Mak Andam

Bagi aku Facebook inilah medium paling sesuai untuk aku kongsikan beberapa kisah misteri yang samada korang nak percaya atau pun tidak. Itu hak masing-masing. Lagi pun kalau kongsikan di Instagram bukan ada siapa nak like pun. * Sedih. Tambahan lagi aku mana ada akaun Instagram.

Bebel panjang-panjang pun siapa peduli, jadi ada baiknya aku teruskan dengan cerita yang nak aku kongsikan. Harap kisah yang aku ceritakan ni berbaloi untuk korang ambil iktibar lebih-lebih lagi di penghujung musim cuti persekolahan ni.

Tahun 2004 macam tu kebetulan aku balik ke kampung. Dah lama tak balik ke Gopeng. Hujung Disember selalunya study week. Jadi aku ambil peluang untuk balik. Mana yang nak study group akan stay lagi. Mana yang nak dating pun akan stay. Orang single macam aku ni baliklah. Kira seronoklah.
Dalam kepala aku time tu dah set nak baring, tengok movie yang disedut dari pendrive member, tengok Melodi, ronda-ronda kampung tapi angan-angan aku tu semuanya musnah bila malam, masa tengah makan dengan Ibu. Ibu aku berkata.

“Esok ikut Ibu pergi rumah Mak Long dekat Slim River ya.”

“Ha? Pergi rumah Mak Long? Ada apa?”

“Haih. Si Liyana (bukan nama sebenar) yang sebaya kamu tu kahwin. Tak tahu ke?”

Aku betul-betul tak tahu. Lagi pun masa tu mana lah ada group Whatsapp family macam sekarang ni. Kalau nak tahu berita selalunya tunggu time hari raya jelah dapat jumpa dengan sanak saudara. Tapi nasib baik jugak dulu tak ada Whatsapp, kalau tak jenuh notification cerita pasal anak si A pandai ABC lah, anak si D pandai baca doa makanlah dan paling menyampah ayat copy paste panjang-panjang yang entah siapa nak baca entah.

“Hah? Liyana yang sebaya orang tu dah nak kahwin? Dengan siapa?” soal aku kembali.

“Iya. Dengan anak ketua kampung dia kat sana. Kamu esok mak ya.”

Aku dah berkerut masa ni. Sebab cadangnya aku balik ni memang nak berehat untuk final exam minggu depan tapi kena diajak pergi kenduri kahwin si Liyana ni pulak.

“Malas lah mak. Lagi pun orang nak study. Minggu depan dah final exam.”

“Jangan mengada-ngada. Esok kamu kahwin nanti tak ada siapa nak datang baru tahu. Ikut mak ya.”

Ternyata alasan untuk study tak boleh diterima, dengan hati yang berat masa tu aku angguk je lah tanda setuju.

Esoknya perjalanan dari Gopeng ke Slim River aku banyak diamkan diri. Rasa dedor nak demam. Sebab masa aku tunggu bas nak balik rumah hujan lebat mungkin effect kot. Ibu dengan ayah pun tak cakap banyak masa tu. Dari Gopeng lalu ke Tapah, Bidor, Sungkai. Dalam Sejam lima belas minat macam tu kami sampai ke destinasi. Sebelum tu Ibu berpesan kalau tak larat nanti duduk dekat dalam rumah Mak Long je sebab nanti tak ada katering. Sedara mara ni lah yang akan rewang dan jadi kendarat masa kenduri.

Lepas je bersalam dengan saudara mara yang lain aku minta izin dengan ibu untuk masuk ke dalam bilik untuk tidur. Peningnya bukan kepalang waktu tu. Berdenyut-denyut. Perlahan aku melangkah masuk ke dalam rumah. Suasana waktu tu agak gelap. Rumah kampunglah katakan. Waktu berjalan aku berselisih dengan saudara mara lain yang nak keluar sambil bawak besen. Aktiviti rewang dibuat dekat luar rumah. Jadi dalam rumah lengang tak ada orang. Aku pun terus cari bilik yang mana kosong terus aku berbaring.

Terkebil-kebil aku cuba lelapkan mata masa tu tapi tak boleh sebab langsir yang menutupi bilik ni terbang-terbang ditiup angin. Kalau yang tak tahu biasanya rumah kampung, lagi-lagi yang diperbuat daripada papan ni tak berpintu jadi diorang tutup dengan langsir sebagai tirai bilik. Dalam masa aku perhatikan tirai pintu ni ditiup angin secara tak sengaja aku terpandang bilik pengantin yang betul-betul menghadap bilik yang aku baring ni.

Aku tengok macam gitu je. Nampaklah katilnya dan sedikit perhiasan dalam bilik. Lawa jugak. Yelah bilik malam pertama katakan. Kalau bilik bujang tu lainlah cerita. Nak cari spender pun tak jumpa. Perhati punya perhati aku terpandang seseorang yang berdiri betul-betul dekat cermin meja pengantin. Liyana lah tu sangka aku dalam hati. Awal betul dia kahwin padahal sebaya dengan aku. Dan kami pun dah tak berjumpa sejak aku belajar dekat universiti. Entah macam mana mulut aku gatal nak panggil dia.

“Liyana..Liyana.”

Tapi perempuan yang siap berpakaian pengantin tu langsung tak pandang aku. Sebaliknya terus berdiri tegak menghadap cermin.

“Ait suara aku tak kuat ke.” Gumam aku sendirian. Aku panggil sekali lagi.

“Liyana, woii Liyana. Sombong kau eh. Aku panggil tak nyahut.”

Kali ni aku tinggikan sedikit nada suara tapi sekali lagi perempuan yang berdiri menghadap cermin tu langsung tak pedulikan panggilan aku.

Pelik. Aku dah mula tak sedap bila aku dengar perempuan yang berpakaian pengantin tu mula ketawa terkekek-kekek tapi sayup-sayup je. Aku dah mula rasa lain macam. Dari bilik aku ke bilik pengantin tu tadi aku nampak perempuan tadi senyum berdasarkan bibirnya yang menyeget sedikit.

“Wehhh Liyana, kau ke tu weh? Jangan main-main lah. Tak kelakar lah weh.”

Lepas je aku cakap macam tu terus perempuan yang aku sangkakan Liyana sedara aku tu pandang aku dengan mata terjegil. Mata hitam dia kecik jika nak dibandingkan dengan mata putih dia yang kemerahan. Rambut dia tak terurus cecah ke lantai beb. Babi. Time aku terus terjerit macam orang nampak hantu dan sememangnya aku nampak hantu pun. Dan sedar-sedar dari pengsan ayah dah ada kat sebelah aku sambil sekeliling penuh dengan saudara mara. Aku terus ceritakan pada ayah dan ibu serta Mak Long ngan pak Long. Istighfar mereka bila dengar apa yang aku ceritakan.

Kebetulan pak Ngah aku ni adalah ilmu sikit terus dia scan bilik si Liyana ni dan alangkah terkejutnya bila mendapati dalam bilik tu terdapat tanduk babi hutan yang disorokkan di bawah bantal pengantin khas untuk malam pertama mereka. Dan barulah tahu rupanya itu semua adalah angkaran mak andam yang mahu pengantin yang disoleknya kelihatan cantik. Jadi perempuan berpakaian pengantin yang aku jumpa siang tadi tu mungkin saka belaan mak andam itu tadi yang digunakan untuk mencantikkan wajah pengantin.

Entahlah. Dalam hal ni aku cuma nak mengingatkan pasangan pengantin baru supaya cek dulu mak andam atau pak andam yang korang upah tu. Bukan apa takut kejadian macam gini terjadi pada korang pulak. Siapa tahu.

– RAZALI HAMZAH

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit