Ini bukan tafsir mimpi tau. Cuma sekadar nak kongsikan pengalaman mimpi yang selalu datang dalam tidur saya dan apabila mimpi-mimpi itu datang, pasti perkara yang sama akan belaku mengikut mimpi yang hadir.
Adakah ianya secara kebetulan ataupun satu peringatan untuk saya bersedia menghadapinya.. Wallahualam
Mimpi ni mainan tidur. Mimpilah apa sahaja baik seram ataupun tidak ianya tak akan menjejaskan emosi saya kecuali 5 mimpi ini. Nombor 4 dan 5 paling saya takut sebab ianya tidak pernah selisih berlaku.
Tetapi dalam masa yang sama, saya belajar untuk bersedia segala kemungkinan yang akan berlaku apabila setiap mimpi ini menjengah dalam tidur saya.
Ada yang sangat perit untuk saya terima namun sebagai manusia biasa saya tidak mampu untuk menolak ketentuan-Nya. Subhanallah…
1. Mimpi orang tua bagi makan pada waktu senja/Mahgrib.
Mimpi ini jarang berlaku namun jika ianya hadir, tidak lama selepas itu saya pasti akan sakit teruk dalam jangka masa yang lama.
2. Biawak atau haiwan kotor berada dalam beras (biasanya biawak).
Pernah sekali saya mimpi biawak melompat keluar daripada bekas simpanan beras. Selepas itu saya diuji dengan masalah dengan pasangan.
Begitulah selalunya jika saya mimpi binatang kotor ini berada dalam bekas beras. Alhamdulillah semuanya selalu berakhir dengan baik.
Sekarang, jika mimpi seperti itu berlaku, saya akan cuba tenang dan bersedia. Jika ada masalah dengan pasangan saya akan cuba menjadi orang yang paling sabar…
3. Jatuh tempat gelap dan rambut sebagai tempat berpaut.
Mimpi ini jika datang dalam tidur saya, pasti akan ada masalah dikalangan ahli keluarga (adik beradik, ipar duai, mak ayah dan sebagainya) yang memerlukan saya masuk campur sebagai jalan penyelesaian.
Ianya berlaku tidak dirancang. Secara tiba-tiba jer sebagai contohnya ada adik beradik susah dan kepada saya mereka mengadu. Jadi saya dan suami akan sama-sama bantu selesaikan masalah tersebut.
4. Kenduri yang dihadiri oleh ahli keluarga yang sudah meninggal dunia.
Selalunya saya akan berasa gembira bila ianya hadir dalam mimpi. Yelah kan, jumpa datuk, nenek, pakcik, makcik dan ahli keluarga yang dah pergi berkumpul ramai-ramai, siapa yang tak suka. Betul tak?
Tapi bila sudah 2 ke 3 kali berlaku hal yang sama, bila mimpi itu datang dalam tidur pasti akan mendapat khabar berita kematian tidak kiralah samada kawan-kawan atau saudara mara, saya dah jadi gelisah. Akan tertanya-tanya siapalah yang akan dijemput ‘pulang’ selepas ini.
5. Gigi patah/tercabut.
Ini lah mimpi yang paling saya takut. Pasti akan menghadapi berita kematian ahli keluarga terdekat. Mimpi terakhir saya awal tahun lepas, gigi depan saya patah. Rupa-rupanya anak saya sendiri yang nak ‘pergi’. Allahuakbar…
Namun… Jangan risau, saya tidak pernah berpegang kepada mimpi semata-mata kerana setiap yang berlaku ianya sudah ditentukan oleh Allah SWT. Sesungguhnya Allah lebih mengetahui.
Hasbunallah Wanikmal Wakil Nikmal Maula Wanikman Nasir
حَسْبُنَا اللهُ وَنِعْمَ الْوَكِيْلُ نِعْمَ الْمَوْلَى وَنِعْمَ النَّصِيْرُ
“Cukuplah Allah penolong bagi kami, sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong”.
Setiap kali mimpi-mimpi itu datang dalam tidur, perkara yang pertama saya lakukan adalah berdoa..
“Ya Allah, takdirkan lah yang baik-baik untuk aku sekeluarga dan jika itu ketentuan Mu, berikanlah rahmat Mu ke atas setiap ujian yang kau berikan kepadaku..”
Kalian macamana pula? Pernah mimpi jadi kenyataan tak?
– Mayang Sari Tulis (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit