Assalamualaikum dan salam sejahtera (bagi bukan islam). Terima kasih admin sebab sudi siarkan cerita aku. Aku harap cerita aku dapat berikan semangat dan inspirasi kepada semua pembaca confession ini. Aku merupakan seorang wanita berumur 30-an, telah berkahwin, mempunyai anak dan bekerja di dalam bidang profesional. Nak dijadikan cerita, selepas berkahwin, aku berhenti bekerja dan menjadi surirumahtangga sepenuhnya.
Ceritaku bermula selepas aku berhenti kerja. Ibu mertua yang dahulunya melayan aku dengan baik, bertukar layanan setelah aku berhenti kerja. Disebabkan kami duduk sekali dengan mertua, setiap hari aku terpaksa mendengar kata-kata sindiran dari ibu mertuaku berkenaan dengan keadaan aku yang tidak bekerja dan menjaga anak di rumah. Bayangkan, aku nak makan pun terpaksa ikat perut sebab aku tak tahan dengan tohmahan ibu mertuaku. Sampailah suami aku buat keputusan untuk berpindah keluar dari situ dan cuba untuk berdikari sendiri dan juga bagi menjaga hubungan mertua-menantu di antara aku dan ibu mertuaku.
Alhamdulillah, selepas berpindah keadaan kami semakin baik, namun langit tidak selalunya cerah, kami diuji dengan masalah kewangan yang cuma kami berdua sahaja yang tahu. Mujurlah aku ada buat simpanan peribadi sebelum berhenti kerja. Dengan duit itulah kami ‘topup’ apa yang kurang. Aku memang puji sikap suamiku, walaupun dihimpit dengan masalah kewangan, tak pernah sekali pun suamiku culas belikan barang keperluan rumah dan makan pakai untuk aku dan anak kami.
Kami terpaksa jual kereta suami untuk menampung komitmen bulanan aku (aku ada komitmen bulanan kereta, pinjaman peribadi dan insurans). Suami juga turut menghantar resume ke beberapa buah company lain bagi mendapatkan gaji yang lebih tinggi bagi menampung kehidupan kami. Aku?beratus resume aku hantar mencari kerja sekitar kawasan yang kami duduki namun rezeki masih belum ada lagi untukku pada ketika itu.
Satu benda aku pesan dekat suami, dan juga diri aku sendiri, jangan lupa selalu berdoa dan minta pada Allah, mintak, minta dan minta. Setiap hari aku pesan perkara yang sama, selepas hujan aku berdoa, bangun tidur aku doa, sebelum tidur aku doa. Aku pun bukan duduk sahaja di rumah, aku buat perniagaan kecil-kecilan. Dengan duit hasil perniagaan itulah, aku mampu membantu suamiku walau tidak banyak mana. Ketika kami jatuh, kami dapat lihat siapa kawan, siapa lawan. Pelbagai tohmahan kami terima dari ahli keluarga dan juga rakan.
Telinga aku makin lama makin lali bila ramai yang cakap belajar tinggi-tinggi tapi duduk dekat rumah juga, atau sayangnya kerja gaji dah besar, akhirnya duduk rumah juga. Aku jadikan semua tohmahan tu sebagai pembakar semangat untuk aku walaupun aku sebenarnya tertekan dengan keadaan kewangan dan kata- kata negatif yang dilemparkan.
Namun, rezeki Allah datang tanpa diduga. Aku mendapat pekerjaan tetap di dalam bidang professional dengan gaji yang tetap. Aku panggil rezeki untuk anak kami. Untuk mulakan pekerjaan ni, banyak benda kami korbankan sebab memerlukan duit yang banyak. Duit minyak kereta ke tempat kerja, duit makan di tempat kerja dan duit pengasuh anak. Jadi aku gadaikan gelang dan cincin emas pemberian suamiku walaupun suamiku berkeras tidak mahu aku menjual emas pemberiannya. Aku fikir, apa gunanya aku jadi isteri kalau aku tak dapat membantu meringankan beban suamiku.
Setelah aku mula bekerja, sekali lagi Allah uji kami, kali ini suami pula mendapat separuh sahaja gaji disebabkan keadaan syarikatnya yang tidak stabil akibat kejatuhan industri minyak di negara ini. Selama 4 bulan suami mendapat separuh sahaja gaji dan tidak mampu untuk membayar komitmen bulanan suami sehingga kereta suami ditarik bank. Rumah pula mujurlah suami bayar guna duit gaji walaupun ada skip bayar (bulan ni bayar, bulan depan tak bayar dan seterusnya). Kereta kami ada 3 buah, sebuah dah jual, sebuah lagi kami pakai harian dan sebuah lagi yang ditarik tu memang tak pakai lama sebab rosak, nak baiki perlukan duit yang banyak, jadinya bayar gitu je tanpa pakai, sebab nak jual pun susah sebab rosak.
Tapi aku pesan lagi dekat suami, jangan lupa doa, mintak dekat Allah. Kalau nak kerja baru, lepas hantar resume doa nak kerja tu, dekat company apa, gaji berapa, Allah akan makbulkan, inshaAllah. Setelah keadaan semakin teruk, alhamdulillah, Allah beri rezeki buat suamiku. Suamiku mendapat tawaran kerja di sebuah syarikat dengan gaji dan benefit yang lebih tinggi. Aku rasa nak menangis je bila dapat tahu suamiku dapat kerja lain. Teringat susah payah kami yang memang tiada siapa tahu.
Jadinya, aku nak pembaca semua setiap kali dugaan melanda, jangan putus asa, sentiasa ingat yang Allah tak akan membebani umatNya sekiranya kita tak dapat menanpung ujian dariNya. Rezeki Allah itu luas, rezeki kewangan, rezeki anak, rezeki kesihatan, rezeki pandai dan macam-macam lagi. Yang penting jangan lupa minta pada Allah dan ingat Allah tak akan bagi apa yang kita mahu, tapi Allah akan bagi apa yang kita perlukan.
Satu lagi yang penting, tak perlu ambil pusing pun cakap-cakap orang, abaikan sahaja. Selagi tak pernah makan nasi lauk telur goreng dengan kita, selagi tu tak perlu kisahkan apa kata orang sekeliling, yang penting kita suami isteri saling memahami dan membantu satu sama lain. Hikmah bila sama-sama susah ni ialah jadi saling menghargai pengorbanan suami isteri dan jadi makin rapat.
Dan kepada mereka yang pandang hina kepada kami ketika kami susah, kami maafkan mereka, tapi untuk menjadi lebih rapat lebih-lebih lagi setelah tahu kami suami isteri bekerja dalam bidang yang stabil, rasanya buat masa sekarang, hubungan biasa-biasa sahaja sudah cukup. Forgive, yes, forget, never.
– Kekakak S
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit