Cinta Yang Jauh

Aku pernah menulis tentang kisah ini bertahun yang lalu di IIUM Confession. Masa itu, aku tak sangka tulisan aku akan dibaca. Aku hanya mahu melepaskan rasa, menulis untuk diri sendiri. Aku pun dah lupa.

Tapi baru-baru ini, aku ternampak semula cerita itu dibaca di video TT. Ternyata ia dibaca orang, malah dihujani komen-komen yang pedih untuk ditelan.

“Bodoh.”

“Tak sedar diri.”

“Tak tahu syukur, ada suami masih fikir lelaki lain.”

Aku baca satu persatu komen itu. Ada yang buat aku tergelak kecil kerana terlalu tajam, ada yang membuat aku termenung lama. Tapi aku tidak marah. Mereka tidak tahu. Mereka berdiri di tempat aku.

Mereka hanya nampak luaran: seorang isteri dengan suami penyayang, seorang ibu dengan anak-anak yang comel. Dari luar, hidupku nampak cukup sempurna. Tapi siapa sangka, di balik senyum yang aku pamerkan, ada perasaan yang tak pernah sembuh.

Aku masih di bangku sekolah waktu kenal dia. Dan dia… Abang Harris, lelaki yang pertama kali membuat aku faham apa maksud lelaki yang baik.

Abang Harris jadi penanda aras aku menilai lelaki lain. Aku jatuh cinta diam-diam. Dia lelaki pertama yang membuatkan hatiku bergetar hanya dengan senyuman. Tapi aku tak pernah berani meluah.

Mungkin kerana aku tahu, beza usia itu besar. Mungkin kerana aku tahu, aku hanya gadis kecil yang masih mentah.

Dia akhirnya dimiliki kakakku. Atau mungkin, mereka dijodohkan. Hari mereka berkahwin adalah hari yang tidak pernah aku lupakan. Aku berdiri di tepi pelamin, mengucap tahniah dengan senyum.

Bertahun kemudian, aku membina hidupku sendiri. Aku berkahwin, aku punya suami yang baik, aku dikurniakan anak-anak yang menjadi pelengkap hidupku.

Dari luar, aku bahagia. Aku pun berusaha untuk bahagia. Aku cintakan suamiku, aku cintakan anak-anakku, dan aku hargai setiap detik bersama mereka.

Tapi perasaan lama yang aku pendam, ia tidak pernah benar-benar sembuh. Setiap kali aku pulang ke kampung, setiap kali bertemu dengan Abang Harris, rasa itu kembali mengetuk. Bukannya aku mahu. Bukannya aku mencari. Tapi perasaan itu hadir sendiri.

Aku lihat cara dia tersenyum, cara dia menahan lelah tanpa mengadu, cara dia memandang jauh seolah sedang memikul beban yang tak tertanggung. Dan aku terkenang masa silam.

Hubungan kami adik-beradik baik. Tapi kakakku, isterinya, kadang-kadang terlalu dingin dengannya. Aku perhatikan dari jauh bagaimana nada suara kakakku saat bercakap dengan Abang Harris. Pendek, dingin, tanpa rasa.

Kadang aku tertanya, adakah masih ada cinta antara mereka? Atau perkahwinan itu hanya tinggal tanggungjawab? Aku bukan mahu menyibuk, tapi sebagai adik, aku nampak segalanya.

Ada ketika, aku lihat mereka langsung tidak berbual walaupun berada di ruang yang sama. Dan aku tahu, bukan aku seorang yang perasan. Adik-beradik lain pun pernah bisik tentang hal itu. Mak juga hanya diam, tapi aku tahu dia sedih melihat hubungan anaknya begitu hambar.

Aku tidak pernah mendoakan mereka berpisah. Tidak. Malah aku selalu mendoakan mereka dikurniakan zuriat, kerana itulah yang mereka tunggu bertahun-tahun. Aku percaya, dengan hadirnya seorang anak, mungkin sinar baru akan kembali dalam rumah tangga mereka.

Dan dalam diam, aku juga mahu itu terjadi, supaya aku punya alasan yang kukuh untuk padamkan rasa dalam hati ini sepenuhnya.

Ada momen-momen kecil yang masih terbayang jelas dalam ingatanku. Momen yang kelihatan remeh bagi orang lain, tapi cukup untuk menggoncang perasaanku.

Suatu pagi, aku bangun awal. Semua orang masih lena. Aku ke dapur, membancuh kopi. Tiba-tiba aku dengar langkah perlahan.

Bila aku toleh, Abang Harris berdiri di muka pintu dengan t-shirt lusuh dan kain pelikat. Rambutnya sedikit kusut, wajahnya masih segar dari tidur. Dia senyum kecil, dan hatiku berdegup laju.

“Awal bangun?” suaranya serak pagi.

Aku pura-pura tenang. “Biasalah, nak buat sarapan untuk mak.”

Dia duduk, dan aku secara spontan bancuh secawan kopi lagi untuknya. Tangan kami bersentuh sekejap saat aku hulurkan cawan itu.

Ringkas, tapi cukup membuat aku terdiam seketika. Saat itu, aku rasa berdosa hanya kerana terlalu gembira melihat dia minum kopi yang aku bancuh.

“Sedap kopi ni,” katanya sambil tersenyum.

Aku hanya mampu angguk, menundukkan pandangan. Aku tak berani balas. Kalau aku bersuara, mungkin getar hatiku akan terdedah.

Ada juga ketika dia duduk di ruang tamu. Suamiku sibuk di luar, anak-anak berlari di halaman. Dia tiba-tiba bertanya,

“Macam mana kerja?”

Aku jawab ringkas. “Sibuk sikit.”

Dia angguk, matanya lurus ke depan. Tapi aku tahu ada sesuatu yang dia simpan. Aku cuba beranikan diri bertanya, “Abang ok?”

Dia pandang aku, lama. Senyumnya tipis, tapi matanya redup.

“Ok…” katanya perlahan. Tapi aku tahu itu bukan kebenaran.

Aku menelan liur. Ada kata-kata yang mahu aku luahkan, tapi aku tahan. Bibirku terkunci rapat.

Rindu ini pelik. Ia bukan rindu untuk memiliki. Ia bukan rindu untuk merampas. Tapi ia rindu yang ingin melihat dia bahagia, walau bukan denganku. Namun, aku juga manusia biasa. Kadang-kadang aku tewas dengan bayangan sendiri.

Malam-malam, aku sering diburu mimpi. Dalam mimpi itu, aku kembali ke zaman remajaku. Aku dan dia berjalan bersama, ketawa. Dalam mimpi itu, dia bukan milik kakakku. Dia hanya lelaki yang melihatku sebagai satu-satunya wanita dalam hidupnya.

Dan aku terjaga dengan rasa sesak di dada, air mata membasahi pipi.

Aku menyesal. Aku malu. Tapi aku tak mampu menolak rasa hangat itu. Ia datang sendiri, dan aku hanya mampu menutup mata.

Sepupu-sepupu kami suka berborak dengan Abg Harris. Dia disenangi ramai. Aku pernah terdengar sepupu-sepupuku berbual.

Pernah seorang dari mereka berseloroh,”Kalau Abg Harris tu bukan suami kakak kau, dah lama aku usha.” Aku hanya tersenyum. Kalau kau tahu… aku pun pernah rasa begitu. Tapi aku pilih untuk diam.

Aku pernah cuba berkongsi dengan seorang sahabat. Dia diam, kemudian berkata,

“Kau gila. Itu abang ipar kau.”

Aku tunduk. “Aku tahu. Tapi hati aku degil.”

Sahabatku menggeleng. “Kau kena kuat. Kau ada suami, kau ada anak-anak.”

Aku hanya mampu mengangguk. Kata-kata itu benar, tapi hatiku tetap enggan menurut.

Aku tidak pernah mendoakan keburukan buat kakakku dan Abang Harris. Tidak pernah.

Malah aku selalu berdoa agar mereka bahagia, agar mereka dikurniakan anak, agar hubungan mereka kembali hangat. Kerana aku tahu, selagi aku lihat dia kesepian, selagi aku lihat senyumnya hambar, hatiku akan terus dihantui.

Kadang-kadang aku terfikir, bagaimana kalau aku lahir beberapa tahun lebih awal? Bagaimana kalau dia melihat aku bukan sebagai adik kecil, tapi sebagai wanita yang matang? Mungkin ceritanya berbeza. Mungkin aku yang duduk di sisinya hari ini.

Tapi hidup tak pernah menunggu. Takdir tak pernah bertolak ansur.

– Hajar (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *