Aku ada satu cerita nak bagitau ni. Nak kate seram tak jugak. Nak kata thriller, macam adalah sikit-sikit. Sebab tu tajuk tu aku letak macam tu.
Aku bukan budak IIUM, aku U lain hehe tapi sebab IIUM Confession aku kira paling glemer, so nak cerita kat sinilah. Dengan harapan pihak pengurusan kolej kediaman & pihak Universiti yang aku maksudkan (bukan IIUM) akan lebih alert lagi dengan keselamatan student U.
Ceritanya begini. Aku ni ex-budak engineering di salah sebuah IPTA di Malaysia. Kat Shah Alam sebenarnya. U kami ni besar wehhh, kolej kediaman pun banyak, sampai kat luar kampus pun ada gak kolej kediaman (tapi untuk lelakilah). Aku dan kawan-kawan majoriti memang duduk hostel, kat Kolej M.
Sebelum tu meh aku highlightkan sikit, kolej kediaman di U kami ni, kolej yang guna nama bunga, khas untuk siswi. Kolej yang guna nama pokok, khas untuk siswa. Haaa… mesti korang dapat agak U mana ni kan heh heh heh…
Nak dijadikan cerita, ada satu cuti semester tu, masa tu kalau tak silap aku, kami baru habis sem 3. Fakulti kami ada tawarkan kelas intersesi. Kelas intersesi ni ala-ala macam summer school konon. Maksudnya, masa cuti sem tu, ko daftar untuk satu subjek je, kelas selama sebulan, datang kelas cuma 2 jam tiap hari. Habis sebulan, final exam. Bestkan, sebulan tu cuma tumpukan satu subjek jek. Konpem dapat A. Boleh kurangkan beban subjek untuk next sem.
Maka, ramai-ramailah kami mendaftar untuk subjek itu masa cuti sem tu. Kami yang duduk Kolej M ni, rancang nak duduk gak kat Kolej M masa cuti sem tu, tapi tetibe plak Kolej M kata tak boleh stay hostel masa cuti sebab hostel Kolej M ada aktiviti ape tah. Bengang gak masa tu, besar ape Kolej M tu, takkan tak boleh bagi kami bilik barang 4, 5 buah. Lepas tu Kolej M kate, cuba tanya pengurusan Kolej S, sebab dengar-dengar Fakulti lain ada buat jugak kelas intersesi (summer school) ni, so pihak U macam setujulah Kolej S ni jadi tempat himpunkan pelajar-pelajar U yang tak balik masa cuti sem.
Usaha punya usaha, dapatlah kami duduk Kolej S untuk tempoh sebulan lebih (masa intersesi). Dapat bilik dorm, satu dorm boleh muat 8 orang. Kolej S ni kolej lama, keliling dia macam hutan sikit, banyak monyet wehhh kat sini. Kolej S ni spesel sikit. Ko masuk je blok kediaman, terus ke tingkat 2 (total 3 tingkat). Sebab Kolej S ni dibina atas bukit, so sape yang duduk tingkat 1 dan ground floor, kena turun tangga. Aku dan kawan-kawan aku duduk tingkat 2. Bilik TV kat sini best, ada Astro wehhh. Dahlah tak ramai yang tengok, so kami (aku dan geng aku), dapatlah tengok CSI dengan aman damai.
MISTERI 1:
Tapi, yang musykilnya, channel TV ada Astro, cuma remote Astro tak tau gi mana. Puas kami carik sekitar bilik TV yang comel tu, tak jugak jumpa. Tukar channel pun kami pakai manual, main tekan-tekan kat TV. Itu misteri no.1 ye adik-adik, remote TV hilang.
MISTERI 2:
Blok kami ni bentuk segiempat, tengah-tengah ialah kawasan lapang tempat sidai baju. Bilik mandi untuk setiap tingkat ada 2. Bilik mandi A, yang belah kiri kami tu besar sikit, tapi aku seramlah mandi situ, sebab bilik mandinya banyak sangat. Lepas tu ko masuk bilik mandi yang besar tu macam dalam puzzle Harry Potter tu, ala, yang part Harry & Cedrick nak dapatkan piala tu. Banyak sangat liku-liku bilik mandi tu. Aku suka bilik mandi B, yang kat depan sana. Kecik sikit, tapi best weh… sebab tak banyak liku-liku. Eh korang paham tak maksud aku ni.
Dorm kami ada 7 orang duduk: aku (Peah), Latipah, Joyah, Kiah, Salmah, Melah & Temah.
Watak utama; aku, Latipah & Joyah.
Salmah itu kaki tidur. Ko duk terjerit tengok cerita Juon pun takkan bangun itu budak. Hantu tido. So dia tak menyumbang apa-apa sangat dalam team CSI ni.
Kiah team CSI gak, tapi sebab dia, Melah & Temah pandai masak, so dia orang masak di dorm kami (guna periuk nasi), sementara aku, Latipah & Joyah pegi menyiasat semua kebarangkalian. Kami balik dari menyiasat, kami makanlah makanan yang dia orang masak hahahaa… ehh… bahan mentah kami kongsi beli tau.
Bukan nama sebenar ya, tapi ini kisah benar.
Aku dan Latipah selalu bangun awal. Aku selalu terbangun jam 5.30 pagi, automatik pulak tu, asal 5.30 pagi aku bangun. Asal aku bangun, 5.30 pagilah tu.
Jam 6 pagi Latipah pulak bangun, dan selalunya mesti dia akan kata, “Peah… jom temankan aku pegi tandas.” Kadang-kadang dialog tu kepunyaan aku, “Latipah, temankan aku pegi tandas.”
Tah le labu, kami berdua saja yang suka ke tandas awal pagi. Orang lain masa tu bizi buat tahi mata.
Satu pagi tu macam biasa, aku terbangun jam 5.30 pagi. Aku katil atas, Latipah katil sebelah aku, atas jugak. Tiba-tiba dok tengah terkebil-kebil tu, aku perasan lampu di kaki lima blok kami padam. Eh, apehal pulak baru jam 5.30 pagi lampu koridor dah padam. Aku cuak dah.
Esoknya, pada jam yang sama, aku perasan benda yang sama berlaku. Lampu koridor terpadam lagi jam 5.30 pagi. Kan aku dah cakap mata aku jenis automatik bukak jam 5.30 pagi camtu. Benda ni jadi untuk beberapa hari, dalam 4, ke 5 hari aku perasan. Minggu pertama kami duduk sini takde pulak macam ni.
So, aku, Latipah & Joyah pun buat team CSI. Mentang-mentang suka tengok CSI kan. Kami nak siasat sapa yang tutup lampu koridor awal pagi buta macam tu. Tak logik wehh… kalau pun lampu tu tutup automatik, kenapa tutup awal sangat. Jam 5.30 masih gelap lagilah, lainlah kalau kat Sabah sana. Ini Shah Alamlah.
Kami carik mana suis lampu ni, tapi tak jumpa-jumpa. Musykil. Nak tanya pentadbiran kolej, kang nanti dikata mengada-ada, paranoidlah, ape lah. Then, remote control Astro masih hilang, tak jumpa-jumpa. Takkan itu pun pihak kolej kedekut nak bagi.
MISTERI 3:
Satu hari, Latipah dan Joyah buat penemuan tergempar. Mereka jumpa tapak kaki atas singki di bilik mandi A (bilik mandi yg macam puzzle tu). Singki tu sebelah bilik shower.
Melalui analisis kami, tapak kaki itu, yang sebesar saiz tapak kaki lelaki dewasa, membuktikan bahawa lelaki itu cuba berdiri di atas singki, dan cuba mengintai orang mandi dalam shower sebelah singki tu. Nampak melampau kan analisis kami, tapi korang baca dulu next kejadian.
MISTERI 4:
Pagi itu aku terbangun macam biasa, dan ajak Latipah temankan aku ke toilet. Macam biasa, lampu koridor dah padam dah masa tu tapi sebab nak terkencing punya pasal, terpaksa buang takut dan pergi jugak tandas. Sekali Latipah bukak pintu dorm kami, dia ternganga depan bilik. “Peah… Peah…” Aku pun macam, “Apehal?” “Tu…” dia tunjuk ke depan.
Korang tau ape kami nampak?
ADA ORANG BERJALAN DI HADAPAN SANA DENGAN LANGKAH YG SANGAT LAJU, BERPAKAIAN BAJU TIDUR KELAWAR!
Serius, dari jauh kami boleh agak itu LELAKI!
Nasib baik ada padang tempat sidai pakaian di tengah-tengah yang memisahkan dorm kami dengan lokasi lelaki tu berjalan… kalau tak mau terjerit kami berdua. Aku dan Latipah berpandangan. Macam tak percaya pun ada.
“Kenapa aku rasa orang tu macam lelaki yang pakai baju tidur kelawar perempuan?” kata Latipah kat aku. Aku pun rasa macam tu jugak, tapi still takleh nak percaya. Takkanlah lelaki masuk kolej kediaman pompuan. Kawasan ni berpagar tahu tak. Kami tak jadi pegi tandas rasanya, tahan je nak kencing. Bila dengar budak dorm sebelah bukak pintu, baru berani kuar dorm jugak.
Bila siang, kami bagitau cerita tu dengan si Joyah. Maka melalui analisis team CSI Kolej S (kami la tu), kami syak lelaki tu yang curik remote Astro, sebab pagi tadi tu kami nampak lelaki tu berjalan dari aras tandas B menuju ke bilik TV, tapi tak tau la dia masuk tak bilik TV tu.
Hal ini berlaku lagi keesokkan paginya. Lusa, lebih kurang jam yang sama, Latipah pulak nak pegi tandas. Heiii… serius, tak paham betul aku dengan kami berdua ni. Buah pinggang terlebih elok kut, asal awal pagi mesti nak buat proses perkumuhan, nak kencing. Jadi, aku temankan dia ke tandas, tandas B. Dia masuk tandas, aku tunggu luar tandas. Lepas dia kuar, aku pulak terasa nak kencing, so Latipah tunggu luar.
Bila aku kuar dari tandas, muka Latipah pucat dah.
“Kenapa ko ni?” aku tanya dia.
“Lelaki semalam… dia lalu depan aku…” serius weh pucat muka Latipah.
Dia kata dia cuma berdiri kaku je tepi pintu bilik mandi B tu (masa tu aku dalam tandas lagi). Lelaki tu just lalu depan dia, dengan pakaian baju tidur kelawar dan kain tudung menutup kepalanya. Lelaki tu pakai kasut but. Selamba je lelaki tu lalu depan Latipah.
Kata Latipah, konpem dia pakai baju pompuan, dan orang itu ialah lelaki. Aku & Latipah bagitau cerita ni kat dormmate kami. Masa tu serius kami dah takut. Ini kes besar, bukan sebarang orang boleh handle. Ya, kami team CSI Kolej S pasti dapat membongkar rahsia lelaki misteri itu. Chaiyok!
Kami report ke pentadbiran kolej, tapi tak taulah pihak kolej buat tindakan apa. Macam tak ada bukti kukuh ja report kami ni, just saksi yang nampak lelaki tu cuma Latipah sorang (dari jarak dekat), serta aku & Latipah (dari jarak jauh). Kami berdua sahaja. Entah apalah malang nasib kami berdua asek jadi saksi tak bertauliah.
Malam, sebelum nak tido, aku mintak semua dormmate aku, letak baldi-baldi kami semua depan pintu, jadi penyendal. Kut-kut ada yang mengetuk pintu tengah-tengah malam buat, aku takut juga sapa yang tido kat katil bawah tu nanti, dengan mamainya pi bukak pintu tu macam tu ja. So baldi tu kiranya strategi kami.
Sapa nak bukak pintu, dia harus mengalih baldi-baldi tu semua ke tepi, jadi dalam proses mengalih baldi-baldi itu ke tepi, minda dah jadi segar sikit, dapat fikir dengan waras, bukan dalan keadaan mengantuk. Fikiran yang waras adalah penting, sebab kita tak tahu sapa yang pi ketuk pintu dorm kita tengah malam buta kan. Kutlah ada yang nak ketuk kan.
Ini langkah berjaga-jaga. Kawan-kawan kami yang duduk dorm lain, kami pesan, kalau nak pegi dorm kami, kalau ketuk pintu dorm dari luar tu, sila call dulu ya. Penghuni dorm sebelah-menyebelah kami, aku rasa macam ada yang perasan dah kut hal ni. Mebe ada yang pernah nampak lelaki yang sama tu lalu lalang di kolej kami ni awal pagi, sebab aku perasan, kalau jam 6 pagi, takde sapa-sapa yang berani kuar dari dorm pegi tandas. Amek wuduk nak solat Subuh pun, jam 6.30 baru kami berani kuar. Serius takut.
Then… perkara yang ditakuti tiba. Seminggu lebih selepas perkara di atas berlaku setiap hari, satu pagi tu dalam 4 pagi, aku dan kawan-kawan dorm aku terjaga dari tidur (kecuali Salmah si kaki tido). Ada bunyi jeritan, tapi macam bukan di level kami. Aku dan Joyah apalagi, alih semua baldi ketepi… bukak pintu dorm dan terus keluar dari dorm. Latipah pun kuar sekali. Bilik kanan kami pun bukak pintu jugak.
“Bilik atas…” kata student kat dorm belah kanan kami. Korang tau apa jadi? Bila siang, kami dapat maklumat rasmi, yang telah disahkan oleh pihak pentadbiran kolej.
Malam tadi, sekitar jam 4 pagi, ada LELAKI KETUK PINTU DORM ATAS, DENGAN HANYA BERSELUAR KECIK SAHAJA! PAKAIAN LAIN? TAK ADA!
Dan seperti yang aku jangka. seperti yang aku takutkan, budak dorm atas bukak pintu tu dalam keadaan mamai. See… nasib baik kami letak baldi depan pintu bilik.
Budak tu, bila dia bukak je pintu dorm, nampak lelaki berdiri depan pintu bilik dorm dengan berpakaian macam tu, apalagi, sekuat hati nahhhh budak tu jerit. Nasib baik dorm. Ada ramai penghuni dalam bilik tu. Kalau duduk sensorang?
Lelaki tu sempat lari masa student tu jerit sekuat hati. Satu blok terbangun. Entah mana lelaki tu lari. Gila punya orang. Kalau ko ketuk dorm kami tadi dengan keadaan macam tu, siap kau kami hempuk dengan baldi-baldi ni semua. Yalah, yalah, aku tau aku cakap besar je kut. Hakikat sebenar, bila berdepan hal begini, susah kita nak jangkakan.
Konklusinya di sini, aku harap, pihak kolej kediaman, di mana-mana U pun, terutamanya kolej yang penghuninya semua siswi, harap dapat ketatkan kawalan.
Sekarang, selepas beberapa tahun berlalu, aku rasa dah ketat kut kawalan, cuma masa kami duduk situ dulu, macam nasib tak baik berhadapan dengan kes macam tu.
Okaylah, sekian saja kali ini, laporan kes dari CSI buatan Malaysia. Macam panjanglah pulak. Gigih betul na aku tulis.
p/s: ni kalau kawan-kawan aku si Latipah, Joyah, Kiah dll tu baca, rasa dia orang kenal kut aku yang tulis kisah ni hehe. Sekarang dah boleh ketawa bila ingat benda tu, tapi hmmm sebenarnya dalam hati takut jugak tau. Macam-macam betul dunia sekarang.
Agak-agak koranglah, siapa LELAKI MISTERI tu? Sampai sekarang kes itu tak dapat team CSI kami selesaikan.
– Peah
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit