Assalamualaikum wbt,
Terima kasih kepada IIUM Confession kerana sudi menyiarkan tulisan ini.
Okay, pertamanya tulisan ini adalah dari saya yang merupakan seorang pembaca tegar novel Melayu/ cinta/ jiwang/ romantik/ seram/ saspens/ dan yang sewaktu dengannya. Dan saya juga merupakan seorang penulis novel. Melihat kepada beberapa siri confession mengenai ‘novel melayu’ dan ‘drama melayu’ yang semakin hot dan spicy sejak akhir-akhir. Saya berasa terpanggil untuk meluahkan beberapa isu yang membelenggu ‘dunia kecil’ kami ini.
Dulu, saya tergila-gila dengan novel melayu seperti Bicara Hati, Ombak Rindu, Tombiruo dan hasil tulisan Tamar Jalis. Tidak terkecuali juga hasil karya Ahadiat Akashah yang saya kira legend sepanjang zaman iaitu Lagenda Budak Setan. Feeling dia, sampai bertahun-tahun kau dibuatnya. Kau siap boleh hafal watak Kasyah dan Ayu. Tak perlu babak ranjang apatah lagi dialog mengarut meraban sampai kau kena skip bermuka-muka surat seperti mana kau baca novel Melayu pada hari ini. Novel melayu kita pada hari ini, sesetengahnya. Bukan semua. Ada yang aku respek gila. Antaranya, Melur Jelita dan Suri Ryana (Novel dia masa mula-mula kemunculan dan meletupnya dia). Best dan memang boleh layan sambil berguling atas katil. Ada yang tebal macam Kamus Dewan Edisi entah ke berapa yang tahap kalau kau baca pukul 2 pagi dan kemudian jatuh atas muka kau memang malang nasib jawabnya. Ada yang tajuk yang buat aku sendiri mual dan malu nak tunjuk kat kawan-kawan terutamanya yang jenis anti novel. Tau mual yang jenis macam mana? Yang tajuk ala-ala Suamiku Encik Kambing, Tunangku dari Bangladesh, atau Shh, Dia Mai Lenggang Kangkung. Contoh aje yang saya tulis tu.
Adalah menjadi tanggungjawab PUBLISHER untuk educate/ ajar penulis tentang semua ini. Bina garis panduan yang lebih dari sekadar penggunaan bahasa dan tebalnya sesebuah karya. Kadang-kadang bukan salah penulis pun. Publisher agak teruja nak kaut untung sebab nak memenuhi demand pembaca kuat berangan. Sesetengahnya. Publisher sendiri yang buat survey kononnya pembaca nak novel yang ringan-ringan dan tajuk yang catchy. Malas! Mundur! Mak tak kuasa, nok! Menyusahkan nak baca novel berat. Matilah kalau tak untung! Melayu dengan M memang berpisah tiada. Sesetengahnya sahaja. Ada aja Publisher berhemah yang tau susur galur rezeki yang dicarinya akan menyusur masuk dan menjadi darah daging dirinya dan juga seluruh ahli keluarganya. Dengan duit itu, kita nak pergi menunaikan umrah, hantar mak ayah pergi haji, bagi anak-anak makan untuk membesar dengan sihat dan sebagainya. Maka, kualiti novel yang diterbitkan akan ada unsur-unsur ‘kebaikan’ yang diletakkan di tempat yang sepatutnya. Unsur-unsur ‘kebaikan’ ni subjektif dan boleh saja penulis terbijak terpandai membela hasil penulisannya dengan kenyataan yang membuat mereka lupa kepada kata-kata ini, “MATLAMAT TIDAK MENGHALALKAN CARA”.
Cuba kau tanya, apa elemen kasih sayang dalam tulisan mereka. Macam-macam nanti makcik-makcik sebaya Mok Cun tolong jawabkan. Makcik Salamah tolong menyampuk. Ada juga kak Avril Lavigne_87 sambung melaser dengan beraninya. Matlamat nak hasilkan novel kasih sayang. Tapi, boleh gambarkan bila kau baca kisah Adilah diperkosa di kelab malam dan diceritakan dengan penuh ‘penghayatan’. Kemudian, Adilah bertemu jejaka yang sudi memperisterikan dia yang merupakan bekas Ahli Kelab Juvana. Dan mereka pun hidup bahagia. Nilai murninya adalah cinta itu indah jika kita menerima dia seadanya. Bak hang!!! Kreatif pulak imaginasi penulis nak mengarang babak penghayatan.
Bila ditegur, teruslah berlambak hashtag dan ulasan masyhur lagi jujur dan penuh humble dari kak Markonah, Makcik Salamah dan kak Avril Lavigne_87. Melayu sangat! Saya pun Melayu. So, nak cerita pasal bangsa Melayu saya yang berdarah pahlawan di laman sosial ni. Ramai. Tak percaya lantak kau lah. Pahlawan dan Kesatria ini akan bertarung membuktikan lidah siapa lebih panjang di muka buku. Lol.
Kemudian sambung pula cerita perempuan suci nasib tak terbela takde pelajaran bertemu dengan lelaki kaya. Atau perempuan bongkak tahap dewa kepala bana kaya gila bertemu dengan lelaki polos suci macam minyak masak Murni. Bak hang!!
Come on, berikan pembaca sesuatu yang mendidik minda. Buat kajian. Cari fakta. Rendahkan ego katak kau baca novel orang. Jangan bangga menjerit kat follower kau bukan pembaca novel. Kau harus membaca dan menambah ilmu pengetahuan. Bahan bacaan kau harus lebih dari pembaca kau sendiri.
Bagi kami ilmu tentang dunia yang lebih luas daripada adegan di meja makan, dalam pejabat sambil sain dokumen, tepi sungai, dalam kereta, keluar kereta, dalam shopping mall, atas katil, atas sofa di ruang tamu dan banyak lagi. Beranikan diri menulis sesuatu yang lebih dari imaginasi kartun kau. Cari novel yang hebat dan jadikan mereka idola. Biar tulisan itu berapi membakar semangat seperti karya Agung sasterawan Indonesia. Bahasa yang puitis tapi mampu mencalar hati. Keindahan bahasa Melayu sudah semakin hilang bisanya. Digaul cecukup rasa Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Nasib baik tak ada tajuk macam ni, Nate Beghuk Sungguh Orang Gajiku Ni, Hawau Kau Jururawat Cinta dan banyak lagilah.
Banyak lagi yang nak dikongsi dan sangat rugi kalau publisher ‘sebegini’ dan pihak stesen TV popular yang semakin berleluasa dalam menerbitkan karya-karya seperti yang saya ceritakan di atas. Tambah lagi bila ‘budak nakal fikir dia banyak duit’ yang merobek karya penulis kita dengan rakus. Siapa mereka? Mereka yang tabur duit ‘berjuta-juta’ untuk satu novel yang diadaptasi dan dibarisi pelakon hebat dan terkenal. Ada duit, semua beres. Mulut longkang macam saya umpama pasir berbisik sepatah haram pun tak guna. Penulis juga terkulai tatkala karya menerima makian dan hinaan strangers entah dari mana. Publisher juga untung balik modal adaptasi sana sini. Bukak mata tu besar-besar masa baca kontrak lepas ni. Dah tak relevan penulis dengan royalti ciput dari manuskrip yang jadi buku kemudian diadaptasi. End up, masyarakat tuduh kita tak study kontrak masa sign. Semudah itu. Kesian tau kat penulis ni. Perah otak sampai pagi. Menulis berbulan-bulan. Sekali bila untung ‘berbilion’, yang kau dapat beratus ‘beribu’ ke?
Apa yang mampu saya cakap. Karya tergadai. Penulis merempat di laman sosial memohon doa dan simpati. Publisher sapu bersih semua. Stesen TV tersenyum puas. Tak perlu cakap apa-apa. Ucap terima kasih sujud syukur di muka buku rezeki datang bergoleklah katakan. Dunia penulisan yang kecil mahu pergi mana selepas ini? Cukup dengan Anugerah Popular Berita Hairan? Hairan lagi saya kalau selepas ini tiada pewaris Ramlee Awang Murshid atau Maria Kajiwa.
Bangkitlah penulis dari semua genre penulisan. Jiwang, Saspens, dan banyak lagi. Kalau tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia. Siapa kata, karya ‘novel melayu’ kita tak mampu merentas dunia? Goncang sedikit kepala hotak pembaca tegar ‘novel melayu’ dengan cerita seperti Laksamana Sunan dan Sang Ratu atau Fahri dan Aisha. Bersatulah wahai penulis. Besarkan jiwamu. Lantunkan jemarimu menari mencipta cinta yang lebih murni dari minyak masak Murni yang dah naik harga sekarang ni. Minyak Masak pun naik harga dan sold out sampai kena sorok kat pasar raya. Apa khabar novel orang kita? Naik royalti tak, sold out pun tidak. Takkan maruah kau turun tak naik-naik lepas baca tulisan macam ni? Anda mampu melakukannya!
– Cik Writer
– Cik Writer
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit