Assalamualaikum kepada semua pembaca. Saya berumur 30an, ada anak satu.
Saya tak pasti diri saya ni bermasalah, berpenyakit atau ini memang tabiat semulajadi ke hape. Saat saya sedang menulis ni, saya sedang mendengar irama muzik Tamil yang kuat datang dari jiran sebelah rumah saya yang asyik membersihkan halaman rumahnya. Maafkan saya andai tulisan saya pun pening-pening jadinya.
Kisah saya bermula sedari kecil. Mak saya seorang yang garang. Setakat belasah pakai batang paip, hanger dawai sampai bengkok-bengkok, memang da jadi makanan saya. Dia bukan saja garang, tapi terkenal dengan sikap rajin dan tak boleh tengok kotor. Sampaikan jiran hujung rumah saya selalu tanya saya, “Eh, mak ko tu hari-hari 24jam sapu rumah, ada ke habuknya dalam penyodok?” Saya masa tu hanya menjawab, “Tak perasan pulak cik. Esok saya cek.” Sambil order aiskrim malaysia perasa koko satu, pastu suruh makcik tu claim kat mak saya. Petang tu jugak, saya kena libas dengan mak sebab beli aiskrim pandai-pandai tapi takde duit.
Dan disebabkan sikap mak yang tak boleh kotor dan sepah, kami terdidik dengan cara yang begitu. Kecik-kecik kami da pandai buat kerje rumah.
Tingkatan satu saya da memasuki asrama penuh. Masuk asrama, lagilah bab kebersihan sangat diutamakan. Hari pertama, dah diajar cara pasang cadar, tegangkan cadar, lipat baju, basuh baju. Saya memang sangat menjaga kebersihan, locker saya yang kecil tu, saya hias indah dengan perhiasan dari pengasah pensel yang pelbagai bentuk. Ada bentuk radio, cawan dan sebagainya. Baju saya, saya gantung kemas2, tersusun dan saya rasa itu sahaja ruang yang saya ada untuk saya lepaskan rasa penat belajar, penat dengan rutin sekolah berasrama. Semua orang yang mengenali saya, tahu yang saya sangat sukakan kebersihan, tersusun dan suka menghias. Seawal tingkatan 2, saya da dilantik menjadi Ketua Dorm. Masuk tingkatan 3, saya masuk sekolah harian biasa. Jodoh saya tak panjang nak bersekolah asrama. Dan masuk sekolah baru, saya semakin ligat dan aktif. Setiap tahun, memang saya akan menjadi AJK keceriaan, saya jadi pustakawan sebab suka nak susun-susun buku, masuk pertandingan sepanduk dan poster maulud nabi, masuk itu ini.
Sehingga saya masuk U.
Mungkin korang rasa, ala…semua orang macam ni jugak. Ye. Tapi saya boleh sampai tak boleh tidur malam kalau tak mengemas atau tak siapkan apa yang saya planning nak kemas dan buat. Saya ada satu perangai yang mana, saya akan susun aturkan baju saya mengikut warna dalam susunan pensil warna Luna.
Saya akan gantung dan susun baju saya bermula dari warna putih, kuning, oren, merah, pink pekat, ungu, biru pekat, biru air laut, hijau pekat, hijau cair, coklat, kelabu dan last sekali hitam. Untuk mensorting kategori warna je da ambil masa saya. Saya akan susun dan ulang ikut kadar kepekatan warna sampai saya puas. Bukan itu saja, jika saya melipat baju, saya ada satu sampel baju contoh yang mana itu akan menjadi ukuran untuk saya melipat. Biar semua lipatan baju tu sama ukuran dan saiznya. Jadi, bila saya bukak almari, saya dapat feeling yang saya berada di shopping complex untuk belek-belek beli baju gitu. Dan semestinya, warna hanger saya mesti sedondon dan serona. Jika saya gantung baju, saya akan masukkan juga kriteria kepanjangan baju tersebut. Saya akan susun ikut pendek dahulu, kemudian baru yang panjang. Sekiranya terlebih panjang, tapi tak ikut turutan warna, saya akan pinkan atau lipat gantungan tu sampai dapat ukuran yang saya nak. Paham tak?
Saya sangat meminati dua warna ini dan saya akan pastikan barang-barang saya semua hanya dua warna ini sahaja. Sampaikan ke pencuci muka ke atau syampu ke, walaupun tak serasi pakai, sampai adakalanya muka saya keluor jerawat batu besor gula-gula pun, walaupun rambut saya kejung, nak sikat pun tak tembus, saya pretend takde pape. Janji barang saya warna itu. Zaman tu tak semudah macam zaman sekarang untuk nak kumpulkan barang-barang mengikut warna.
Saya akan pastikan meja, tempat tidur dan kawasan saya bersih dan tersusun. Saya boleh tahu jika barang saya ada yang ambil atau teralih. Saya akan lap dan basuh tombol pintu sebab saya rasa kawasan ni mudah tercemar.
Nak basuh baju pun saya akan basuh ikut warna. Biasa orang akan asingkan yang putih dan gelap sahaja kan? Tapi saya kalau boleh, saya siap asingkan ikut setiap genre. Macam balada, rock dan irama malaysia. Kalau jeans, jeans semua. Baju kurung, baju kurung je. T-shirt gelap, t-shirt terang, baju tidur, kain dan list go on…
Sampai satu hari, saya menerima surat layang. Dalam surat tu menyatakan bahawa, perbuatan saya terlalu annoying. Seolah-olah saya menunjuk-nunjuk macam saya pembersih sangat. Orang penat tengok saya. Saya sangat sedih. Sebab saya tak ganggu orang. Saya takde membebel. Saya bersihkan bilik, saya tak mintak tolong roommate. Lagipun roomate saya chipsmore. Daftar bilik tapi tak duduk bilik. Hari-hari balik rumah keluarga. Kadang-kadang saya cuci je bilik air level saya sebab memang kotor. Saya betul-betul tak sangka, perbuatan saya orang tak suka. Sampai sekarang saya tak tahu siapa yang menulis surat tu dan saya tak bercerita mahupun cari siapa penulis surat tersebut. Tapi ia sangat meninggalkan impak dalam hidup saya.
Saya jadi takut nak terlalu berkemas. Saya cuba ubah apa yang orang rasa pelik tentang saya mengikut surat tu. Saya cuba adapt dengan basuh baju campur-campur tapi jiwa saya memberontak. Saya tak dapat tidur malam. Sebab saya rasa tak bersih. Kotor. Lama-lama, saya berjaya jugak buat-buat tak nampak. Dan saya sebenarnya menderita di dalam.
Sampailah saya berkahwin.
Perangai saya berulang kembali. Mungkin sebab, saya dah ada ruang sendiri. Dan ini sangat berlarutan. Saya boleh tak tidur malam jika rutin saya tak siap. Saya lap lantai rumah pakai tangan. Sebab saya rasa pakai mop tak bersih. Badan saya sakit-sakit tapi saya tak boleh berhenti dari buat ni. Saya lebih suka mengemas dan buat kerja pada malam hari sebab tiada gangguan. Biasanya saya akan tunggu anak tidur. Dan saya pernah je tak tidor sebab lap-lap tah hape-hape tah. Tong gas pun saya pernah lap. Kalau boleh nak ikat dengan reben.
Saya akan sidai baju ikut kategori dan saya akan sidai baju dalam keadaan baju tidak terbalik. Biasanya orang akan sidai terbalikkan baju supaya baju tidak pudar hilang warnanya. Bagi saya tak. Saya rasa kotor kalau terbalikkan baju sebab habuk tu akan melekat direct ke badan. Jadinya, saya juga akan sidai baju dalam rumah.
Selalu saya datang kerja mengantuk dan penat. Tapi saya puas. Saya boleh terjaga dari tidur jika tiba-tiba saya teringat yang saya tak lipat baju lagi. Makanya, dalam kegelapan, saya melipat baju. Habis buat kerja, barulah saya dapat tidur dengan tenang. Dan tidur dalam iman.
Ada ketikanya suami saya tak kasik langsung saya pegang penyapu atau kain lap. Saya cakap, tak boleh. Tak boleh tengok kotor. Jadi, dia suruh saya tanggalkan cermin mata supaya saya tak nampak segala kekotoran yang melanda. Dan cara ni berhasil. Sebab saya akan nampak bersih je. Dengan muka muka dia sekali saya nampak bersih dan rata.
Pernah kawan opis saya cakap, tak sangka dia dapat tengok real life orang perangai macam saya. Entahla. Saya penat. Tapi saya tak boleh berhenti buat ni. Boleh sakit kepala saya. Korang sama macam saya tak? Saya rasa kalau ada kolej buat jurusan kebersihan, saya boleh dapat anugerah dekan ni.
~Makcik Cleaner
– Makcik Cleaner
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit