Ayah Aku Tak Solat

Sebelum aku berkahwin dulu, ramai yang kata dekat aku, jodoh kita akan lebih kurang dengan ayah kita. Tapi aku tak setuju dan tak nak begitu. Kenapa? Aku akan ceritakan dibawah.

Ayah aku sangat baik. Seorang yang kuat bekerja. Ayah sanggup buat 2-3 kerja untuk tampung kami sekeluarga. Ayah aku seorang yang lemah lembut tak pernah aku nampak ayah aku marah. Ayah aku juga ada rupa paras yang agak kacak.

Ramai kata beruntung aku dapat ayah begitu. Tak dinafikan aku sangat bersyukur tapi ada satu kekurangan yang aku rasa aku harus perbetulkan, ayah aku tak solat.

Ayah akan solat setiap kali ibu aku suruh. Kami tidak diberikan pendidikan agama dari rumah. Aku dan adik beradik yang lain banyak belajar di sekolah.

Aku selalu nampak mak aku nasihat ayah aku untuk solat. Setiap kali keluar kemana-mana ayah takkan berhenti solat. Bila semakin membesar wujud perasaan bersalah dalam diri kerana aku pun terpaksa tinggal solat setiap kali keluar.

Masa aku Form 1 aku dapat masuk sekolah berasrama penuh agama. Dari situ banyak yang aku belajar dan aku suka dengan rutin seharian, mengaji, solat jemaah, dari situ aku belajar menutup aurat dengan sempurna.

Sama seperti adik beradik aku yang lain, kami masing-masing mencari agama itu sendiri. Tak dinafikan ibu aku sangat baik, tapi diuji dengan suami yang tak solat.

Sehingga aku sendiri selalu berdoa, aku taknak suami seperti ayah. Aku nak seorang yang boleh bimbing aku, yang tak tinggal solat, aku nak anak-anak aku dapat didikan agama yang sempurna.

Alhamdulillah, sekarang aku dah berkahwin dan dapat suami yang baik agamanya hanya satu yang kurang, suami aku tidak selembut ayahku. Seorang yang sangat tegas. Tiada yang sempurna begitu juga dengan ayahku.

Sehingga kini, walaupun ibu telah tiada, ayah masih lagi solat celup-celup ada masa solat ada masa tinggal. Kami sebagai anak ada tegur, tapi susah sangat nak mengubah benda yang sebati bila dah tua.

Aku masih sentiasa doakan ayah. Kerana aku sayang ayah aku. Aku nak berkumpul di Syurga walaupun aku sedar yang aku juga banyak dosa.

Kepada pembaca, terutama lelaki, andai kini masih tak solat. Masih lagi buat perkara yang lagha, bertaubatlah, berubah. Kerana hidup ni sementara, dan bila berkahwin suami akan jadi nakhoda kapal. Jika ketua tak dapat mengawal dengan baik maka karamlah kapal itu.

Jauh disudut hati seorang isteri dan anak inginkan seorang ketua keluarga yang dapat membimbing dengan cara yang lembut.

Terima kasih membaca. Assalamualaikum.

– Tak Sempurna (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *