Umat Penakut

Assalamualaikum. Jikalau post ini disiarkan, saya ucapkan ribuan terima kasih kepada para admin kerana ingin mengetengahkan isu yang agak sensitif ini. Diharap para pembaca dapat menerima komen ini dengan fikiran yang positif dan terbuka. Admin boleh mengubah title saya dengan apa2 tajuk yang sesuai.

Baru2 ini kita disajikan dengan isu taman tema air yang telah ‘dikotori’ holy water di facebook, sehingga Jabatan Islam Melaka perlu campur tangan untuk menyelesaikan isu ini. Yang sedih, bukan isu ini sahaja yang menjadi kecoh, malah ada beberapa tuduhan tidak berasas oleh ramai orang yang ingin mencetuskan ketakutan di kalangan umat Islam di Malaysia.

Saya sangat sedih melihat karenah umat Islam di Malaysia yang sangat mudah ‘melatah’ dengan kekecohan ini. Saya masih ingat ketika saya sekolah di sebuah sekolah ‘kristian’ yang penuh dengan lambang salib dan sisters, dan alhamdulillah sekarang ilmu agama yang saya peroleh sangat memadai walaupun belum sempurna. Tidak pernah sekalipun saya ‘terhasut’ dengan agama lain dan tidak pernah sekalipun saya menyentuh benda2 yang haram. Perkahwinan saya diatur sempurna oleh keluar dgn seorang zaujah yang cukup islamik, anak2 kami membesar dengan solehah. Sedangkan ketika saya sekolah dahulu, ayah saya yang merupakan seorang bilal sungguh dedikasi untuk mengajar kami ilmu fardhu ain. Dan dia tidak pernah menghalang kami adik beradik untuk melawat gereja atau kuil untuk belajar lebih lagi tentang seni bina dan lain2. Cuma dia berpesan, beradablah seperti seorang muslim kerana banyak mata yang melihat kamu, dan Allah juga selalu melihat kamu. Hormatilah orang lain sepertimana kamu ingin mereka hormati kamu.

Saya sungguh hairan dengan akidah umat Islam zaman sekarang. Nampak salib pun sangat takut sepertilah mata mereka perlu disertu. Ada yang saya jumpa sehingga takut mahu bersalaman dengan non muslim kerana takut ‘tersentuh’ sisa benda haram. Kita ingin merobohkan tempat penyembahan agama lain dan hanya mahu dipenuhi dengan masjid kita. Dan paling sedih ada yang menghina dan menyindir orang bukan Islam yang langsung tidak bersalah hanya kerana ada orang bukan Islam yang lain menghina atau menyindir kita.

Astaghfirullah, beginikah Islam yang sebenar? Lupakah kamu semua akan kelembutan dan kesopanan Rasulullah S.A.W? Kita seolah2 semakin menuju ke zaman arab jahiliah yang penuh dengan kemarahan, kebencian dan semangat berpuak puak yang sangat dibenci Rasulullah S.A.W. Kita seolah2 tertaksub dengan budaya ‘arab’ dan bukannya ajaran Islam yang sebenar. Sehingga kita sangat takut untuk bergaul dan bekerja dengan orang yang bukan Islam, kerana takut ‘ditindas’ dan ‘dipermainkan’ oleh kuasa2 yang entah dari mana mereka fikirkan.

Adapun lagi yang menyalahkan yahudi, CIA, Amerika untuk tiap2 kesalahan dan keganasan yang dilakukan oleh umat Islam sendiri? Seolah2 kita ingin membetulkan apa yang terang terangan salah dan ingin berdiri bangga seperti manusia beragama Islam itu sempurna dan tiada cacat cela. Ingatlah wahai rakan2, Islam itu sememangnya sempurna, tetapi manusia yang menganutinya itu tidak akan pernah sempurna kecuali insan yang dipilih Allah. Terimalah hakikat bahawasanya memang ada orang Islam yang membunuh, mencuri, merompak dan mereka yang menggunakan nama Islam untuk berlindung dari kesalahan2 mereka. Ketahuilah bahawa ada antara mereka yang terpesong dan terlalu taksub dengan ajaran yang salah, dan yang sepatutnya menghakimi siapa yang benar2 bersalah itu hanyalah Allah S.W.T.

Wahai sahabat, daripada kita berfikiran negatif yang umat Islam ini selalu dianiaya, ditindas, dipermainkan oleh agama lain, mengapa kita tidak berfikiran positif untuk menerima ujian ini dan mencari jalan penyelesaian yang aman? Mengapa kita terlalu taksub untuk ‘mengenakan’ balik mereka yang mungkin tiada kena mengena dengan hal ini? Iya, mungkin ada dalam kalangan kamu yang betul, ada umat Islam di negara2 tertentu sedang dibuli, ditindas, tetapi adakah dengan menghina orang lain, kamu dapat menyelesaikan masalah ini? Lupakah kamu kisah Nabi Yunus yang langsung ditertawakan oleh umatnya? Lupakah kamu tentang dakwah Rasulullah yang penuh cabaran dan Beliau masih lagi menunjukkan kasih sayang kepada orang yang bukan Islam?

Jadi apa kita perlu buat untuk saudara2 yang ditindas?- Soal mereka. Berdoalah. Percayalah dengan kuasa doa yang Allah akan membantu mereka yang ditindas, dan sungguhpun mereka tidak dapat hidup mewah didunia, berdoalah agar mereka hidup bahagia di akhirat. Bantulah dengan cara positif, sumbangan derma, misi volunteer untuk membantu mereka disana. Percayalah apa yang berlaku itu sudah ditakdirkan Allah, dan kita langsung tidak tahu akan rahsia disebalik apa2 yang terjadi. Jangan sesekali kita bertindak ganas, marah, benci, akan orang lain kerana sifat2 itu bukanlah yang Rasulullah sukai. Balaslah kezaliman yang kita lihat dengan rasa penuh simpati dan kelembutan. Sekalipun kita ditindas di dunia ini, hanya Allah yang tahu apa yang kita bakal miliki disana.

Maafkan saya jika ada yang tesinggung. Sesungguhnya saya penuh dengan kekurangan dan sekadar ingin memberi pendapat yang jujur. Salam.

– Bukan Liberal

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit