan Cik Faridah selama ini.
Amanat terakhir daripada imam kampung membuatkan semuanya lebih tenang. “Pembahagian yang terbaik adalah yang mengikut faraid, kerana itu hak yang sudah ditentukan oleh Allah,” katanya.
Namun, Harapan Yang Pudar
Aku berharap semuanya akan berakhir dengan baik. Malangnya, mak aku masih tidak berpuas hati. Beliau merasakan pembahagian itu tidak adil.
Walaupun aku telah menjelaskan segala-galanya, mak tetap berkeras dengan pendiriannya. “Wahab tu tak boleh lebih, walaupun dia sulung. Mak yang banyak bantu sekolahkan adik-adik,” kata mak.
Aku cuba menenangkan mak. “Mak, kita dah selesaikan semua hutang, termasuk pulangkan semula kos yang mak keluarkan untuk besarkan adik-adik.
Pakcik Wahib, walaupun penagih, dia tetap ada haknya. Apa dia buat dengan harta itu, bukan urusan kita lagi. Pakcik Wahub pun, walaupun kaya, tetap ada hak dia. Kita tak boleh ambil hak orang.”
Akhirnya, setiap bahagian hampir sama banyak, tetapi mak tetap rasa tidak adil. Adakah mak rasa hak dia lebih banyak? aku tak pasti.
Aku dalam dilema. Adakah aku membuat keputusan yang salah? Aku hanya mahu semua ini berakhir dengan damai. Aku hanya mahu keluarga kami kembali seperti dulu.
Hati aku berdebar. Adakah tindakan aku untuk mengikuti faraid ini salah?
Aku hanya ingin menyelesaikan segala masalah ini dengan cara yang paling adil. Tetapi, dalam hati aku, aku tahu bahawa aku sudah melakukan yang terbaik yang mampu. Jika mak tetap tidak setuju, itu adalah ujian untuk aku.
Yang penting, aku yakin setiap langkah yang aku ambil sudah mengikut ajaran agama. Harta bukanlah segala-galanya, tetapi yang penting adalah hubungan kekeluargaan yang tidak ternilai.
Aku berdoa agar mak dan pakcik-makcik aku dapat menerima keputusan ini dengan hati terbuka. Biarlah masalah ini selesai dengan cara yang baik, agar keluarga kami kembali damai seperti dulu.
– Anak Mak (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit
ikut Faraid yg terbaik, terima atau tidak, itu terpulang kepada masing2, apa yg penting harta pusaka telah dibahagi mengikut faraid, selesai.
Harta pusaka menyebabkan terlalu banyak putusnya silaturrahim akibat tk puas hati dan merasa dengki, apakah lebih baik mati tanpa harta….?
Setuju dengan Abg Black. Mengikut faraid adalah yang terbaik menurut syariat.
Kepada Anak Mak, TT, saya berpandangan awak telah melakukan perkara yang betul dan mengikut lunas-lunas yang sepatutnya. Tahniah.
Pujuk mak untuk meredhai segalanya kerana ikatan kekeluargaan lebih penting daripada harta dunia. Semoga apa yang ibu awak dapat pada bahagiannya melimpah-limpah keberkatannya jika beliau melepaskan dan meredhai segala keputusan yang telah dibuat.