Rakyat Malaysia Gila Kaya

Salam, aku graduan dari sebuah IPTA di Kuala Lumpur. Alhamdulillah, sudah setahun lebih kerja di luar negara atas takdir rezeki dari Allah. Kerinduan terhadap tanah air begitu menebal ketika berada di negara orang putih ini.

Sejak bekerja di Luar Negara ini, banyak perbezaan ketara yang aku lihat antara minda kelas pertama dan minda kelas ketiga. Antara mentality orang Malaysia dan mentality orang putih. Sikap dan budaya terus menghantui diriku. Persoalan demi persoalan mulai timbul dari benak fikiranku apabila melihat sikap orang Malaysia sendiri. Sikap apa ya ? Yang aku maksudkan adalah Definisi & Erti KEJAYAAN bagi orang Malaysia ?

Apa erti “KEJAYAAN” bagi majoriti orang Malaysia ? ‘Whats the definition of success from your own perspective’ ?
Jika kamu perhatikan suasana & budaya di Malaysia ini seperti sebuah ‘trend’. Apabila kamu bertanya apa erti kejayaan pada orang Malaysia, kebanyakan dari mereka akan menjawab “berjaya itu kaya”. Dan sekarang apabila kamu cuba bertanya kepada Bapak & Ibu di Felda dan kampung, jawapannya adalah “berjaya itu kaya”. Jika kamu bertanya pada Pemuda, mereka menjawab “berjaya itu kaya”. Jika kamu tanya pada Penjawat Awam, mereka menjawab “berjaya itu kaya”. Jika kamu bertanya pada Peniaga, mereka menjawab “berjaya itu kaya”. Jika kamu bertanya pada Politikus & Menteri, jawapan mereka juga sama.

Apa maksud kaya ? Kaya bagi orang Malaysia adalah bila kamu dapat memperlihatkan simbol status kamu sebagai orang kaya atau pura-pura kaya dengan mempunyai asset seperti kereta mewah, telefon mahal, rumah bernilai, posisi jawatan kerja kamu, di restoran mana kamu makan, siapa kawan-kawan kamu, dan sebagainya. Dan kebanyakan rakyat Malaysia mengimpikan untuk berjaya menjadi kaya. Jika kamu punya kereta mahal, beerti kamu berjaya. Jika kamu punya banyak Bisnis, beerti kamu berjaya. Jika kamu punya rumah mewah, beerti kamu berjaya.

Lihat saja di media sosial, ramai rakyat kita yang mahu memperlihatkan kekayaan mereka di media sosial. Rakyat kita terlalu gila untuk menjadi kaya. Berbagai tawaran dan pakej2 menarik yang keluar di Facebook untuk menjadikan kamu rakyat Malaysia kaya seperti MLM, Forex, Emas, Hartanah, ASB, Insurans dan sebagainya. Banyak pakej menarik yang dapat keluarkan kamu dari kemiskinan ke arah kekayaan. Di samping itu, ramai yang ‘bias’ dan terlalu memilih untuk berkawan, bermenantu, bersuami, bekerja dan sebagainya.

Di Negara A yang aku tinggal sekarang ini, aku perhatikan sikap Orang Putih jauh berbeza dengan sikap rakyat kita. Anak-anak muda mereka diajar sedari kecil untuk memilih apa yang mereka minat. Jika anak mereka mahu jadi tukang kayu, mereka akan beri sokongan. Jika anak mereka mahu jadi Pemandu Lori, mereka beri sokongan. Jika anak mereka mahu jadi Petani & Peladang, mereka beri sokongan. Jika anak mereka mahu jadi Pekerja Binaan sekalipun, mereka akan bagi sokongan. Kerjalah apa saja yang mereka mahu asalkan ada minat dan berjaya dengan bidang kerja mereka. Jika anak mereka mahu menjadi ‘traveller’, mereka akan beri sokongan. Jika anak mereka meminati seni, mereka berikan dukungan.

Jarang sekali aku melihat mereka menggunakan kereta mewah untuk memperlihatkan simbol status mereka. Hatta berpangkat Pengurus sekalipun memakai kereta lama. Mereka tidak memandang jenama kereta, jawatan, jenis telefon, gaji kamu, jenis rumah dan sebagainya untuk berkawan dengan kamu. Hal yang penting di sini adalah sikap kamu bekerja, sikap kamu berinteraksi dengan orang lain, cara kamu menghormati dan sebagainya. Bagi mereka kejayaan itu maksudnya luas.

Tidak salah menjadi kaya dan berbisnis, yang salahnya apabila semua orang menggila menjadi kaya sehingga terlupa nilai-nilai manusiawi. Aku faham dengan ekonomi Malaysia yang sangat menghimpit sekarang ini, semua orang menjurus untuk keluar dari kemiskinan dan mencari kekayaan. Secara spontan, erti sebuah kejayaan itu sendiri telah berubah di minda rakyat Malaysia. Nilai-nilai kemanusiaan dan budaya timur juga ditolak ke tepi kerana sebuah kegilaan yang bernama kaya ini.

Perkara pokok di sini adalah maksud kejayaan itu sendiri berbeza-beza pada setiap orang. Jika kamu impikan ada sebuah rumah kayu di kampung, itu adalah kejayaan bagi kamu. Jika kamu impikan ada sebuah motor sebelum mati, itu adalah kejayaan bagi kamu. Jika kamu impikan untuk jadi Petani, itu adalah kejayaan bagi kamu. Jika kamu impikan anak-anak kamu jadi orang beriman, itu adalah kejayaan bagi kamu. Definisi kejayaan itu Bukan saja jadi kaya, tapi maksud kejayaan itu sangat luas pada setiap orang. Hormatilah kejayaan setiap orang, walaupun kejayaan itu kecil bagi kita, tapi amat besar bagi mereka.

Dan kejayaan sebenar bagi kita yang beriman ini adalah kehidupan kita selepas mati.
– Firdaus

– Firdaus

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit