Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua.
Tahun 2016 sudah 8 tahun aku bekerja di syarikat ini. 3 tahun kebelakangan ni adalah tempoh masa yang sangat tertekan. Dan tiada siapa rakan sekerja yang boleh aku kongsi perasaan dan tampak simpati ikhlas pada aku. Semua sahabat karib dah lama tinggalkan syarikat. Yang tinggal hanyalah rakan sekerja yang tidak lebih hanya teman makan dan sembang kosong. Mengapa aku tertekan? Soalan yang seringkali aku cuba rungkaikan jalan keluar dan cari jawapan sebenar. Namun sehingga ke saat aku menulis konfesion ini, tuhan masih takdirkan aku di sini berhadapan dengan 1001 cabaran dan masalah.
Untuk makluman semua, 5 tahun pertama aku bekerja di syarikat ini adalah antara tempoh terbaik dalam kehidupanku. Tekanan kerja tidaklah sangat menjejaskan hidupku malah aku rasa terus bersemangat menambah ilmu dan pengalaman. Ketika waktu itu, kebajikan pekerja adalah perkara yang syarikat amat pentingkan. Gaji sentiasa bertambah, pernah dalam setahun lebih daripada sekali naik gaji. Isu bonus jarang digosip oleh pekerja, hujung tahun pasti berganda-ganda gaji dalam akaun bank. Di pertengahan tempoh itu, pengurusan atasan bertukar dan penstrukturan semula berlaku. Syukur kebajikan pekerja terus dibela. Paling penting selepas itu, tampak visi yang jelas daripada pengurusan atasan. Aku terus bersemangat.
Latihan diberi walaupun kadangkala tidak tepati kehendak skop kerja aku. Bimbingan secara rapat mungkin kurang kerana konsep yang diterapkan dalam syarikat sejak dahulu adalah berdikari. Ada rakan sekerja yang bisa aku kongsi masalah. Aku sangat gembira bekerja walaupun adanya sedikit kelemahan pengurusan di sana sini. Maklumbalas prestasi diriku yang diterima daripada supervisor dan pengurusan atasan amat positif. Aku nampak masa depan yang gemilang menanti aku tanpa aku bersusah-susah memikir mencari pekerjaan lain.
Tapi itu dahulu. Tiga tahun kebelakangan ini, segalanya berubah apabila pengurusan tertinggi bertukar tangan sekali lagi dan bertukar lagi kemudiannya. Dan aku nampak syarikat sedang merudum. Pengurusan baru tampil dengan kononnya idea-idea baru memacu ke depan tapi aku nampak syarikat makin ke belakang. Ramai yang berhenti. Ada yang diberhentikan dan dipaksa berhenti. Wujud puak-puak pembodek tegar, pelakon hebat dan yes man. Tak dinafikan tempoh masa sebelumnya ada golongan seperti ini namun kini makin jelas. Ada pula kawan makan kawan. Manakala puak yang disukai boleh bersenang lenang mengambil kesempatan bergoyang kaki, datang lambat dan menuding jari. Dalam pada masa yang sama, aku nampak golongan pelaksana kerja sudah tidak hormat kepada supervisor. Mudah sahaja bagi alasan bila kerja tidak disiapkan dan maklumat tidak disampaikan. Kena ketuk barulah berjalan.
Kadangkala lepas ditegur pun kerja tidak berjalan. Dan amat menyakitkan lagi hati, ada sesetengah anak buah yang sesuka hati melawan dengan nada kurang ajar dan meminta supervisor buat kerja mereka. Kalau ikutkan hati dah lama aku tangankan budak tu. Kadangkala, aku memahami kekurangan pekerja menyebabkan bebanan kerja seseorang bertambah tetapi bukanlah alasan untuk bersikap kurang ajar. Ini amat berlawanan sekali dengan zaman awal aku bekerja, iaitu masih ada rasa hormat dan adab bila bercakap dengan supervisor walaupun berbeza pandangan dan pendapat. Aku pujuk diri untuk menerima setiap perkara dengan tenang tanpa ada pergaduhan, berlapang dada dan ruang untuk aku bermuhasabah.
Di satu sudut lain, pelanggan nampaknya semakin kurang berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh syarikat. Kerapkali ketidakpuashatian diterjemahkan dalam surat teguran yang menjejaskan nama syarikat. Dalam keadaan sekarang, berhadapan dengan pelanggan adalah perkara yang aku cuba elakkan. Kini tiada lagi rakan sekerja dan supervisor yang bisa mempertahankan sebarang kenyataan dan keputusan di dalam mesyuarat dengan pelanggan walaupun seringkali yang disampaikan adalah keputusan kolektif. Ada kalanya, kita pula dipersalahkan dan disoalsiasat oleh supervisor di hadapan pelanggan. Dari segi perkembangan kerja, jawatan aku dan gaji aku masih di takuk lama. Aku bertanya secara peribadi kepada supervisor berhubung prestasi aku, jawapan yang aku terima mereka berpuashati akan tetapi mereka tiada kuasa dalam menentukan perjalanan karier aku. Kadangkala aku tidak percaya dengan kenyataan mereka. Tetapi yang mengejutkan aku, supervisor sendiri menunjukkan aku salinan penilaian berserta dengan saranan perkembangan karier yang disediakan olehnya. Aku tidak pun mengharapkan kenaikan pangkat untuk jawatan besar, cuma aku berharap usaha aku dihargai dan diterjemahkan dalam bentuk kenaikan gaji yang setimpal. Dan aku tidak nampak faktor kewangan syarikat menjadi tembok penghalang.
Aku dalam dilemma. Apa yang aku boleh simpulkan dilemma aku disebabkan oleh pertamanya aku tertekan dengan syarikat yang kurang menitikberatkan kebajikan pekerja dan keduanya tiada lagi rakan sekerja (yang atas, yang sama peringkat, yang bawah) yang tampak ikhlas bersahabat serta bekerja sebagai satu pasukan. Setiap hari aku kuatkan semangat untuk teruskan bekerja. Aku cuba positifkan diri dan kurangkan aura negatif menghantui aku siang dan malam. Aku kurangkan masa bersosial di luar waktu bekerja kerana ruang masa itu dipenuhi dengan aura-aura negatif. Untuk tempoh setahun kebelakangan ini, aku mula mencari kerja lain. Tiap-tiap hari website jobstreet menjadi rakan akrabku, salah satu tempat aku mencari jalan keluar. Kenalan-kenalan dalam industri berkaitan pun aku hampiri untuk bertanyakan peluang pekerjaan.
Memang sukar mencari kerja dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini. Aku rapatkan lagi diri dengan Sang Pencipta dan aku mohon pertolongan daripadaNya setiap hari. Aku pohon doa dan restu daripada ibu dan isteri. Pun begitu, rezeki kerja di tempat lain masih belum kunjung tiba malah belum satu pun lagi sesi temuduga yang aku dijemput hadir. Yang ada hanya sesi temuduga melalui telefon. Tuhan masih takdirkan aku di sini dengan penuh hikmah yang masih tersembunyi di sudut mata aku. Dalam masa yang sama, aku juga bermuhasabah menyesali perbuatan-perbuatan dosa yang lalu, mungkin ianya menjadi penghalang kepada doa aku dimakbulkan. Aku cuba menjadi sahabat kepada rakan-rakan sekerja tetapi sehingga kini masih tiada seorang pun teman sejati yang aku temui. Aku cuba refleksi diri membetulkan kekurangan sana sini. Mujur ada segelintir sahabat-sahabat lama yang sudi berkongsi masalah dan mencadang jalan keluar.
Aku sering bermeditasi di manakah jalan keluar bagi dilemma yang dihadapi oleh diriku kala ini. Dan kerapkali aku merintih bersendirian. Kali ini aku memilih untuk menulis kepada umum. Adakah aku perlu terus berkhidmat di syarikat yang aku nampak tiada lagi masa depan gemilang? Adakah jalan keluarnya di syarikat-syarikat lain yang peluangnya masih belum nampak jelas? Adakah ini masanya aku perlu memulakan perniagaan sendiri? Arrghh!! Pening kepala aku memikirkannya. Adakah orang di luar sana yang dalam dilemma sepertiku? Mungkin ada sahabat alam maya yang boleh menasihatkan dan meyakinkan diriku ini….
– Mokhty
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit