Hutang Yang Serius

KEBERHUTANGAN YANG SERIUS
Assalamualaikum
Ini kisah saya.. harap dapat pengajaran kepada sesiapa pun juga..Pada masa ini saya sangat menyesali apa yang saya telah buat selama ini.

Saya seorang penjawat awam yang telah berkhidmat selama 4 tahun. Seawal 3 bulan berkhidmat saya telah membuat pinjaman peribadi di bank. Pada permulaanya saya buat pinjaman untuk membayar hutang kepada keluarga yang saya pinjam dahulu. Mungkin sebab selama ini saya hidup terlalu susah, jadi bila jumpa duit saya lupa diri. Ini saya buat untuk memenuhi keperluan saya sendiri dan keluarga.. saya penuhi keperluan anak-anak yang mereka tidak pernah dapat selama ini. Beli itu ini, jalan sana sini.

Berkali-kali saya buat pinjaman bank, saya ada 3 kad kredit, pinjaman koperasi dan paling teruk sekali saya pinjaman dengan pinjaman wang berlesen. Pada tahap sekarang saya tidak dapat lagi buat pinjaman sebab gaji sudah melebihi 60%. Baki 40% juga digunakan untuk membayar hutang yang tidak masuk dalam slip gaji. Saya tidak mampu untuk bayar rumah sewa, kereta dan semua bil. Untuk perbelanjaan seharian lansung tiada. Pada hari ini saya amat menyesal tidak berjimat cermat dari dulu.

Sejak beberapa bulan ini saya telah berusaha memperbaiki keadaan. Saya mula berjual beberapa produk secara online. Saya juga membuat makanan untuk di jual. Namun semuanya masih tidak dapat untuk membayar hutang hutang saya di luar slip gaji itu. Saya tahu agak mustahil juga untuk saya dapat RM7000 bagi menampung membayar hutang dan kehidupan kami sekeluarga. Menyesalnya saya membuat hutang selama ini.

Untuk pengetahuan pembaca, saya ada suami yang tidak bekerja. Saya kecewa juga dengan sikap suami yang tidak berusaha membantu saya. Sedangkan berkali kali saya ceritakan masalah saya. Berkali telah saya suruh dia mencari kerja part time di sebelah malam. Ini kerana dia mengurus anak bersekolah pada siang hari. Sekurangnya di boleh membantu bayar kereta, minyak dan perbelanjaan dirinya. Dia hanya mahu kesenangan sahaja, lepak bersama kawan- kawan. Minta duit untuk rokok, minyak kereta untuk keluar dengan kawan- kawannya. Maafkan saya buka aib suami saya. Semoga ini dijadikan pengajaran.

Pada masa ini saya kasihankan anak anak saya. 2 orang sudah bersekolah. Alhamdulillah saya dapat yuran dan keperluan sekolah mereka dengan menggadai barang kemas saya yang terakhir minggu lepas. Anak saya yang ketiga masih lagi menyusu. Setiap kali buat susu saya menangis, memikirkan macam mana saya nak dapatkan duit untuk beli susu. Betapa saya menyesal buat hutang terlalu banyak.

Untuk pengetahuan pembaca, bukan saya tidak minta bantuan keluarga. Saya tahu mereka pun susah, dan saya bukanlah jenis yang meminta-minta dan meminjam-minjam pada orang. Pada hari ini, saya hanya mampu berdoa semoga Allah berikan saya petunjuk untuk keluar dari masalah ini. Siang malam saya berdoa. Saya yakin masalah ini akan selesai dalam masa 5 tahun atau sebelum itu. Saya malu dengan diri sendiri dan saya kasihankan anak anak saya. Ibu mana yang tidak kasihankan anak anaknya bila tahu dia tidak mampu untuk memberi anaknya makan. Saya sudah tidak tahu lagi nak buat apa, kadang – kadang saya hilang arah untuk mencari duit . Saya sedih dengan keadaan ini. Saya amat menyesal.

Jadikanlah kisah saya ni sebagai pengajaran. Berbelanjalah ikut kemampuan pendapatan sahaja. Sekian, terima kasih.

– Inara

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit