Gila Ke Aku Ni?

Assalamualaikum warga IIUM Confession yang dirahmati Allah selalu. Ya, warga IIUM Confession yang sentiasa dalam doa aku, kerana banyak yang telah membantu aku. Memberi semangat hidup, dan ada yang umpama malaikat kecil untuk aku.

Serba salah rasanya untuk kembali meluah kerana ada yang dah kenal dan simpan nombor aku, tapi apa daya aku sebagai manusia. Tak tertanggung rasanya perit didada. Tiada tempat bercerita, tiada tempat berpaut.

Syukur pada Allah, confession yang lepas, Allah kirimkan hati2 mulia untuk memberi semangat dan pertolongan, untuk aku bernafas seketika. Dan selagi bergelar manusia, ujian itu akan tetap hadir hingga hujung nyawa.

Sehabis daya aku cuba redha, namun segala yang bertimpa memaksa aku kembali ke sini. Untuk semangat dan tips ibadah seperti sebelumnya. Banyak doa dan zikir baru yang aku dapat, alhamdulillah.

Semalam, aku hampir bunuh diri. Aku digoda suara halus untuk mengakhiri semuanya. Habiskan penderitaan hidup.

Namun iman yang tersisa menyedarkan aku, yang mana satu pilihan aku? Penderitaan di dunia sementara yang berbalaskan syurga selamanya, atau penderitaan selama2nya tanpa pengampunan dari yang Esa?

Maafkanlah aku jika ada yang merasa aku tewas dengan ujian kecil. Ada yang diuji lagi hebat. Ya, aku sedar. Tapi izinkanlah aku bercerita. Sekadar melepaskan sesak didada. Bantulah aku, adakah aku gila?

Dalam bermacam bantuan yang aku terima, ada sorang hamba Allah beri modal aku meniaga ice blended. Seminggu meniaga, Alhamdulillah semuanya baik2. Aku seronok. Ada duit belanja dan duit susu anak.

Aku sentiasa update hamba Allah tersebut akan hasil jualan aku. Hinggalah Allah masih ingin menunjukkan rasa sayangNya pada aku. Duit simpanan hasil jualan yang aku sisipkan di celah Quran, hilang. RM50 mungkin kecil, tapi amat besar pada aku. Berat rasanya untuk aku terima.

Dua hari usaha mencari, tapi aku redha bila tetap tiada rezeki. Aku tak menangis. Mungkin ada kelalaian aku hingga Allah tarik sedikit dari nikmatNya. Aku ikhlas dan berdoa agar digantikan dengan yang lebih baik.

Aku bercerita dengan suami. Suami frust. Suami tak pernah rasa hilang duit, apatah lagi lepas berpenat lelah macam ni. Aku sendiri dah biasa. Dan simpan dalam Quran adalah jalan terakhir aku dengan doa tawakal pada Allah.

Wallahi, suami dah merata cari kerja. Masih belum ada rezeki. Suami aku tak memilih kerja. Rela apa saja. Kalau aku terpaksa tidur jam 2 3 pagi untuk siapkan tempahan, suami juga tidur waktu sama. Takkan tidur selagi aku belum berehat, walau tiada apa yang perlu dibantu.

Aku usaha lebih keras. Siang berjual, malam mengadap oven untuk seketul dua kek dan biskut. Sampai menangis sebab kaki cramp dan pinggang sakit ya amat. Sedang jualan kek baru nak naik kerana dapat promosi hangat, Allah uji lagi. Oven aku rosak. Allahu.

Satu sen pun takde untuk aku panggil orang datang baiki. Kek yang aku jual tak boleh dikukus. Khas untuk bakar. Tempahan kek dibatalkan. Kualiti kerja terjejas saat baru nak meningkat. Aku redha. Mungkin Allah nak aku tumpu pada ice blended sahaja.

Selang sehari, sedang dua tiga pelanggan menunggu ice blended, blender aku jem. Tak bergerak. Bau hangit. Allah. Customer balik macam tu je. Sampai hari ni masih begitu. Blender lama, blender dapur, bukan heavy duty.

Tiba masa follow up klinik. Khabar dari doktor, aku ada anemia ringan. Doktor push aku makan macam2 untuk naikkan HB, sebab masih jauh lagi, boleh drop teruk lagi. Dengan masalah valve. Dan injap bocor dah effect pada satu lagi injap.

Jadi sekarang aku ada dua injap bocor. Beserta migrain yang bergantung pada ubat. Dan yang jadi masalah besar aku sekarang, ada suara halus yang sering berbisik bisik pada aku. Semalam lepas asar, aku berbaring sambil zikir. Tanpa aku sedar mulut aku terhenti zikir.

Datang suara halus, katanya aku dah terlalu letih dengan semua ini. Baik aku tamatkan saja. Jangan fikirkan apa lagi. Jauh disudut hati, aku tau ini salah. Bukan ini caranya untuk selesaikan masalah.

Airmata aku laju mengalir sebab aku harapkan suara itu pergi. Terasa ada jeritan kuat dari dalam hati aku. Kaki aku kaku. Otak ligat menyuruh aku capai gunting dan habiskan semuanya.

Aku paksa bangun dan berlari ke tandas. Buka pancuran air, biarkan jeritan itu tetap dalam hati, memaksa ia pergi. Aku menangis sekuatnya untuk tenangkan diri. Aku cakap pada diri, aku taknak gila. Aku taknak bunuh diri. Aku dambakan syurga untuk aku sekeluarga. Bantulah aku Tuhan.

Aku paksa diri aku zikir dalam hati. Ingat segala susah payah selama ni, aku tempuh sampai sekarang. Tandanya aku mampu. Aku kuat.

Selang beberapa minit, aku tenang. Hampir maghrib, aku siapkan diri. Aku menangis lagi. Dalam solat, dalam fatihah, dalam rukuk, dalam sujud, air mata menitis2.

Suami puas bertanya kenapa. Aku tak mampu jawab. Aku nak tenang. Dalam sujud, aku mohon agar aku terus kuat. Aku sayang diri aku, sayang Allah. Aku nakkan syurga yang mahal. Aku nak kuat. Aku mohon dengan hati yang teramat rendah bersujud.

Habis mengaji, aku termenung. Aku paksa fikiran aku bentangkan segala rezeki yang Allah dah bagi. Anak sulung aku jarang sakit. Dia pandai ambil hati dan perkembangan sangat cepat. Anak dalam kandungan aku sihat dan normal walau aku makan tak menentu dan kesihatan aku terganggu.

Aku ditemukan dengan warga IIUM Confession yang beri semangat dan bantuan tanpa balasan. Aku duduk dengan keluarga, tak perlu menyewa. Aku masih ada rezeki kereta untuk selesa ke mana2.

Dan tak berapa lama lepas tu, kawan suami call, katanya ada projek bulan 3. Dia yang uruskan pengambilan. Alhamdulillah. Walaupun lambat lagi, tapi aku sedikit lega.

Untuk 27 hari lagi dan permulaan pjj dgn suami, aku akan bertahan. Aku ingatkan diri aku, tak ada kesusahan yang kekal selamanya. Sentiasa ada manis dihujungnya.

Pagi ni aku bangun, aku terasa nak berhubung dengan nurse, nak minta pendapat untuk rujuk psikiatri. Tapi, banyak juga yang aku fikirkan. Temujanji yang ada dah sedia banyak. Hospital jauh dari rumah.

Yang ada sekarang pun dua minggu sekali. Kos lagi. Lagipun aku memang ada gangguan. Jadi mungkin aku bukan sakit psikiatri? Iman tak kuat mungkin? Kurang ibadah? Warga IIUM Confession ada pendapat ke tentang ini? Perlu ke aku rujuk?

Aku dari zaman bujang memang mudah stress, tapi zaman bujang bila stress aku sekadar duduk bucu katil, menangis dan tarik2 rambut untuk setengah jam. Lepas tu, aku tidur and berkurung, lepas dua hari aku okay.

Oh, aku memang introvert. Background family pun tak berapa cantik. Ada juga yang aku pendam tentang family. Entah lah. Takut nak rujuk psikiatri. Takut terbuka aib. Takut menyusahkan suami. Takut segalanya.

Moga masih mendapat respon positif dan supportive seperti sebelumnya. Terima kasih banyak semua. Moga Allah mudahkan kehidupan kalian, dan diberi kebaikan berganda, di dunia dan akhirat. Allahumma ameen.

– D (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *