Moga Syurga Buatmu Wahai Anak

Assalamualaikum untuk semua sahabat confession IIUM, semakin hari semakin meningkat jumlah followers page ini. Diharapkan dengan tersiarnya luahan yang tak seberapa ini dapat membuka hati dan akal fikiran kalian. Apa yang ingin diluahkan ini adalah kebenaran yang baru sahaja terjadi dan bukanlah suatu rekaan semata-mata untuk tagih simpati.

Terlalu banyak kejadian serupa telah disaksikan, tapi kali ni aku tak mampu berdiam lagi. Sesak dada menonton, aku tak mampu tegur direct. Moga-moga confession aku ni mampu ubah kalian

Suatu hari, sedang aku membuat kerja luar bersama staff-staff aku. Terparkir sebuah motosikal di seberang jalan. Aku amati siapa penunggang dan pemboncengnya sambil memerhatikan staff yang sedang menyiapkan tugasan. Oh , seorang gadis lingkungan belasan tahun bersama ibunya. Bertudung litup, sekilas pandang manis orangnya. Mata lelaki yang memandang pasti terpikat. Tapi bukan pasal kecantikannya ingin aku ceritakan.

Aku perhati lagi, kemana arah mereka ingin tuju. Oh, ke restoran. Mungkin kelaparan. Pemerhatian aku terhenti seketika untuk fokuskan kerja yang belum lagi selesai. Tidak lama selepas itu, keluar dua beranak tadi dari restoran tersebut.

Si anak sudah berada di atas motor, si ibu mungkin tersalah order makanan untuk di’tapau’ barangkali ketika itu kerana sedang bercakap dengan pekerja restoran tersebut di kaki lima. Tidak lama selepas itu, si ibu menuju ke arah anaknya. Mungkin meluahkan rasa hati kepada si anak kerana beliau tersalah order. Tidak lama selepas itu, si ibu membawa kembali bungkusan makanan tersebut menuju ke restoran tadi. Si anak hanya memerhati dari atas moto di seberang jalan. Si ibu terkial-kial melintas kerana kenderaan lalu lalang. Tidak lama selepas itu, aku terdengar jeritan kecil. Oh si anak terjatuh dari motor yang diduduki tadi. Makanya motor tu tersembam menyembah bumi, lantas anaknya berdiri sambil mengomel TANPA mengangkat motor tersebut. Si ibu yang baru sahaja melintas, kembali semula ke arah anaknya TANPA MELIHAT KENDERAAN SEKELILING. Aku perhati dari suatu sudut, sebuah kenderaan membunyikan hon. Allahuakbar, hampir sahaja nyawa si ibu melayang kerana risaukan anaknya. Ibunya meluru ke arah anaknya, sambil mengangkat motor yang tersembam tadi. Dan staff aku pun meluru untuk membantu.

Pappppppp ! Si anak menjauh sedikit sambil melihat ibunya mengangkat motor. Si ibu terkial-kial dengan kudrat tuanya. Elok sahaja staff aku sampai, mereka berpatah balik. Dalam hati aku, kenapa? Mesti ada tak kena. Dai raut wajah manis bertudung litup, masam mencuka sambil mengatakan sesuatu yang aku kurang jelas. Lantas, aku bertanya staff aku tadi.

Nauzubillah, si anak memarahi ibunya, syurganya. Dan terus berjalan meninggalkan ibunya. Kerana tersalah order, kerana ingin menukar menu. Kerana itu, syurganya dimarahi. Si ibu tersentak, tetapi terus kembali ke restoran untuk menukar makanan tadi. Tak lama, si ibu kembali ke motor. Start, dan tunggang. Mencari si anak yang merajuk, round sekeliling. Raut wajah kerisauan seorang ibh kian terserlah. Mencari si anak yang merajuk.

Wallahi, aku saksikan nyawa si ibu hampir melayang kerana si anak. Masih tidak bersyukurkah kau wahai si anak? Wajah kerisauan syurgamu? Tidak nampakkah kau wahai anak? Bayangkan sewaktu amarahmu meluap, syurgamu terkujur kaku dihadapanmu? Tidak menyesalkah dikau wahai anak?

Syurgamu itu yang mengandungkan kau, yang menyusukan kau. Pahit jerih untuk keselesaan kau. Apa balasanmu wahai anak?

Wahai anak, hormatlah ibumu, syurgamu. Siapapun ibumu, dia tetap syurgamu. Bertahanlah dengan bebelan syurgamu. Bersabarlah dengan kerenah syurgamu. Kerana suatu hari pasti kau akan rindu. Sejahat mana ibumu, dia tetap syurgamu. Kerana pengorbanan ibumu terlalu besar berbanding kamu.

Hari ini, aku telah menyaksikan pelbagai sketsa sebegini. Adakah kerana kekurangan ilmu didada? Tidak, kenapa aku katakan sebegitu? Kerana aku pernah saksikan sendiri bagaimana layanan rakan sekuliahku di universiti terhadap syurganya. Lebih kurang sama.

Siapa kita, setinggi mana kita belajar, secantik manapun wajah kita, setampan manapun. Hiasilah dalam diri dengan sifat-sifat mahmudah. Ilmu tanpa adab, sia-sia.

Doakan syurgaku panjang umur ya!

– Anak

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit