Assalamualaikum. Pertama sekali aku harap sangat admin approve kisah aku ni. Sebelum ni aku banyak follow kisah2 di iium confession. Terpikir jugak nak confess apa2 yang aku tak puas hati dalam hidup ni. Tapi aku fikir, lebih baik aku confess sesuatu yang positif, moga2 hidup aku akan terus positif dan mempositifkan orang lain, insyaAllah. Maaf kalau cerita berterabur, seriously banyak yang aku nak luah. Sebagai pengenalan ringkas, aku adalah pelajar master di sebuah IPT awam. Walaupun master aku mungkin tak cemerlang macam orang lain, tapi Alhamdulillah… aku berjaya mengikut kayu ukur aku sendiri. Sebab aku ‘besaing’ dengan diri aku sendiri, bukan ‘bersaing’ dengan orang lain. Kisah aku ni aku tujukan buat remaja2 yang rasa diri tak berguna untuk hidup, rasa ‘loser’, rasa tidak diperlukan oleh orang lain, rasa dihina, rasa diri lemah…moga2 kamu semua boleh bertahan untuk hidup. Hidup dengan penuh makna, dan hidup dengan lebih baik.
Kisah aku dari kecil, aku adalah terdiri daripada 4 orang adik-beradik. Aku anak perempuan ketiga dan mempunyai seorang adik lelaki. Aku boleh dikatakan mendapat kurang kasih sayang dari ibu bapa, memandangkan aku anak perempuan ketiga, yang mana keluarga mengharapkan mendapat anak lelaki. Dan aku juga tak secantik kakak2 aku yang lain. Entahlah, mungkin perasaan aku yang salah. Banyak kali aku pujuk diri aku supaya tak berfikir begitu. Aku selalu dibuli oleh kakak2 aku sewaktu kecil. Macam2 kena, dihalau, kena hina, dipukul. Aku selalu dibuli teruk. Pernah sekali diludah dengan chewing-gum, ditampar hingga hidung berdarah dan macam2 lagi. Ibu aku juga kelihatan tak adil dengan aku. Aku masih ingat kakak2 aku tak mahu bawa aku bermain di taman, aku menangis meronta-ronta mahu ikut. Ibu aku tarik aku, rotan aku dan menyuruh aku menghafal sifir matematik. Ibu kata aku tak malu sebab mahu ikut bermain sedangkan kakak2 aku tak mahu membawa aku bersama.
Pernah sekali aku pulang dengan keputusan peperiksaan. Aku mendapat markah 99% dalam bahasa Arab. Aku seharusnya mendapat pujian oleh ibuku. Namun sebaliknya, ibu aku berkata kepada aku bahawa guruku seharusnya memberi ‘markah simpati’ dengan memberi markah penuh. Aku katakan kepada ibuku, guru tidak boleh buat begitu kerana aku memang telah salah menjawab 1 soalan. Lantas ibu aku menampar pipi aku dengan kertas peperiksaan tersebut hingga berdarah di telinga aku. Bukan sekali dua ibuku memukul aku, begitu juga kedua kakakku, tidak mengapa aku sudah biasa. Jiran2 pula selalu menghina aku tak cantik, hitam dan sebagainya, begitu juga kedua kakak2 ku. Aku menjadi pendiam sejak kecil lagi. Pernah sekali jiran menyuruhku memilih nombor bertuah,nombor judi, seperti biasa aku hanya diam apabila sesiapa bercakap dengan aku. Lantas aku digelar bodoh, bisu dan macam2 lagi gelaran. Sehinggalah aku mendapat tempat pertama di sekolah tadika, dan mendapat top 5 di sekolah rendah. Aku berjaya menutup mulut2 orang itu. Trauma yang aku alami menyebabkan aku menjadi pendiam, tidak mudah mesra dengan orang lain, sukar mempercayai orang lain, dan sehingga kini…aku masih tidak menguasai bahasa arab. Aku pernah cuba untuk membunuh diri sewaktu aku di sekolah rendah….aku berpura-pura tidur, di tangan aku ada besi untuk aku potong urat nadi. Tapi anehnya, aku tak bunuh diri. Entah mengapa aku bertahan. Waktu tu, aku berharap hari esok akan lebih baik. Aku tunggu sehingga hari esok, dan hari esok yang seterusnya, tetap tak jadi lebih baik. Sukarnya untuk aku ‘survive’ walaupun dalam keluarga aku sendiri.
Di sekolah, aku perasan kawan2 ramai yang memilih kawan. Kebanyakan orang lebih sukakan kawan yang kaya, cantik, pandai dan yang berasal dari keluarga yang berpengaruh. Bukan saja pelajar sekolah, guru sekolah juga begitu. Aku perasan ramai juga guru yang begitu, berat sebelah terhadap pelajar yang selekeh, kurang berada, kurang pandai, dan lebih berat kepada pelajar yang pandai, anak2 PPD, anak doktor, anak cikgu dan sebagainya. Pelajar-pelajar yang begitu yang akan dilantik jadi pengawas, ketua kelas, ketua kelab/pasukan, yang diambil mewakili sekolah dalam pertandingan. Aku tak salahkan mereka, itu memang antara kriteria penting nak pilih ketua, pakaian kemas, keputusan cemerlang memang kriteria untuk membuatkan seseorang itu dipercayai atau disayangi. Cuma satu, jangan sesekali pandang rendah pada pelajar yang berpakaian selekeh, pelajar kurang cerdik, pelajar yang bermasalah di sekolah. Aku ingat lagi kawan2 aku yang petah berkata-kata, yang anak orang kaya, anak cikgu, PPD, boleh bawa phone sesuka hati ke asrama, boleh ponteng ke surau dan lepak2 di rumah warden. Sedangkan jika kami pelajar2 ‘selekeh’ akan didenda dan dimalukan di hadapan orang ramai. Korang jangan hentam aku, ini pengalaman hidup aku. Sebenarnya aku percaya ramai guru2 diluar sana yang baik2. Tapi korang tahu, dalam ramai2 orang yang begitu, kau akan lihat yang mana satu kawan2 yang sebenar, dan mana satu guru sejati. Sekali lagi aku perlu ‘survive’ di alam persekolahan.
Aku masuk ke universiti dengan result ‘suam2 kuku’ atau senang faham ‘cukup2 makan’. nak dibandingkan dengan pelajar lain, aku adalah pelajar yang agak lemah. Tapi aku usaha juga hingga ke tahap master ni. Kalau orang lain study satu jam, aku study 2 hari pun tak mampu setanding dengan result diorang. Kalau esok exam, kawan2 aku boleh tengok cerita korea lagi dan dapat result dekan setiap sem. Aku akan perasan, ada pensyarah yang hanya tahu kejar KPI, kejar pangkat, kejar dana penyelidikan. Aku juga perasan, kebanyakan kawan2 aku hanya datang kepada aku bila mereka memerlukan pertolongan. Tapi daripada itulah, kita mengenal, mana satu kawan sejati, mana satu pensyarah yang baik. Kalau kawan2 aku dapat tajaan JPA, dapat duit belanja dari abang2 atau kakak yang bekerja, aku pula selalu beri pinjam duit ptptn aku kepada kakak aku, beri kepada ibu aku. Aku pernah kerja kedai kain, butik, jual buku, guru. Banyak kali pensyarah terserempak aku tengah part-time. Tapi aku tak kisah, aku pujuk diri aku jangan bandingkan diri aku dengan orang lain. Hari berganti hari, ibu aku mula memandang kewujudan aku, akulah satu-satunya anaknya yang berjaya melanjutkan pengajian ke IPT. Aku menjadi kebanggaan ibu dan ayah, hubungan aku dengan adik-beradik juga menjadi lebih baik. Namun, pergerakan aku dikawal ketat, adik-beradik juga selalu cemburukan aku. Macam2 jadi, aku tak boleh salahkan nasib, aku tak boleh ambil jalan pintas dengan membunuh diri, ambil dadah, atau buat kerja2 bodoh yang tak berfaedah untuk hidup aku, dan aku juga tak boleh berdendam dengan orang lain. Hidup aku pernah diselangi dengan senyuman, namun air mata lebih banyak rasanya.
Korang tahu, impian yang aku selalu tanam dalam hati ‘esok akan jadi lebih baik’, tak pula menjadi lebih baik. Korang tahu, baik atau buruk tu hanya pada pandangan mata manusia. Kau cantik, baiklah hidup kau. Kau kaya, senang la hidup kau. Kau bijak, selamatlah hidup kau. Kau kerja besar, kau akan hidup terhormat. Tak pun begitu sebenarnya. Semakin lama aku semakin faham maksud ‘esok akan jadi lebih baik’….ya, hari esok aku mungkin akan menangis lagi, kemudian senyum, ketawa, dan kembali menangis. Itu fitrah manusia. ‘esok akan jadi lebih baik’, jika aku berusaha untuk hidup dengan sebaiknya, jika aku tak putus asa, jika aku tak salahkan nasib. Korang tahu tak, apa yang jadi baik tu sebenarnya? Diri kita yang jadi baik. Jadi orang baik-baik. ‘Survive’ menjadi orang yang baik2 walaupun dalam persekitaran yang tak baik. Maka aku dan korang semua perlu ‘survive’ untuk hidup dengan lebih baik. Tak di dunia, percayalah Allah balas di akhirat.
Hiduplah seperti diri korang sendiri.
Bukan hidup seperti orang lain.
Bukan berimpian untuk jadi seperti orang lain.
Tidak perlu membandingkan diri kamu dengan orang lain.
Hiduplah dengan cara kamu sendiri,
Hiduplah dengan gaya kamu sendiri,
Hiduplah sebagaimana diri kamu seadanya,
Yang kamu rasa terbaik buat kamu,
Yang membuatkan kamu selesa dan bahagia.
Selagi mana tak bertentangan dengan norma hidup dan agama.
Maka itulah yang terbaik.
Aku doakan semoga aku dan korang mampu ‘survive’ untuk menjadi baik dan lebih baik.
– Min, The Lotus Girl
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit