Masa aku muda dulu, orang selalu pesan: kahwin biarlah sekufu. Senang nak hidup, katanya.
Sekufu itu orang selalu ukur dari taraf keluarga, latar pendidikan, pekerjaan, atau gaya hidup. Tapi aku percaya sekufu bukan hanya itu. Sekufu adalah cara kita mengurus masa.
Sejak mula kenal Abang (Suami), aku yakin betul aku dan Abang sekufu. Kami sama-sama ringan tangan, sama-sama “ikut flow.”
Kalau nak makan luar, kami keluar. Kalau nak tangguh lipat kain sebab drama tengah best, kami tangguh. Kalau nak tidur lambat sebab borak, kami tidur lambat. Semua terasa harmoni, seperti lagu yang tak perlu penutup.
Tapi masuk lima tahun, sesuatu berubah. Abang tiba-tiba macam bangun dari tidur panjang, dan dia mula sedar ada banyak hal tergendala dalam hidup kami. Dari situlah, Abang mula jadi “Mr. Tak Suka Bertangguh.”
Pada awalnya aku setuju, sebab siapa tak nak hidup lebih tersusun? Tapi lama-lama, aku rasa perubahan itu terlalu ekstrem, dan ritma kami dah tak sekufu seperti dulu.
Satu malam biasa, selepas makan malam.
“Sayang,” Abang panggil dengan nada serius.
“Ya, Abang?” aku jawab sambil peluk bantal kecil.
“Kita ni banyak sangat tangguh. Bil selalu last minute, rumah pun tunggu hujung bulan baru nak kemas. Abang rasa, kita kena berubah. Mulai sekarang, kalau boleh buat hari ni, kita buat hari ni.”
Aku senyum kecil, cuba berlawak. “Ala, Bang… benda tu normal lah. Semua orang pun macam tu.”
Dia geleng kepala. “Abang tak nak kita hidup dikejar benda yang kita tangguh. Abang nak kita bebas.”
Aku akhirnya mengangguk. “Okay, kita cuba.”
Aku fikir perubahan ni macam tukar bantal lama dengan bantal baru. Tak sangka rupanya macam tukar seluruh tilam. keras, dan setiap gerak jadi tak selesa.
Aku memang diamanahkan untuk bayar bill sahaja, Lain2 semua Abang uruskan. Itu persetujuan kami, Tapi dulu, bayar bil jadi aktiviti santai aku. Aku kadang biarkan due sebulan. Sekarang, pagi bil keluar, petang tu Abang dah tanya aku dah bayar ke.
“Bang, due date 3 minggu lagi,” aku pernah tegur.
“Kenapa tunggu kalau boleh settle sekarang, sayang?” jawabnya tenang.
Aku akui, kadang2 aku terlalai, sudahnya kena denda reconnection fee atau late fee. Mula la Abang membebel kat aku. Selalunya aku akur je, aku bayar. Ada betul juga katanya.
Bila keadaan jadi macam ni, Aku diam, tapi buat aku rasa seolah-olah ruang “nanti” dah diharamkan dalam rumah kami.
Aku suka kemas rumah ikut mood. Tapi sekarang, kain lipat separuh jalan pun Abang dah tolong siapkan. Aku hargai, tapi aku rasa macam aku tak competent. Abang tak penah marah, tapi dia jeling. Aku yang stress.
“Eh, saya belum asingkan baju kerja dengan baju rumah,” aku tegur bila nampak semua baju dah dalam almari.
“Abang susun je semua, tak kan nak biar je atas lantai,” katanya sambil tersenyum puas.
Ya, kemas. Tapi aku rasa hilang hak untuk nikmati proses yang dulu jadi terapi kecil aku.
Dulu, cuti kami spontan. Redah je bila hati teringin. Sekarang, Abang siap dengan itinerary bercetak.
“Bang, macam tak thrill la cuti kalau semua dah tersusun,” aku mencubit lengannya.
“Thrill tak jamin tenang. Abang nak kita tenang,” jawabnya.
Tapi bagi aku, tenang itu kadang-kadang datang dari kejutan yang tak dirancang.
Dulu, aku kalo terasa nak pegi pangkor, weekend tu kami terus pergi. Tapi sekarang, kami kena plan dulu. sbb kalo last minute, hotel dan lain2 jadi mahal.
Aku selalu minta Abang urut bila sakit belakang. Satu malam, dia tiba-tiba tegas.
“Esok kita pergi chiropractor. Abang dah survey klinik bagus.”
“Bang, tak payahlah. Saya okay. Mungkin sebab banyak duduk.”
“Sayang, awak selalu sangat sakit nie, kita dah tangguh lama. Abang tak nak risiko.”
Aku menangis diam-diam. Bukan sebab takut klinik, tapi sebab rasa aku tak diberi ruang urus sakit aku sendiri. Aku cuma nak belaian suami.
Sejak itu, setiap kali badan rasa sengal, aku jadi serba salah. Nak minta urut, takut Abang cadang rawatan lain. Aku tahu dia risau, tapi aku cuma mahu rasa diperhatikan tanpa syarat. Perlahan-lahan, rasa ringan yang selalu ada dalam rumah kami jadi beban.
Alya baru lima tahun, tapi jadualnya dah macam pelajar sekolah menengah.
“Sayang, Abang daftarkan Alya kelas fonik hujung minggu. Rabu pula kelas muzik.”
Aku terdiam. “Bang, dia baru nak belajar kayuh basikal.”
“Ini lebih penting. Kita tak boleh tangguh ilmu.”
Aku pandang Alya. Dia senyum, tapi aku nampak lelah di matanya.
Setiap kali tengok Alya baring penat lepas kelas, hati aku dihimpit bersalah. Aku nak dia main pasir, bukan sibuk dengan jadual. Tapi aku kalah dengan alasan Abang yang selalu kedengaran “masuk akal.”
Lama-lama, aku sendiri rasa aku kehilangan anak yang masih kecil kerana takut tertangguh sesuatu yang belum tentu dia perlukan sekarang.
Suatu hari, Abang dengan bangganya umum.
“Abang dah bayar penuh ansuran gajet dapur tu.”
Aku terkejut. “Tapi belum due. Duit tu boleh guna untuk servis kereta dulu.”
“Tak apa, Abang lega bila tak ada hutang.”
Logiknya betul, tapi aku rasa cemas bila semua keputusan hanya ikut satu prinsip: settle sekarang.
Aku mula rasa seolah-olah kewangan kami tak lagi ada ruang bernafas. Duit habis di depan, sedangkan perkara penting lain menunggu.
Aku bimbang, tapi Abang nampak tenang kerana pada dia, “hutang selesai = beban hilang.” Bezanya, beban itu berpindah padaku, yang perlu fikir keperluan lain.
Aku rancang kejutan ke Langkawi. Abang pula diam-diam dah tempah Tioman. Tarikh sama.
“Kenapa tak bincang dulu?” aku luah kecewa.
“Kan Abang dah tanya, Awk diam. Abang takut lambat, hotel penuh. Lagipun Tioman lagi best.”
Kejutan aku bertembung dengan jadualnya. Dua cinta dalam dua versi. Sunyi jadi penamat.
Aku belajar sesuatu malam itu. Bukan semua kejutan dihargai bila salah seorang dah terlalu cepat membuat keputusan. Perkara yang sepatutnya jadi manis berubah jadi luka halus yang aku simpan sendiri.
Mak pesan datang kenduri sepupu. Aku sampaikan pada Abang.
“Ahad kita dah penuh, sayang. Kelas Alya, kemas stor, semua dah disusun.”
“Tapi mak harap kita datang…”
Dia diam, kemudian mengeluh. “Kalau kita ubah, semua benda lain berjangkit.”
Aku terperangkap antara logik Abang dan rindu mak.
Aku pulang sendiri ke rumah mak hari itu. Abang tetap dengan jadualnya. Mak tak cakap apa, tapi aku tahu dia terasa. Aku sendiri berbelah bahagi—antara jadi isteri yang patuh, atau anak yang hilang.
Aku tak selesa bukan sebab perubahan. Aku tak selesa sebab style baru ini buat aku hilang benda yang selama ni jadi sebahagian dari aku.
Aku hilang nafas panjang, ruang untuk kata “nanti” bila hati dah bersedia. Aku hilang spontan, kejutan kecil yang selalunya jadi memori. Aku hilang hak memilih ritma emosi, sebab setiap keputusan mesti cepat, tanpa menunggu hatiku ikut serta.
Aku hilang kuasa atas ruang kecil aku, rumah yang dulunya aku urus dengan rasa, kini jadi projek efisiensi. Aku hilang diam, diam selepas penat yang biasanya jadi syukur, kini diganti tugasan baru.
Aku tahu Abang ikhlas. Dia nak kehidupan lebih baik. Tapi aku juga tahu, aku bukan mesin yang boleh dipaksa ikut kelajuan baru tanpa kehilangan sebahagian diriku.
Sekufu itu bukan statik. Ia boleh berubah bila salah seorang menukar tempo. Aku pilih Abang kerana dulu ritma kami sama. Sekarang dia laju, aku masih di sini.
Aku tak tahu pengakhiran cerita ini. Mungkin suatu hari aku akan berlari lebih pantas, mungkin Abang akan perlahan. Yang pasti, aku masih mahu menari bersama dia, walaupun muziknya kini tak semudah dulu.
Hari ini, aku menulis bukan untuk mengadu. Aku menulis untuk mengaku: perubahan itu nyata, dan aku sedang belajar mendengar semula ritma hati aku di tengah rentak barunya.
Bagaimana pula dengan kalian? Pernahkah rasa pasangan berubah jadi terlalu ekstrem dalam sesuatu perkara, sampai kalian sendiri tercari-cari semula keserasian yang dulu pernah wujud?
– Zalikha (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit
Cuba bawa check, mungkin suami ada masalah kesihatan macam OCD (obsessive compulsive disorder) ke? Jika x ada, semua ok, boleh Cuba kaunseling juga. Jangan biarkan.