Setia Seorang Suami

Assalamualaikum and hi. Terima kasih kepada admin sekiranya sudi share confession saya. Saya Ana, berumur 29 tahun dan telahpun mendirikan rumah tangga selama 5 tahun tetapi masih belum dikurniakan anak pada ketika itu. Suami saya salah seorang graduan UIA dan Alhamdulillah kini telahpun bekerja sebagai seorang pensyarah di kolej swasta. Saya mula kenal suami saya semenjak di bangku sekolah menengah lagi kerana dia merupakan senior saya merangkap ketua pengawas sekolah. Dia seorang yang sangat baik dan penyabar.

Saya berkahwin ketika berumur 24 tahun dan suami saya berumur 27 tahun pada hujung tahun 2011. Ketika itu, saya berada pada tahun akhir bidang pengajian saya. Saya sebenarnya bukanlah seorang bekas pelajar IPT dalam negara tetapi sebaliknya. Pada ketika itu, suami saya mengajak saya untuk berkahwin kerana dia bimbang tentang keselamatan saya. Mungkin kerana saya yang telah lama mendiami bumi asing dengan hanya bertemankan seorang housemate. Saya menyewa rumah dengan hanya ada seorang housemate kerana tidak suka diganggu ketika study. Tetapi, semenjak housemate saya pindah, saya tinggal bersendirian dan suami saya terus minta untuk bernikah secepatnya. Katanya, dia boleh menjaga saya di sana. Selepas saya berjaya menamatkan pengajian, kami pulang ke Malaysia.

Tahun demi tahun, saya mula rasa sunyi. Bukan kerana suami saya selalu tiada di rumah tetapi saya sunyi kerana tidak ada anak-anak yang boleh menceriakan saya. Tetapi, bukanlah saya tidak bahagia dengan si suami. Tidak. Tapi, saya ingin mendengar suara anak-anak kecil yang riuh-rendah di dalam rumah. Kadang kala, saya akan menangis seorang diri ketika suami saya tiada di rumah. Saya tak tahu kenapa mata saya cukup mudah untuk mengalirkan air mata. Malah, bila solat bersama dengan suami saya juga akan berasa hal yang sama. Setiap kali doa yang dibacakan suami saya, “….kurniakan kami anak-anak yang soleh dan solehah….” mesti saya akan menangis. Mendengar perkataan ‘anak-anak’ membuatkan hati saya rasa hiba. Pada saat itu, suami saya akan datang memeluk dan berbisik, “takpe sayang. Allah nak kita dating lama-lama dulu” dan bila mendengar ayat itu membuat saya rasa tergelak kecil. Saya bersyukur kerana dikurniakan seorang suami yang sporting dan happy go lucky orangnya.

Bukannya kami tidak pernah membuat pemeriksaan doktor tetapi doktor juga yang telah mengesahkan kami berdua subur dan normal. Doktor mengatakan semuanya okey dan normal sahaja. Entahlah, bila doktor cakap macam tu, saya tak tahu apa yang saya rasa sama ada happy atau kecewa? *sigh

Bila pergi mall, selalu saya melihat seorang ibu berpegangan tangan dengan anak kecilnya membuatkan saya rasa nak menangis. Cemburu? Ya, memang saya cemburu. Cemburu sangat-sangat. Saya jenis yang sukakan kanak-kanak. Bila hujung minggu, mesti saya akan ke rumah kakak saya untuk bermain bersama anak-anaknya. Kadang kala, saya pergi shopping ke kedai barangan baby. Saya suka melihat barangan baby yang cantik dan kiut sangat. Kadang-kadang saya beli beberapa pasang baju baby yang comel-comel. Bila saya sunyi, saya akan cium bau baju-baju tersebut. Hal itu membuatkan saya rasa tenang seketika.

Pernah saya bertanyakan kepada suami saya, “Abang, kalau abang nak kahwin lain, boleh. Ana izinkan. Abang nak tak?”.

Kemudiannya, suami saya akan tarik muka lalu berkata, “Ana, kan kita dah bincang soal ni. Abang tak nak. Abang ni milik Ana sorang je. Ana, awak tahu tak, abang kahwin dengan Ana bukan semata-mata kerana anak. Tapi sebab kasih dan sayang abang terhadap Ana”.

“Tapi, Ana takut abang sunyi…”

“Abang tak sunyi la. Kan ada Ana dengan abang. Kan Allah dah bagi yang terbaik dah untuk abang. Abang redha kalau kita hidup berdua je sampai akhir hayat kita”. Saya pun terus nangis lepas tu. Memang tersentuh sangat bila dia cakap macam tu kepada saya.

Suami saya memang banyak bekorban untuk saya. Dulu, jiran-jiran sering mengata kepada saya ‘mandul’. Pernah juga yang berkata, “muka je lawa tapi kalau dah tak boleh beranak, tak de guna jugak”. Dan disebabkan suami saya mendengar sendiri apa yang mereka katakan, suami saya mengambil keputusan untuk berpindah. Sedangkan kami baru sahaja berpindah dan rumah itu dekat dengan tempat kerja dia. Tetapi, disebabkan hal itu terjadi, dia sanggup berulang-alik dari tempat kerja ke rumah selama hampir 2 jam.
Namun, saya tetap bersyukur kerana jiran-jiran dia kawasan perumahan baru saya ni semuanya baik-baik belaka. Alhamdulillah.

***

Semalam, (12.12.2016) merupakan hari cukup bersejarah buat saya dan suami. Pada mulanya, saya berasa pening yang teramat. Saya fikir, migrain saya datang balik. Jadi, kami berdua pergi ke klinik. Bila doktor mengatakan, “tahniah! puan mengandung 8 minggu”. Saya tiba-tiba jadi terkedu seketika. “Betulkan doc, isteri saya mengandung?”, suami saya dah kalut tanya doktor tu balik. Dan doktor tu hanya membalas dengan senyuman dan anggukan.

“Alhamdulillah, sayang. Kun Faya Kun. Allah makbulkan doa kita” bisik suami saya yang kedengaran macam nak nangis.

5 tahun pernantian. 5 tahun kami menantikan kehadiran khalifah kecil buat keluarga kami. Terima kasih juga kerana telah mengurniakan seorang suami yang setia dikala suka dan duka. Sujud syukur padaMu Ya Allah. Engkau Maha Kaya dan Maha Pemurah. Alhamdulillah.

Buat yang masih belum dikurniakan zuriat, kuncinya adalah sabar dan doa.

Sekian, terima kasih sudi membaca.

– Ana

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit