Tidaklah Cemerlang Mana

Assalamualaikum wbt. Lately ni banyak pula kat facebook tu aku baca kisah-kisah hidup individu yang asalnya kantoi terus dalam UPSR, pun teruk dalam PMR siap ada yang teruk ke SPM, boleh buktikan mereka berjaya ke menara gading. Tidak sekadar diploma dan ijazah pertama, malah ada juga yang sampai ke PhD. Semua ni muncul berikutan keputusan UPSR baru-baru ni yang keluar di luar jangkauan semua pihak terutama pada warga sekolah dan ibu bapa murid terlibat. Ya, rata-rata ramai yang kecewa tapi rasanya penjelasan daripada pihak-pihak berkenaan telah mengendurkan rasa kecewa mereka. Aku tulis confession ni bukan lah nak celoteh sangat pasal keputusan UPSR tu. Tapi nak cerita pasal aku, yang turut kantoi dalam UPSR belasan tahun lalu, dan kini, sama seperti indivdu-individu yang confess pasal hidup mereka, aku juga berjaya. Alhamdulillah.

Aku anak cikgu. Mak ayah cikgu. Tapi jangan anggap semua anak cikgu tu bijak pandai. Anak cikgu pon manusia biasa juga macam anak-anak orang lain. Sekali pun anak cikgu, mak ayah aku sangat sibuk dengan hal ehwal sekolah. Pada yang ada relative yang jadi cikgu, mesti lebih faham juga kan. So, sepanjang aku bersekolah rendah, aku antara yang selalu dapat nombor belakang-belakang sekali pon berada di kelas pertama. Tapi masa UPSR, result aku tak melambangkan budak kelas pertama. Tiada A, semua B dan C. Kesian mak, aku memalukan mak sebagai anak seorang cikgu tatkala kawan-kawan aku yang mak ayahnya cikgu dapat straight A. Anak orang lain mak ayah aku ajar dapat score, aku ni pula sebaliknya.

Bila di sekolah menengah, Aku tak lagi di kelas pertama, malah kelas last sampai la ke form 3. Boleh dikatakan aku berada dalam sekolah harian, tapi top dalam daerah aku ni. Bolehlah disebutkan murid-muridnya selected sekali pun ia bukan SBP. Masa PMR, sekali lagi aku kecewakan keluarga, Tiada A. Berderet B, C dan D. Mujur takde yang gagal. Tapi malu jugalah. AKu pun tak pasti di mana silapnya aku. Mungkin pengaruh kawan. Eh, entah lah. kawan-kawan aku ok je A berderet keputusannya. Mungkin cara belajar aku yang kurang efektif.

Tapi bila masuk form 4, sikit demi sedikit aku mula sedar diri. Kiranya aku tahu bagaimana untuk ubah cara belajar . Masa form 5, buakt pertama kali sepanjang bersekolah menengah aku dapat naik kelas yang atas-atas. Ya, masa ni baru aku sedar, situasi dengan kawan-kawan yang lebih pandai membuatkan aku termotivasi dan terikut-ikut dengan cara mereka belajar. Tapi malangnya, keputusan SPM aku tak la cemerlang sangat. Sekadar beberapa A, B dan C. Ada juga D dan E serta 1 G. Gila! semua huruf aku ada. Tapi puas hati sikitlah, ada juga A…hehehehe..

Bila isi UPU dengan 8 pilihan bidang, satu pun tak sangkut. Tak apalah, akus ambung tingkatan 6. Ambil STPM. Time ni aku rasa aku mula berazam tinggi untuk berjaya sungguh-sungguh. Tapi sebenarnya sebelum ni bukan tak bersungguh, tapi tiada rezekilah mungkin. Alhamdulillah, result STPM aku boleh la kata bertahap baik. Kalu kat sekolah masa tu, dapat top 5 juga la dengan pointer yang mencukupkan aku masuk IPTA. Masa ni 1st time dalam hidup aku amik anugerah akademik dalam majlis anugerah kecemerlangan sekolah. Selama ni hanya amik sijil dan anugerah kokurikulum je.

Dengan result STPM tu lah aku masuk IPTA. Kos biasa-biasa je. Syukur, pointer pun bertahap baik ijazah sarjana muda kelas 2 atas. Kemudian, aku termotivasi nak ambil ijazah kedua. Ayah tak bagi sebab rasa dalam situasi ekonomi ni baik cari kerja. Ya, tanpa sempat menganggur, aku dapat kerja dalam tempoh 6 bulan selepas grad. Tapi syarat untuk kerja ni, aku perlu mengambil diploma dalam bidang ini memandangkan aku tak ada basic untuk jawatan yang aku dapat ni. Boleh dikatakan kerja tu setaraf dengan kelulusan aku. Tapi aku tak berminat dengan kerja ni pada mulanya.

Masa belajar diploma tu, aku rasa macam down sangat-sangat. Bukan sebab susah, tapi memang susah sebab bukan bidang. Tapi tak sangak, dalam pada rasa susah tu aku siap grad dengan pointer tertinggi sampai dapat anugerah terbaik akademik masa tu. Allahu rabbi. Heran aku. Maknanya ini kali kedua aku dapat anugerah akademik. Masa tu aku dapat lihat mak ayah aku happy sebab aku dapat buktikan yang aku bukanlah bengap sangat.

Atas dasar keinginan belajar yang timggi, aku sambung masters juga. Dulu ayah aku tak bagi, sebab sekarang aku dah ada kerja, dan mungkin boleh bayar yuran yang beribu-ribu tu sendiri maka ayah aku tak kisah. Dalam episod ini, aku rasa sangat-sangat mencabar. Banyangkan, belajar sambil bekerja, kan susah. pagi kerja, malam kelas, kadang-kadang hujung minggu ada. Tension sangat-sangat. Tapi ini pilihan aku. Ramai kawan-kawan berserah diri berhenti di tenagh-tengah jalan, tapi aku degil. Akhirnya aku grad juga tapi terlajak 2 sem konvo sebab bermasalah dengan tesis. Dalam keadaan ini aku memang rasa puas hati.

Tapi, masih tak puas hati lagi. Aku sambung pula ke peringkat seterusnya. Ya, PhD. Tapi belum grad lagi. Masih di peringkat awal. Pun dalam situasi belajar sambil bekerja. Kerja aku pun bukan mudah sekarang ni. Sangat-sangat mencabar jiwa, minda dan emosi. AKu tak peduli. Janj aku puas hati. Tiada apa yang ingin ku kejar sebab bukannya gaji atau pangkat aku naik dengan adanya skrol bergulung-gulung. Tiada! Hanya diri ni saja termotivasi. Harap-harap ia berjalan dengan baik. Aku dah penat sangat, tapi aku tak mahulah mengalah. Alang-alang seluk perkasam, biarlah ke sampai lengan.

Rasanya, itu jelah aku nak cerita. Pada adik-adik, janganlah rasa rendah diri dengan keputusan peperiksaan yang kurang cemerlang. Itu hanya ujian Tuhan buat kita. Allah tak lihat hasil, tapi usaha yang ALlah lihat apa cara kita buat untuk capai kejayan. Tak berjaya itu bukan salah kita, Allah yang aturkan.

Oh ya, mesti ada yang tertanya-tanya, aku ni kerja apa ya? Err, aku ni adalah seorang guru. Di mana kuah tak tumpah kalau bukan ke nasi. Yang paling kelakar, aku bertugas di sekolah rendah aku dulu-dulu, siap ada cikgu-cikgu aku yang masih ada di situ cakap, diorang tak sangka aku boleh jadi cikgu macam mereka dengan result UPSR yang tak cemerlang tu. Err… Kini aku pula ajar kelas UPSR, berkali-kali aku pesan, jangan mudah putus asa. Aku siap bagi contoh pada mereka tentang kisah aku ni. Tapi tak mahu lah mereka take for granted dengan kisah aku ni. Pernah ada yang murid aku secara nakal cakap ‘cikgu UPSR tak ada A pun sekarang dah kerja bagus’. Ceh, mereka ingat nak jadi cikgu ni guna result UPSR ke. Aduh… Tapi aku nak buat penafian sikit, aku ni mungkin bernasib baik sahaja, sedangkan guru-guru lain pada hari ini, majoritinya memang cemerlang semasa zaman skeolah dan pengajian mereka. Jangan sesekali ada yang memperlekehkan kredibiliti dan kelakayan guru-guru. Jika ada yang merasakan cikgu ni tak standard, ingatlah, tanpa guru-guru, tiadalah anda berjaya pada masa kini.

Apapun, bagaimanakah situasi anda hari ini, ia tetap akan berubah mengikut masa dan keadaan. Jika anda memang berjaya pada hari ini, mungkin dulu anda pernah alami kegagalan. Atau sekurang-kurangnya mengahdapi kepayahan untuk berjaya sperti hari ini. Sekian.

– AISY

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit