Assalamualaikum. Ini kira macam post-Peninggalan Arwah tu juga. Pertama sekali, aku memang seorang yang boleh kata minat sejarah. Cuma tak ada banyak beli buku-buku sejarah, pergi muzium tiap bulan atau baca bahan bacaan sejarah yang berat-berat. Cuma kalau page sejarah macam Srikandi, The Patriots, Sungai Batu dan seumpamanya tu aku ikut juga.
Jadi bila aku terbaca confession Peninggalan Arwah tu aku rasa terpanggil nak tulis ni. Aku baca pun bila dah bahagian keempat dan tu pun disebabkan ramai kawan-kawan aku share di facebook. Aku pun mula baca. Agak menarik walaupun secara peribadi aku tak berapa pasti sama ada itu cerita benar atau fiksyen semata-mata. Jika direka sekalipun, aku yakin pasti ada kisah sebenar disebaliknya cuma mungkin diubah sedikit untuk menjadikan cerita itu menarik atau menjaga beberapa nama keluarga.
Aku perasan juga banyak respon di bahagian komen mengenai Peninggalan Arwah tu. Ada respon negatif dan ada juga respon negatif. Jujur aku rasa seronok apabila melihat ada yang memberi komen yang positif. Tahniah Mus (jika ini nama sebenar kau) kerana berjaya membuka mata sebahagian masyrakat kita mengenai sejarah. Ada juga yang aku perasan mula ingin mengkaji sejarah keluarga mereka. Satu perkara yang baik untuk dilakukan. Mungkin ada yang kata, “Eleh, dia datang dari keluarga yang kaya. Bolehlah kaji sejarah keluarga dia yang memang sedia hebat. Kitorang ni dari bawahan apa je yang ada…” Belum tentu. Contohnya dalam keluarga aku sendiri. Kami ni biasa-biasa saja. Sampailah ada salah seorang daripada keluarga kami mula selidik latar belakang keluarga kami. Sehingga ke Tanah Jawa. Rupa-rupanya baru tau yang kami ni merupakan keturunan bangsawan dari Tanah Jawa. Tapi bila cucu cicitnya datang sini tak adalah nama bangsawannya bukan.
Selain komen positif, tak kurang juga yang memberi komen negatif. Ada yang kata daripada belajar sejarah terutamanya sejarah Melayu inilah yang akan menimbulkan bibit-bibit perasaan perkauman atau bahasa kasarnya ‘racist’. Secara jujurnya, aku tidaklah menafikan kerana ada antara kita yang mungkin akan mengambil sejarah Melayu itu terlampau ekstrem. Tapi jika hendak dipakai konsep seperti itu, sama juga kalau aku katakan, subjek Bahasa Tamil dan Bahasa Mandarin jika dipelajari akan menimbulkan racist. Tak lojik bukan? Sebenarnya setiap apa ilmu tu jika diambil melebihi batasnya akan ada kesan buruk. Dalam sains sendiri jika kita tidak amalkan etika yang betul, maka terciptalah apa yang kita kenal sekarang sebagai bom nuklear, bom fosforus dan sebagainya. Nampak macam jauh menyimpang pula. Cuma aku nak kata, tak akan kerana sebahagian yang menjadi racist selepas belajar sejarah Melayu kita nak kata tak bagus belajar benda tu.
Mungkin ada yang terlebih Islamik yang akan kata, “Baik belajar sejarah Islam. Kenal kehebatan Islam. Bangsa dengan agama mana lagi penting..” Islam memang lagi penting. Tapi bukankah Melayu itu sinonim dengan Islam? Jika kita kaji sejarah Melayu, secara tidak langsung kita kaji juga sejarah Islam di Nusantara ini. Ya, mungkin ada yang tiada kaitan dengan Islam pun sebagai contoh sejarah Sungai Batu kerana tamadun itu wujud sebelum kedatangan Islam. Tetapi kalian tidak rasa bangga jika kita tahu di tanah ini pernah wujud sebuah industri besi yang termoden di dunia? Selain itu, kita juga dapat kenal ulama-ulama Nusantara kita. Apa ingat semua ulama Islam yang hebat tu datang dari Arab je?
Baiklah, mungkin ada golongan yang tak begitu meminati sejarah. Jadi perasaan teruja dan bangga tu tak sama dengan aku. Mungkin ada yang tertanya-tanya apa pentingnya belajar sejarah ni untuk masa depan kita? Apa yang pentingnya? Pada pandangan aku, kita dapat membentuk jati diri kita. Sekarang jika kita lihat ramai golongan muda termasuk aku juga yang terikut-ikut dengan budaya Barat. Apa saja yang mereka buat kalau boleh kita pun nak ikut. Kita seumpama tiada identiti diri kita sendiri. Itu tak termasuk lagi dengan gejala sosial. Malah filem-filem dan drama kita juga sudah mula mencontohi gaya Barat dengan adegan tidak senonohnya. Semua tu dibiarkan kononnya atas nama kemajuan. Pada aku, hal ini terjadi kerana kita berasa budaya kita sebagai orang timur ni dah lapuk, tak maju dan sebagainya. Kita rasa orang putih la yang membawa segala kemodenan ini. Kita rasa sebelum mereka datang, kita ni hidup tak bertamadun. Tahu main keris saja. Sebab itu pentingnya belajar sejarah kita ni. Bukan sejarah Melayu saja, sejarah bangsa lain seperti Cina dan India juga menarik untuk dipelajari. Kita dapat mengenal kehebatan bangsa kita. Jika kita terapkan ke dalam diri anak muda kita, sedikit sebanyak dapat menarik minat mereka untuk kenal budaya bangsa mereka yang terkenal dengan adab dan sopannya. Hormat kepada orang yang lebih berusia. Menjaga tutur kata dan sebagainya.
Pengalaman aku sendiri. Dulu aku cukup kagum dengan budaya Barat. Aku maksudkan sejarah orang Eropah macam tu. Sebab aku anggap sejarah kita ni macam tak ada apa-apa. Tapi lepas aku baca sejarah kita, makin lama aku rasa bukannya ada apa pun pada bangsa Barat tu. Bukanlah nak kata tak berguna, tapi kita ni pun hebat sebenarnya. Kalau kita tak hebat, kenapa susah payah mereka yang di Barat hendak datang ke Timur? Nak menjadikan kita bertamadun? Mulianya… (sarcasm)
Mungkin ada juga yang kata “Kau bolehlah minat sejarah. Aku tak minat….” Itu aku tak tahu nak tolong macam mana. Cuma kalau bolehlah kalau awak-awak semua yang kurang minat sejarah ni paling tidak pun jangan direndah-rendahkan orang yang minat sejarah. Aku pernah jumpa orang yang kata “Tak ada guna pun belajar sejarah ni. Sia-sia je. Bazir duit…” atau “Kau nak kerja apa belajar sejarah tinggi-tinggi ni?”. Orang-orang macam ni la yang menyebabkan aku berada dalam bidang Fizik sekarang. Hahaha.. bukan tak bersyukur. Semua ni ketentuan Allah juga. Allah tak nak yang minat sejarah ni dalam kelompok minat sejarah je. Ikhlas kata aku pun dulu bukannya minat Fizik ni, tapi Alhamdulillah aku cuba juga dan sekarang boleh bawa dan adalah minat tu sikit. Doakan kejayaan aku.
Akhir kata. Ya dah kesimpulan. Aku agak lemah dalam buat kesimpulan ni. Jadi apa yang aku harapkan daripada pembaca semua agar dapat sedikit kesedaran akan kepentingan mempelajari sejarah ni. Aku sebenarnya agak lemah tulis benda macam ni, tapi aku cuba juga. Aku harap ada antara yang baca ni mula minat akan sejarah. Maaf andai kata penulisan ini agak teratur. Aku tak berapa mahir dalam penulisan ni. Minat sejarah je reti. Sekian.
– Aiman (bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit