Saman JPJ: Perlukan Pencerahan

Salam semua. Tiga bulan lepas saya telah disaman JPJ atas kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar ketika memandu.

Sepanjang 15 tahun memiliki lesen memandu, saya tidak pernah menerima notis saman selain saman PDRM berkaitan saman letak kenderaan.

Oleh kerana saya telah terbiasa dengan sistem bayaran saman PDRM yang menawarkan diskaun 50% bagi pembayaran awal, jadi saya pun menjangkakan JPJ juga mengamalkan konsep yang sama.

Namun, sayang sekali pihak JPJ tetap mengenakan jumlah kompaun sebanyak RM300 tanpa sebarang kompromi.

Ketika menghubungi pihak JPJ negeri, saya dimaklumkan bahawa saya perlu membayar saman tersebut bagi mengelakkan nama saya disenarai hitam. Sekiranya saya tidak berpuas hati, saya boleh ke mahkamah pada tarikh yang ditetapkan.

Oleh kerana saya yakin saya tidak sepenuhnya bersalah dalam hal ini

(Demi Allah, saya tidak pernah cuai dalam pemakaian tali pinggang, tetapi setiap kali saya menggunakan kereta lagenda arwah ayah saya, klik tali pinggang mudah tertanggal kerana ia kadang-kadang akan tercabut sendiri dan tali akan melurut ke tepi bahagian ketiak.

Mungkin sebab saya agak gempal, jadi tali pinggang itu terlalu uzur untuk melilit badan saya).

Walaupun telah saya terangkan pada pihak JPJ yang menahan saya pada ketika itu, saman tetap dikeluarkan… :( Redha sahajalah.

Jadi, berbalik kepada isu asal. Saya melihat notis saman di mana terdapat tarikh untuk menghadirkan diri ke mahkamah. Tarikh tersebut adalah tiga bulan dari tarikh saman dikeluarkan.

Maka pada tarikh tersebut saya telah menghadirkan diri ke mahkamah, keluar rumah selepas subuh, diminta beratur dan menunggu hampir 40 minit sebelum disantuni oleh dua pegawai JPJ.

Selepas meminta IC dan notis saman, saya disuruh balik.

Katanya saya tidak perlu masuk ke ruang perbicaraan kerana sama ada saya merayu pada magistrate atau tidak, saya tetap kena bayar kompaun RM300.

Dua kali saya tegaskan untuk masuk ke dalam bagi membuat rayuan, kerana jumlah saman itu agak besar dan ini merupakan kesalahan yang pertama buat saya,

Namun pihak JPJ tetap berkeras meminta saya pulang ke rumah dan membayar kompaun tersebut bila-bila masa.

Soalan saya, kenapa terdapat tarikh untuk menghadirkan diri ke mahkamah sekiranya tiada peluang untuk membuat rayuan pengurangan kompaun?

Saya terpaksa mengambil cuti, membayar parking, beratur panjang, tetapi akhirnya saya diminta pulang begitu sahaja?

Adakah sesiapa yang pernah melalui pengalaman yang sama? Atau ada mana-mana pegawai JPJ di sini yang boleh tinggalkan komen dengan memberi pencerahan berkenaan situasi saya ini?

Terima kasih.

– Damak (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *