Gara Gara Pernah Berjudi

Assalamualaikum semua. Nama saya Seroja (bukan nama sebenar). Sudah lama saya ingin meluahkan perasaan saya yang dah lama terbuku di hati. Kisah adik lelaki saya, F (bukan nama sebenar).

Sejak kecil, adik saya ni dah menunjukkan simptom suka bermain tilam-tilam dan permainan yang melibatkan duit syiling. Ada satu tahap, masa dia sekolah rendah, dia suka main mesin permainan di pasar raya.

Ok, saya pendekkan cerita. Otak dia sangat bergeliga dan pandai. Dia pandai mengaji Al-Quran di samping pandai hukum tajwid jika dibandingkan dengan kami yang lain… hanya so-so je. Kepandaian dia menjadi kebanggaan mak bapak saya, tak sudah-sudah memuji dia.

Semasa dia belajar di IPTA, bapak saya membelikan dia motor, sedangkan kami masa belajar naik bas atau tumpang kawan punya motor. Dan saya seperti memberi leher saya untuk dipancung… maksudnya, saya beli sebuah kereta kecil baru untuk buat sewa atas nama saya.

Hari berganti hari dan bulan, pihak bank kerap call saya di ofis. Saya stres dan takut kalau terdengar bunyi telefon di ofis.

Sampai satu ketika, saya diberitahu kereta tersebut telah ditarik. Seperti biasa, mak bapak saya berusaha untuk tebus semula. Dan sekali lagi ditarik selepas dia gagal bayar seperti perjanjian awal masa nak beli.

Akhirnya saya ambil keputusan tak mahu tebus dan biarkan dilelong bank dengan baki RM7K. Masa tu dia dah habis belajar dan ada kerja yang tak berapa nak jelas jenis pekerjaan dia… dan dia berbelanja besar dan mewah. Dia tak ada langsung terlibat di hati nak tebus.

Bila saya bising, mak bapak akan marah saya. Bayangkan macam mana saya rasa hadap seorang macam ni.

Selepas itu, saya bertukar pekerjaan lain dengan gaji yang baik. Saya nak juga tukar kereta yang lain sebab kereta yang ada dah lama dan kerap rosak.

Malangnya, nama saya disenarai hitam angkara adik saya. Saya turun naik bank, terpaksa buat pinjaman untuk selesaikan hutang kereta F — dari RM7K menjadi RM11K.

Dan bermulalah episod saya terpaksa ikat perut bayar hutang F. Ya Allah, sedih sungguh. Saya selalu ikat perut dan leher. Dah la masa tu saya duduk di perantauan… cuba kalian bayangkan, nak beli sehelai baju pun tak mampu.

Tahun berganti tahun, dia janji nak repair rumah family. Habuk pun tak ada. Saya juga akhirnya yang renovate. Dan dia ada aktiviti yang suka minta duit beribu-ribu dengan mak, bapak, saya dan kawan-kawan dia.

Saya pelik, dia tak bekerja, tidur sampai tengah hari, tapi dari mana dia ambil duit? Sia-sia dia belajar dan jadi anak kebanggaan mak bapak saya.

Sampai satu tahap, orang mesej saya cakap dia ambil duit orang. Ada dia tipu untuk join projek sana sini, rupanya bermain judi. Dia bukan sahaja minta mak duit, bahkan barang kemas emak juga jadi mangsa. Lebih malu bila melibatkan saudara mara.

Ya Allah, malunya saya, tak tahu nak letak muka. Kerana selama ini mak saya suka cerita pasal dia dan sembunyikan aktiviti dia.

Kehidupan dia seumpama penagih dadah yang ketagih berjudi tu, membuatkan dia kerap menipu mak bapak saya dengan projek dia sana sini. Sekarang yang percaya hanya mak saya saja… bapak saya dah tak percaya. Sampai tua, bapak saya masih bekerja.

Kami sedih, benci dan geram kerana duit belanja mak bapak saya selalu tak cukup. Sedangkan duit rumah dan kereta dah habis bayar. Duit belanja yang kami bagi adik-beradik tu sebenarnya cukup untuk mak bapak saya berdua nak hidup.

Saya kesal dan kecewa dengan sikap F yang tak pernah berubah dan insaf. Dia suka menipu demi mendapatkan duit untuk berjudi.

Dan paling sedih, mak saya seorang je yang percaya dengan F. Emak saya sanggup suruh saya bagi F pakai kereta saya demi F — kereta yang saya sendiri bayar setiap bulan.

Di mana hati dan perasaan dia? Senangnya hidup dia, tak bekerja, duit, tempat tinggal, kereta dan duit main judi disediakan. Takkan tak ada sekelumit rasa kesian dengan mak bapak… menipu mak bapak demi nak bermain judi. Sekampung dia meminjam duit sebab nak berjudi.

Saya jadi stres. Hari-hari saya berfikir pasal F. Saya malu dengan suami sebab duit suami pun dia minta. Allahuakbar, dari suami tak tahu aktiviti berjudi dia, kini dah tahu.

Saya sebolehnya sembunyikan aib F. Tapi dia tak jaga aib kami sekeluarga. Setiap minggu WhatsApp dan call minta duit kami adik-beradik, sedangkan kami semua punyai komitmen. Seolah-olah menanggung biawak hidup.

Apa yang saya nak cakap… mak bapak juga jangan suka beza dan banggakan anak. Belum tentu yang disanjung itu baik berbanding anak yang tak seberapa. Sedih.

Saya harap F insaf dan sedar serta jauhkan diri dari aktiviti berjudi. Saya tak mahu F ditangkap polis sebab berjudi dan menipu. Saya masih ada rasa sayang sebab dia adik saya.

Hari-hari saya tak lupa mendoakan F agar dia bertaubat. Doakan saya agar kuat dan doakan F semoga dia berubah dan mendapat hidayah.

– Seroja (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *