Bini Orang & Suami Orang

Hai admin. Saja nak menulis.. jam 3 pagi waktu aku menulis ni.

Baca tajuk pun dah boleh tahu kan?

Aku keliru kebelakangan ini. Aku dikelilingi insan yang berskandal. Aku terfikir, kenapa mesti aku yang tahu? Kenapa mesti terjadi pada orang terdekat aku? Aku bukanlah sibuk hal rumah tangga orang, tapi aku risau tengok fenomena pada hari ini.

Situasi A, sepupu aku sendiri. Dia PJJ dengan suami. Dia kerap bercerita pada aku lelaki itu minat dia, lelaki ini minat dia, dia minat bos dia itu ini. Aku mula dengar la juga, tapi lama-kelamaan aku mula muak bila asyik cerita pasal jantan.

Kemuncaknya, dia mula bermain TikTok, kenal laki sana sini dan semakin ligat. Ada saja cerita lelaki itu cuba dia, nak belanja dia itu ini. Order online hantar itu ini untuk dia, dan semua lelaki itu adalah suami orang.

Aku terfikir, mudahnya dan betapa ramainya ya suami dan isteri orang macam ni. Bukan seorang dua, tapi lebih 12 lelaki yang dia ceritakan.

By the way, sepupu saya ni bekerja di ofis. Bila saya ingatkan tentang suaminya, dia akan cakap suami dia tak tahu, tak pernah periksa telefon, dan kalau balik pun suami dia tak faham perasaan dia — sibuk dengan telefon dan sebagainya.

Dia sunyi sebab suami ada macam tak ada, PJJ kan. Sekadar suka-suka katanya layan lelaki-lelaki tu semua.

Puas sudah saya nasihat dia tapi dia tetap dengan habit macam tu. Saya cuma kesian dengan isteri-isteri suami-suami orang tersebut.

Contohnya bosnya yang alim dan muka baik, awalnya bukan jenis layan perempuan tapi akhirnya terjebak dengan sepupu saya ni.

Bermula cerita hal peribadi, masalah itu ini dan tersangkutlah di tempat kerja. Dalam masa sama juga, dia ligat melayan lelaki lain yang dia kenal dalam TikTok. Adakah ini fenomena biasa untuk zaman sekarang?

Kisah kedua pula, kawan baik saya, B. Dia sentiasa ada masalah kewangan. A to Z semua dia uruskan, suaminya pendapatan tak tetap. Dia pula penjawat awam, sama macam sepupu saya tadi.

Saya perasan dia pun mula ligat post di TikTok dan seronok mendapat like dan pujian dari lelaki. Bermula dari situ, dia semakin rancak post itu ini.

Oh ya, yang saya perasan dua-dua ni tak akan post pasal suami kat media sosial. Tapi mereka akan cakap lelaki tu semua tahu je mereka ni bini orang. Kawan saya B ni mula menjalin hubungan serius dengan suami orang.

Pada awalnya, dia melayan suka-suka lelaki — dalam tu ada la 5, 6 orang. Ada yang dia kenal secara bersemuka ketika kursus. Mula keluar minum berdua, jumpa, luah masalah.

Namun yang merisaukan saya, baru ni kawan saya B ni dah makin angau dengan suami orang ni — saya namakan Z. Sanggup tiap minggu turun KL untuk jumpa Z ni, suaminya tak tahu sebab dia bagi alasan tengok anak yang belajar di IPT di KL.

Masing-masing tahu status — suami dan bini orang — tapi tetap berskandal. Ayatnya umpama suami isteri tapi tak boleh nikah je. Keduanya berjanji tak boleh cemburu bila dengan pasangan masing-masing, akan kekal cinta sayang hingga akhir hayat.

Kenapa saya tahu? Kawan rapat, sebab tu dia cerita kat saya. Saya rasa bersalah sebab kedua-dua ni dah tentu saya kenal suami mereka.

Nak bagitahu suami mereka nanti dikatakan menyibuk hal rumah tangga orang, tapi dalam masa sama risau dosa tidak cegah kemungkaran walau tahu.

Keduanya dah sampai tahap berjumpa, pegang tangan, lebih pada itu saya tak tahu. Setiap hari akan cari masa untuk video call tanpa pengetahuan suami mereka.

Kisah ketiga, sahabat saya C — sama sahaja macam B cuma dia bercinta dengan si bujang. Dia masih isteri orang.

Bila ditanya punca curang, C kata suaminya dulu pernah curang jadi dia dah tak ada hati dengan suami. Tidak bercerai sebab fikirkan anak. Saya dah nasihat, baik cerai daripada buat dosa. Dia kata biar masa tentukan.

Kesimpulannya, semua 3 insan isteri orang yang bercinta dengan suami orang ni berpunca kerana inginkan perhatian. Punca dari suami sendiri yang sudah hilang tanggungjawab — tak bagi nafkah, hanya harapkan isteri.

Lama-kelamaan isteri bosan, cari luar. Ada juga suami bagi semua tapi sebab isteri bosan, suami sibuk, maka cari lelaki lain untuk berborak dan meluah.

Dahulu B ni pernah kecam kawan kami yang skandal dengan ustaz, namun kini selepas 5 tahun dia di situasi yang sama — skandal dengan suami orang. Benarlah adakalanya kita akan diuji dengan kata-kata kita sendiri.

Saya menulis di sini pun saya risau, ke depan adakah saya juga akan diuji begini? Namun semua ini untuk pengajaran. Seorang isteri itu mudah untuk masuk syurga jika mendapat reda Allah dan suaminya, namun mudah juga masuk neraka.

Umur kawan-kawan saya ni pula semua dah 35 tahun ke atas. By the way, apa patut saya buat untuk nasihat kawan-kawan saya ni? Kenapa saya ada circle macam ni tapi saya bukanlah jenis macam ni buat masa sekarang — ke depan saya sendiri tak tahu namun minta dijauhkan.

Nasihat saya untuk semua isteri di luar sana — ada sebarang masalah dengan suami, itu bukanlah tiket untuk kita melayan lelaki lain.

Suami orang yang kat luar tu memanglah suka benda “free”, tak payah bertanggungjawab kalau jadi apa pun sebab bini orang kan, mengandungkan pun orang tak tahu. Tapi ingatlah, Allah Maha Mengetahui.

Jagalah batas dengan bukan mahram, jangan luah masalah atau cuba-cuba nak kawan je — akhirnya dah makan diri. Paling sedih ayat “alaa, kawan rapat je, bukan ada apa”, tapi hari-hari video call dengan lelaki tu, cari masa jumpa skandal. Depan suami cover habis.

Risau lihat trend suami orang dan bini orang ni. Moga kita semua dijauhkan.

– Akhir Zaman (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

One comment

  1. apa yang aku boleh simpulkan, kebanyakan yang berskandal ni:

    1) hidup bertuhankan nafsu. suka kan perhatian, rasa tak cukup lah, rasa ada orang lain yang boleh bagi lebih.

    2) hidup takde matlamat besar (sudah tentu matlamat akhirat). Orang yg bermatlamat besar, contoh ya, nak bantu orang yang lebih susah, jadi aktivis, pi bantu bagi makan kat gelandangan, sentiasa cakna masalah ummah. InsyaAllah akan sibukkan diri dengan benda faedah.

    3) fikir pendek dan takda daya nak pertingkatkan diri dan sayangi diri sendiri. Orang yang sayang diri sendiri, dia fikir paaannjang nak buat benda yg boleh rosakkan diri.

    4) Jauh dari ibadah dan amalan baik. Kalau ada tu, buat sekadar buat. tak mindful ore kato.

    Ntahlah, aku ni terfikir, perasaan tu kalau wujud, sebab ujian…Tapi kita boleh pilih untuk tak menjebakkan diri walaupun perasaan suka tu mcm ada.Perasaan tu boleh disemai dan boleh juga kita hilangkan semua bergantung usaha kita nak ke taknak.

    nasihat kepada confessor, ko boleh nasihat cara subtle dan lembut2 dulu. Kalau tak jalan, bolehlah sound setepek dengan cara direct/kasar. Kalau ko tak buat, ko pon jatuh bersubahat tau. lastly, berdoa supaya hati mereka berubah/ supaya Allah tunjukkan jalan lalu berdamailah dengan usaha yang confessor mampu. Sebab kita ini hanyalah pemberi peringatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *