Jasa seorang ibu tiri kadang kala tidak bernilai di mata anak-anak tiri.
Dalam kisah ini, kita panggil beliau Minah, seorang janda yang mempunyai tiga orang anak hasil perkahwinan terdahulu.
Lima tahun hidup sendirian, akhirnya Minah dipertemukan jodoh dengan Yahya, seorang duda yang kematian isteri dan mempunyai sembilan orang anak.
Perkahwinan mereka bukanlah hasil cinta muda seperti pasangan zaman sekarang. Ia adalah hasil “matchmaking” daripada kenalan mereka — cara orang dulu, yang mencari teman hidup bukan kerana cinta semata, tapi kerana ingin saling menemani di usia senja.
Ketika berkahwin, Minah berusia 55 tahun manakala Yahya 71 tahun — beza umur mereka 16 tahun.
Mereka menetap di kawasan FELDA dan hidup bersama selama 14 tahun.
Orang tua kata, kahwin di usia begini bukan untuk berkasih-kasihan seperti anak muda, tetapi untuk berteman — ada kawan berbual, teman mengaji, dan pasangan yang boleh bersama di dapur menyediakan juadah.
Selama 14 tahun itu, Minah menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri dan ibu kepada anak-anak tirinya dengan penuh kasih sayang.
Dia tidak pernah membezakan antara anak kandung dan anak tiri — semuanya dianggap darah daging sendiri.
Setiap kali raya, rumah mereka meriah dengan anak, menantu, cucu dan cicit. Minah akan memasak pelbagai juadah — pagi lain, tengah hari lain, malam pun lain. Rumah itu sentiasa hidup dengan suara dan gelak ketawa.
Bila tiba giliran anak-anak Yahya pulang, rumah penuh sesak dengan keluarga mereka.
Bila mereka balik semula, anak-anak Minah pula datang — macam sistem “check in” dan “check out” kerana rumah itu memang sentiasa ramai penghuninya.
Namun, pada tahun 2024, kesihatan Yahya mula merosot. Beliau terlantar sakit dan tidak lagi mampu menguruskan diri.
Salah seorang anak Yahya mengambil keputusan berhenti kerja untuk membantu Minah menjaga ayahnya di kampung. Dengan usia dan kudrat yang semakin lemah, Minah memang tidak mampu lagi menguruskan suaminya seorang diri.
Beberapa bulan kemudian, pada awal tahun 2025, Yahya menghembuskan nafas terakhir. Dua minggu selepas urusan pengebumian selesai, Minah dibawa ke rumah anaknya sendiri untuk menjalani tempoh iddah selama empat bulan sepuluh hari.
Namun, sejak hari Minah melangkah keluar dari rumah bekas suaminya itu, tiada satu pun daripada anak-anak Yahya yang menghubunginya.
Tidak bertanya khabar, tidak menjenguk, apatah lagi memberi salam atau ucapan raya. Seolah-olah Minah tidak pernah wujud dalam hidup mereka.
Lebih menyedihkan, duit khairat kematian Yahya — yang setiap tahun dibayar oleh Minah sendiri bagi pihak mereka berdua — tidak diserahkan langsung kepadanya. Sedangkan dia yang menetap bersama Yahya hingga ke akhir hayatnya.
Begitu juga dengan duit saham FELDA, yang sepatutnya menjadi nafkah Minah semasa hidup Yahya. Semua hasilnya dibahagikan tanpa melibatkan hak Minah. Sepatutnya duit itu difaraidkan mengikut hukum, bukan diambil sesuka hati.
Segala jasa dan pengorbanan Minah selama bertahun-tahun menjaga rumah tangga itu, seolah-olah terpadam begitu saja.
Anak-anak Yahya — kesemuanya berpendidikan dan tahu hukum agama — sanggup menafikan hak seorang wanita yang telah menjaga ayah mereka dengan penuh kasih dan sabar.
Kini, di usia 69 tahun, Minah hanya mampu menanggung rindu dan luka di hati. Dia sering menangis bila mengenang perbuatan anak-anak tirinya.
Anak-anak kandungnya memujuk supaya dia redha dan melupakan mereka yang tidak mengenang budi. Tapi hati seorang ibu — walau hanya bergelar ibu tiri — tetap punya rasa.
Wahai kamu yang mengenali kisah ini,
Jika kamu tahu cerita ini milik kamu,
Pulanglah hak Minah sebelum terlambat.
Air mata seorang ibu — walaupun hanya ibu tiri — tidak pernah sia-sia. Doanya tiada hijab, dan jika hatinya teraniaya, balasannya hanya Allah yang tahu.
Minah tidak menghalalkan apa yang sepatutnya menjadi haknya yang telah diambil.
Ingatlah, airmata insan teraniaya boleh menjadi sebab kamu tersungkur ke dalam api neraka.
“Zalim itu kegelapan di akhirat.”
– JATI (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit
Manusia kalau dah melibatkan hal duit terus keluar semua perangai tamak haloba nya.
Semoga Mak Minah mendapat hak nya semula.