Aku Ke Yang Salah?

Assalamualaikum, aku harap ruangan ini menjadi tempat untuk aku melegakan hatiku sendiri.

Sebelum aku mulakan, biar aku perkenalkan diri aku dulu. Aku adalah seorang bekas guru, kini berkhidmat di institut pendidikan sebagai seorang pegawai.

Aku ada Master dan sekarang ini dalam proses menyiapkan PhD. Aku juga seorang isteri, ibu kepada 4 orang anak – 3 lelaki dan seorang perempuan. Semuanya masih bersekolah rendah dan menengah.

Aku ada keluarga yang bahagia. 15 tahun usia perkahwinan ini banyak cabaran dan dugaan yang aku hadapi. Dalam keluarga kecil aku ini, aku turut menjaga seorang abang ipar yang OKU.

Dia berusia hampir 50 tahun, tidak mampu menguruskan diri sendiri kerana mengalami masalah pembelajaran. Tidak boleh bercakap dan hanya faham suruhan asas seperti makan, minum dan tandas.

Suamiku boleh dikatakan tidak bekerja langsung kerana terpaksa menjaga abangnya yang OKU itu. Dia sebenarnya seorang wireman, berkebolehan membuat pendawaian elektrik, memasang aircond dan perkara-perkara berkaitan elektrik.

Tapi kekangan dengan abangnya yang tidak boleh urus diri sendiri, dia terpaksa bekerja pada waktu-waktu aku tidak bekerja. Dia ada adik-beradik lain, tapi adik-beradik lain tidak peduli dengan abang yang OKU ini.

Jadinya kami mengambil tanggungjawab menjaga abangnya selepas kematian ibunya serta abang yang kedua. Adik-beradik lain jarang sekali datang menjenguk bertanya khabar walaupun rumah mereka hanya sejengkal galah.

Aku tiada masalah menjaga abangnya yang OKU ini, cuma kadang-kadang dugaan yang Tuhan beri menguji kesabaran juga. Abangnya suka duduk dalam tandas, kadang-kadang berak dan mengepit tahi di kelangkangnya. Terpaksalah kami membasuhnya.

Masalah aku mula timbul bila aku berpindah tempat kerja. Mulanya aku seorang guru, berkhidmat jauh di negeri luar. Hidup berkelana kami sekeluarga hampir 15 tahun lamanya. 15 tahun mengajar di sekolah, cukup membahagiakan.

Bila ibu aku sendiri dijangkiti penyakit kencing manis dan terpaksa dipotong satu jari, aku mula mencari jalan untuk kembali ke kampung.

Berkhidmat dengan kerajaan ini bukannya senang nak pindah. Jadi aku memohon untuk menjadi pegawai di institut pendidikan. Alhamdulillah, akhirnya permohonan aku diluluskan.

Suasana kerja sekarang ini memerlukan aku berurusan dengan ramai tenaga pengajar. Aku menguruskan bahagian yang agak penting di institut ini.

Saban hari aku perlu berdepan dengan pekerja lelaki dan perempuan yang ingin menyelesaikan kerja mereka melalui jabatan aku.

Yang menjadi masalahnya adalah suami aku. Dia tak suka aku bercakap, bertemu dan melayan orang-orang yang datang ke pejabat aku untuk kerja-kerja mereka. Dah dasarnya kerja aku perlukan aku berurusan, bercakap dan berjumpa dengan mereka, aku nak buat macam mana.

Setiap hari sepanjang waktu kerja dia akan video call aku. Dari mula kerja hingga aku balik kerja, aku terpaksa video call dengan dia sepanjang masa. Bayangkan! 7:30 sehingga 4:30 tanpa henti, tanpa off video call.

Aku kadang rimas, tetapi aku ikutkan kerana kalau aku tak ikut apa yang dia nak, dia akan mula jadi serabut dan mula nak marah-marah dan mengamuk. Aku stres kerana dia sentiasa mengawasi aku.

Sampaikan masa aku senyum dengan pelanggan, dia akan screenshot video call tersebut, dan mula memarahi aku. Mungkin orang akan kata, dah kenapa video call sepanjang masa? Aku terpaksa. Kalau tidak, dia akan mula mengata aku bukan-bukan.

Sekarang ini hampir 2 tahun dah aku bersabar dengan situasi ini. Kadang aku menangis seorang sebab stres dengan situasi dan kata-katanya yang menyakitkan hati.

Dia kata aku bekerja di tempat syaitan, tempat busuk, teruk dan bergaul dengan tahi-tahi yang busuk. Semua itu dia merujuk kepada orang-orang yang bekerja di institut ini.

Aku kadang terasa hati juga, tapi kebanyakan waktu aku banyak pendam dan merawat hati sendiri. Inilah punca rezeki aku, aku terpaksa bekerja berurusan dengan pelbagai orang. Kebanyakan orang di sini ada pangkat doktorate. Dia mungkin cemburu kerana dia orang biasa-biasa sahaja.

Patut ke seorang suami cemburu sampai terpaksa video call sepanjang masa? Jika ada yang datang bercakap-cakap, dia akan kata aku mesra dan bergalak dengan orang lelaki. Padahal aku hanya menyelesaikan kerja-kerja aku.

Kerja aku juga menuntut aku pergi ke kursus-kursus luar di hotel dan dewan-dewan. 5 hari kursus, 5 hari lah kami video call sepanjang masa sehingga masa aku tidur pun masih buka video call. Aku terpaksa begini.

Tapi aku kadang terasa sangat stres dan terasa sangat tak berguna kerana kata-katanya memang memedihkan hati. Aku pendam.

Aku tak tahu sampai berapa lama lagi aku perlu hadapi situasi begini. Tolonglah sesiapa, tolong bagi aku nasihat dan langkah yang aku kena buat. Aku buntu nak bantu diri sendiri.

– Isteri Dilemma (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

One comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *