Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Terima kasih admin sudi siarkan perkongsian pengalaman aku yang tak seberapa ini. Aku harap dengan perkongsian ini ramai mula sedar tentang penjagaan dalaman dan luaran, terutamanya penjagaan lisan.
Aku mula tahu yang aku mempunyai penyakit PCOS dalam beberapa tahun ini. Selama ini aku anggap tak datang period itu masalah biasa, masalah jerawat itu biasa. Biasalah bagi perempuan yang baru meningkat usia. Orang kata hormon tidak stabil lagi. Tapi entah mengapa makin lama aku rasa makin tak kena pada diri aku.
Apa itu PCOS? ia merupakan sejenis penyakit hormon yang menyerang wanita. Nak tahu lebih lanjut boleh buat research. Senang cite ia berkaitan masalah hormon lelaki yang terlebih sikit dalam badan seorang wanita. Pelik ke? Memang pelik bagi yang tak tahu dan tak pelik bagi yang tahu. Sebab apa aku cakap macam tu? Meh aku nak cerita…
Orang yang ada penyakit PCOS ni dia bukan saja ada cyst (cyst yang mengganggu kitaran haid), malah boleh juga terlihat beberapa siptom pada diri dia. Antaranya rangka badan besar, seolah bidang macam lelaki. Kalau awak nampak ahkak-ahkak sado tu berkemungkinan dia ada masalah PCOS, dan biasanya orang macam ni badan dia chubby.
Pengalaman aku sendiri aku pernah diejek, diperli “oi, kau main gym ke ha?” Pedih tak pedih. bila tengok kawan-kawan perempuan lain yang badan dengan bahu sama size kau akan menangis dalam hati. Kenapa aku macam ni? ada tak operation kerat bahu? Sampai macam tu la aku fikir.
Kenapa chubby? Sebab orang penyakit PCOS ini dia ketagih minum manis kerana ada kekurangan dalam hormon dia. Kalau nak cerita panjang lagi kang cerita aku. Dan memang PCOS ni akan menyebabkan berat badan kau lambat turun dan berat badan senang naik.
Masalah kitaran haid tidak teratur ni memang biasa. kadangkala sampai 3 4 bulan tak datang haid. Kalau datang pun sikit-sikit. Kadangkala normal sampai 5 6 bulan. Lepas tu tak regular balik. Ha macam tu la.
PCOS ni juga akan menyebabkan masalah kulit pada sesetengah wanita. Aku mengalaminya. Aku pernah juga jumpa beberapa orang wanita yang ada PCOS tapi kulit cantik gila! Mungkin rezeki masing-masing kot. Aku ni macam-macam produk dah cuba. Habis beratus dah. Masalah aku kulit memang berminyak sangat, hormon tak stabil hinggakan jerawat bersepah.. bekas jerawat jangan cakap la. Kulit sensitif sangat… Kulit badan jadi tak sekata, kulit muka apatah lagi. Kadang-kadang gatal pada kulit tanpa sebab. Itulah tahap sensitifnya kulit aku. Tapi bukan semua orang faham masalah kita. Mana la orang nak faham, cuba kecam lagi ada la. ‘Apa teruk betul muka kau ni? Cuba pakai yang ni, yang tu. Dah tak perlu pakai apa-apa skincare! Guna je rawatan tradisional, bla bla bla’ sampaikan aku stress nak pulihkan jerawat pada muka aku ni.
Kan aku kata PCOS ni berkaitan hormon lelaki yang terlebih sikit dalam badan seorang perempuan kan? Ya.. aku ada bulu kaki. Bulu kaki tahap lebat macam lelaki tu. Aku pernah down sangat sebab benda alah ini. Kau bayangkan macam mana aku nak menepis aurat kaki sesama perempuan? Perempuan lain kulit kaki halus mulus.. cerah.. bulu pun takda. Ni kaki kau dah macam jebon. Tak aku bukan nak kutuk ciptaan Allah… aku cuma nak cerita situasi saja. Aku sendiri rasa geli dengan kaki aku. Tapi aku tetap ingatkan bahawa ini ciptaan Allah, syukurlah kau ada kaki. Tapi biasalah perempuan, macam mana pun keadaan diri kau tetap nak sempurna kan?
Tak ramai yang ada masalah macam ini. Aku terfikir juga macam mana satu hari nanti kahwin, lelaki aku dapat terima tak kekurangan aku? Aku pernah direject sebab rupa. Keadaan sakit aku begini memang menyebabkan aku tak berapa cantik. Down teruk bila orang reject sebab rupa. Apa pun aku cuba juga kuatkan semangat. Kalau rupa luaran aku pun dia tak dapat terima, bagaimana bila melihat rupa dalaman aku pula? Jadi aku anggap saja tiada jodoh.
Bukan senang… Dari zaman sekolah hinggalah zaman univerisiti penyakit ini memang memberi kesan yang teruk pada aku. Nak present di depan kelas pun tak yakin. Dah la tak yakin dapat pakej kena kutuk di depan khalayak ramai lagi. Menangis teruk aku waktu itu. Hingga aku selalu persoal kenapa aku diuji dengan sakit ini. Kenapa orang lain tak kena? Kenapa mesti aku?
Aku buat kajian tentang penyakit ini, di luar negara mereka ada group yang saling memotivasikan antara satu sama lain. Di Malaysia aku tak pasti. malah mungkin ramai yang masih tidak tahu akan kewujudan penyakit ini. Ketahuilah insan-insan yang hodoh ini berperang dengan diri sendiri, dengan penyakit PCOS lagi. Nak selfie penuh album bukan aku la. Nampak lubang-lubang spongebob pada muka aku ini. Bukan kupinta lahir sebegini. Tapi aku percaya ujian Allah ini khas untuk insan-insan terpilih. Aku cuba cari mengenai punca penyakit ini, tapi tak jumpa.
Untuk baik 100% mungkin tidak, untuk mengurangkan ada langkah-langkah penjagaannya. Sesiapa yang ada penyakit ini dan tanda-tanda seperti yang aku ceritakan ini, ketahuilah anda tidak keseorangan. Penyakit ini juga akan menyebabkan gangguan kehamilan, mungkin sukar untuk hamil. Apa pun percaya rezeki anak itu kurniaan Allah.
Kos untuk aku cantik sebulan boleh dikira mencecah RM 500-800. Ubatlah, skincare yang disaran doktor, pemakanan seimbang (clean diet). Kos hidup aku tinggi jika aku betul-betul ikut cara penjagaan. Kadangkala cemburu melihat kawan yang hanya pakai bedak dah siap. Pakai makeup dah cantik. Aku dah cuba semua itu, tapi tak mampu sebab kulit berminyak sangat dan akan lebih sensitif.
Tujuan aku berkongsi disini agar terbuka mata masyarakat untuk lebih berjaga-jaga apabila bercakap. Kita tak tahu apa yang dia hadapi sehingga dia berkeadaan begitu.. jika tak mampu berkata baik, diamlah. Sekarang aku semakin redha dengan apa yang terjadi pada diri aku. Awal dahulu banyak juga aku merungut… kini aku pasti ujian ini punya hikmah tersembunyi. Pada suami yang menyedari kekurangan isteri seperti ini bagi semangat, sokongan. Terima dirinya seadanya… Jika ingin cari yang cantik sempurna, maaf bukan golongan PCOS yang sesuai untuk awak. Golongan ini berjuang dengan penyakit dalaman, tak semua faham dan cuba faham.
Jangan fikir kami golongan PCOS hanya berserah nasib dan menagih simpati atau tidak mensyukuri nikmat Tuhan, kami lalui jalan yang tidak anda jejaki. Paling tidak cuba berdiri di sisi dan beri empati. Maaf coretan panjang. Aku berharap perkongsian ini akan memberi manfaat kepada semua.
Terima kasih sudi membaca.
– Si Katak
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit