Kadang-kadang hidup ini terasa seperti sebuah teka-teki besar yang tidak pernah selesai. Aku sering fikir, apa yang aku lalui hari ini mungkin sudah lama tertulis di Luh Mahfuz, dan aku hanya pemain yang mengikut jalan. Tapi sebagai manusia biasa, aku tetap bingung, tetap lelah, tetap rapuh.
Menulis cerita ini bukan untuk cari simpati, tapi untuk cari tenang. Bila aku tulis, aku boleh meluah tanpa orang pandang aku dengan kasihan. Bila aku tulis, aku boleh rasa lega walaupun sedikit.
Soalannya jelas: siapakah aku sekarang? Isteri yang ditinggalkan? Balu yang tidak pernah benar-benar balu? Atau tunang kepada lelaki yang menghidupkan semula hatiku? Aku masih keliru.
Dan sebelum aku melangkah ke pejabat agama untuk mencari jawapan, aku rasa aku perlu menulis semula kisah ini, dari mula, supaya aku sendiri nampak apa yang sedang berlaku.
Hari pertama orientasi universiti masih jelas dalam ingatan. Aku gadis kampung yang agak canggung bila melangkah masuk ke dewan besar penuh pelajar baru. Aku duduk di hujung barisan, cuba menyorok daripada bising.
Tiba-tiba, seorang lelaki datang dengan senyum penuh keyakinan. “Boleh aku duduk sini?” katanya. Itulah Mansor – Selamba, spontan, bising, tapi ada sesuatu pada dirinya yang buat aku tertarik. Dia mula berbual tanpa segan, seolah-olah kami sudah lama kenal, seperti tiada tembok antara orang asing.
Beberapa minit kemudian, muncul seorang lagi. Nadim. Berbeza betul dengan Mansor – berkaca mata, lebih kemas, lembut tutur kata. Dia menggeleng kepala sambil ketawa kecil. “Weh, kau laju je kalau tegur perempuan, kan?” usiknya kepada Mansor, sebelum menoleh kepadaku.
“Assalamualaikum. Kau baru masuk juga, kan? Aku Nadim,” katanya sambil senyum. Aku menyambut senyumannya dengan malu-malu, terasa ada keseimbangan antara dua sahabat itu.
Sejak hari itu, persahabatan rapat yang telah mereka bina sejak sekolah menengah kini terbuka untuk aku. Mereka berdua jelas saling melengkapi.
Mansor penuh gurau senda, Nadim lebih serius dan matang. Mansor suka buat aku ketawa dengan lawaknya yang kadang keterlaluan, sementara Nadim pula bila bercakap, aku rasa benar-benar didengari. Dua lelaki, dua cara, dan aku berada di tengah-tengah, perlahan-lahan menjadi sebahagian daripada dunia mereka.
Nadim punya cara tersendiri yang selalu membuat aku terdiam. Dia bukan jenis lelaki yang banyak cakap, tapi tindakannya halus dan penuh makna.
Pernah aku tertidur di perpustakaan, dan bila terjaga, ada sweater nipis menutupi bahu. Nadim masih di sebelah, tekun menulis nota seolah-olah tiada apa berlaku, tapi aku tahu dia prihatin.
Dia juga sering hulurkan buku dengan catatan kecil di tepi halaman, menulis ayat ringkas seperti “kau boleh buat” atau “Gambatte.. semangat untuk exam”. Perkara-perkara kecil itulah yang membuat aku rasa dihargai, seolah-olah dia memahami isi hatiku tanpa aku perlu meluah.
Mansor pula langsung berbeza, dia lebih berani, lebih suka menonjolkan diri. Pernah dia berlari dalam hujan hanya untuk kongsi payung kecil denganku, tubuhnya basah kuyup tapi wajahnya tetap ceria. “Janji aku dapat jalan dengan kau,” katanya sambil ketawa, membuat aku tersipu malu.
Ada masa, dia tiba-tiba muncul depan asrama dengan goreng pisang panas atau teh ais kegemaranku, konon alasan ‘terlebih beli’.
Dari awal aku tahu, kedua-duanya cuba mencuri hatiku, tapi dengan cara berbeza. Nadim dengan kelembutan senyap, Mansor dengan keberanian yang mengusik jiwa.
Tak lama, kedua-duanya memberanikan diri untuk meluahkan perasaan. Nadim dengan cara tenang, memilih kata-kata berhati-hati; Mansor pula lebih spontan, terus terang mengaku dia sukakan aku.
Namun aku hanya tersenyum hambar, menolak dengan alasan jurusanku terlalu berat dan aku mahu fokus pada pelajaran. Dalam hati, aku sebenarnya takut, takut kalau aku pilih salah seorang, persahabatan kami bertiga akan retak, dan aku akan kehilangan keduanya sekali gus.
Selepas universiti, kami membawa haluan masing-masing. Aku mula kerja sebagai doktor pelatih di hospital pekanku. Nadim jadi pensyarah, selalu sibuk dengan kertas kajian. Mansor pula berkerjaya dalam bidang oil and gas, dengan jadual yang tak menentu.
Walaupun sibuk, kami masih berhubung, sesekali minum kopi, berkongsi cerita, atau sekadar mengusik kenangan lama.
Setahun selepas kami grad. Mansor tiba-tiba melamarku. Tiada bunga mawar, tiada lilin romantis, hanya kata-kata terus dari hatinya. “Melati, aku tak nak tunggu macam orang gila. Aku lamar kau jadi isteriku.” Suaranya bergetar, matanya tajam menikam jiwa.
Aku kaku, jantungku berdegup kencang, bibirku terketar-ketar menahan air mata. Lama aku diam, tapi akhirnya aku angguk, perlahan, sambil air mataku jatuh tanpa mampu aku tahan lagi.
Malam itu, bayangan Mansor dan Nadim berulang kali menghantui fikiran. Aku kagum dengan keberanian Mansor, dengan ketelusan cintanya yang tidak berselindung. Tapi dalam diam aku juga resah, adakah persahabatan mereka yang telah terjalin sejak sekolah akan retak kerana aku?
Ketika aku tanyakan hal itu, Mansor meyakinkanku “Jangan fikir yang bukan-bukan, Melati. Aku dan Nadim dah kenal terlalu lama, aku yakin dia akan faham.”
Majlis kami sederhana. Hanya keluarga terdekat dan sahabat rapat. Nadim hadir juga, dia nampak gembira. Senyumannya ada, tapi matanya aku tahu menyimpan sesuatu. Hati aku sedikit bergetar bila mata kami bertemu, tapi aku cepat alihkan pandangan.
Hidup aku lengkap, ada kerjaya, ada suami yang baik. “Saya rindu awak,” bisikku dalam telefon. “Saya pun. Awak tunggu saya balik ya,” jawab Mansor. Kata-kata kami yang selalu diucapkan. Aku bersyukur. Setidaknya untuk seketika.
Bahagia itu singkat, Beberapa bulan selepas kami diijab kabul, Mansor ditugaskan ke Timur Tengah untuk sebuah projek baru. Aku masih ingat jelas wajahnya sebelum berangkat, senyuman yang dipaksa, genggaman tangannya terlalu lama, seolah-olah ada sesuatu yang ingin dia sembunyikan.
Di airport, Nadim turut hadir, mengiringi sahabat lamanya. Mansor sempat menoleh kepadanya. “Aku serahkan Melati pada kau, Kau satu-satunya kawan yang aku percaya,” katanya, suaranya bergetar.
Nadim terpaku, hanya mengangguk sambil menelan liur, matanya singgah padaku sekejap, seolah-olah mengerti berat amanah itu. Aku hanya mampu tersenyum hambar, dada berombak dengan doa yang tak henti-henti.
Dan sebulan kemudian, berita buruk itu datang, menghentam seperti petir membelah dada. Malam itu gelap, tapi jadi lebih kelam bila telefon bimbitku berdering tanpa henti, mesej masuk bertubi-tubi. Tanganku menggigil membuka siaran berita di televisyen.
Tubuhku kaku, mata tak berkelip, ketika wajah pembaca berita menuturkan kata-kata yang aku tak mahu dengar. “Telah berlaku serangan besar di kawasan Teluk berdekatan tapak projek pembinaan…” Suaranya tenggelam dalam dentuman jantungku.
Senarai nama mangsa selamat terpampang di skrin, satu demi satu aku baca dengan nafas tersekat. Mansor… tiada. Aku menjerit kecil, lalu rebah di sofa. “Ya Allah, jangan ambil dia dari aku,” bisikku dengan air mata yang tak mampu aku hentikan.
Hari-hari berikutnya berubah jadi kelam. Setiap kali telefon berbunyi, aku berlari, berharap suara itu milik suamiku. Setiap kali pintu diketuk, aku menahan nafas, membayangkan dia pulang. Tapi yang tiba hanyalah sepucuk surat rasmi, ayatnya dingin, tanda simpati: Mansor gagal ditemui, dipercayai meninggal dunia.
Aku rasa dunia berhenti. Solat jenazah ghaib yang dilakukan di masjid menjadi detik paling pedih. Bibirku membaca doa, tapi dalam hati aku meraung tanpa suara. Aku isteri, tapi tanpa suami. Aku balu, tapi tanpa jenazah.
6 Bulan berlalu, aku teruskan hidupku dengan kerja, namun rumahku menjadi asing, Katil sebelah yang dulu hangat kini beku, seolah-olah udara sendiri menolak sentuhan. Bau baju Mansor yang masih tergantung di almari bukan lagi penghibur, tapi seperti racun manis.
Aku melangkah perlahan di lorong rumah, rasa seperti bayang yang meniru kehidupan orang lain, kulitku dingin tapi hati terlalu hangat dengan memori.
Dan kemudian Nadim muncul, bukan masuk seperti cahaya yang terik, tetapi seperti api kecil yang menyelinap di celah-celah rekahan.
Pada mulanya dia datang membawa makanan dan perhatian, mesej ringkas yang mengusik. Namun kehadirannya segera menjadi ubat aku; dia duduk lebih lama, mendengar lebih rapat, sentuhannya singkat tapi penuh makna. Aku mula merasa keberanian yang menempel di kulitnya.
Malam itu, ketika aku benar-benar jatuh, Nadim menemui aku di lantai dapur, Dia memegang bahuku, jarak wajah kami hanya sedikit, dan aku dapat rasa nafasnya menari di bawah daguku. “Melati, cukup. Aku ada sini,” suaranya hampir pecah.
Genggaman tangannya tidak melepaskan, bukan kasar, tetapi tegas seperti janji. Dalam keheningan itu, ada sesuatu yang meledak dalam dada; rasa bersalah beriringan dengan keinginan yang mengigil.
Di malam lain, selepas shift panjang, aku bersendirian pulang, sampai pagar rumah, aku buka pintu kereta, bau nasi ayam, Nadim berdiri di situ, basah sedikit disebabkan hujan, rambutnya menempel lembut di dahi. Dia duduk rapat, bahu kami bersentuhan, dan sentuhan itu seperti arus yang membuat degup jantungku berlumba.
“Kenapa kau buat semua ni?” aku bertanya, suaraku serak. Dia mendekat : “Kerana aku sayang kau. Sejak dari dulu lagi” Kata itu jatuh, hangat dan berat, membuat segala batas antara kami jadi rapuh.
Tiga tahun berlalu. Aku belajar tersenyum semula. Aku dan Nadim baru bertunang, kami mula merancang perkahwinan. Aku fikir inilah takdir baru aku. Allah memberi aku kehilangan, kemudian menghadiahkan aku seseorang yang mampu menyembuhkan.
Tapi takdir sekali lagi mempermainkan.
Suatu petang, selepas pulang kerja dengan tubuh lesu, aku dikejutkan oleh ketukan pintu yang bertalu. Kuat. Hampir roboh rasanya. Dengan malas aku melangkah, dan saat daun pintu terbuka, duniamu runtuh.
Di hadapanku berdiri Mansor! kurus, kulitnya gelap terbakar, wajahnya penuh garis letih dengan jambang liar, matanya berkaca seakan membawa ribuan cerita yang tak terucap. Nafasku tertahan. “Melati… saya pulang,” katanya, suara serak seperti pecah dari gurun sunyi.
Aku hampir rebah, tubuhku menggigil, air mata menitis deras tanpa sempat aku kesat. Hati aku meraung melompat ke dadanya, memeluk tubuh yang lama aku rindui, tapi kakiku seakan berpaku. Seluruh perasaan menyesak, gembira yang menikam, hati yang membara, bingung yang menjerut.
Tiga tahun aku berdoa, merayu pada Tuhan agar dia pulang. Dan kini, dia berdiri di hadapanku, nyata, hangat, bernafas. Namun, di dadaku juga ada Nadim, janji-janji yang telah kami ukir bersama, persiapan perkahwinan yang hampir selesai, impian baru yang tumbuh dari luka.
Malam itu rumahku riuh dengan keluarga dekat dan jauh. Aku menutup pintu bilik, tubuhku terbaring gelisah di tilam yang dingin. Degup jantungku tidak pernah sekacau itu, seakan tubuhku terbelah dua antara masa lalu dan masa kini. Aku tidak tahu siapa aku lagi, isteri Mansor yang kembali, atau tunangan Nadim yang menunggu.
Dan dalam diam malam yang pekat, aku sedar tubuhku merindui kehangatan yang sudah lama hilang, tetapi jiwaku gentar dengan pilihan yang harus aku buat.
Kini aku benar-benar di persimpangan.
Secara hukum, aku masih isteri Mansor. Pernikahan kami tidak pernah terbatal, hanya doa solat jenazah ghaib yang aku dirikan. Tapi hatiku? Hatiku telah berlabuh sebahagian pada Nadim, lelaki yang menemani aku di saat aku hampir mati dari dalam.
Mansor memandangku dengan mata penuh rindu. “Saya kembali untuk awak, Melati. Awak tetap isteri saya. Saya mahu kita mulakan semula.” Kata-katanya menusuk, tapi hatiku kecut. Bagaimana harus aku balas, bila cintaku tidak lagi utuh sepenuhnya untuknya?
Nadim pula berdiri di sisi lain. “Aku takkan paksa kau pilih. Tapi aku cintakan kau, Melati. Dari dulu, sampai bila-bila.” Suaranya tenang, tapi aku tahu di baliknya ada luka yang dalam.
Aku menulis ini dengan jari yang menggigil. Dua cincin ada dalam simpananku: cincin kahwin bersama Mansor, cincin tunang bersama Nadim.
Akhirnya, aku putuskan langkah kecil. Aku akan pergi ke pejabat agama. Aku perlu tahu siapa aku di sisi hukum. Tapi hati… hati masih belum tahu mahu memilih siapa.
Cerita ini belum tamat. Dan aku tidak tahu bagaimana akhirnya.
– Melati (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit
Ya Allah, your life story mcm dlm drama..berat mata memandang, berat lagi bahu yg memikul..semoga Allah permudahkan urusan jodoh awak..stay strong okay! Kalau tak keberatan, tlg sambung kisah awak nanti ye..hugs