Assalamualaikum semua. Seperti yang kita sedia maklum, dalam apa jua perkara yang kita lalui, kerjasama amatlah penting. Begitu juga di alam rumahtangga. (Kartun wonderpet pon cakap kerjasama tu penting)
Rumahtangga ni sesuatu yang indah jikalau kita amalkan mengikut syariat-nya. Kerjasama yang kita jalinkan antara pasangan turut memainkan peranan supaya ikatan rumahtangga lebih ukuh.
2016 sesungguhnya tahun yang sangat mencabar, tak kira dari segi ekonomi, sara hidup, pekerjaan, semuanya makin mencabar jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelum. ramai juga pasangan yang mengambil inisiatif supaya bekerja berdua untuk menampung kos sara hidup.
Aku wanita yang lasak. Dari bujang, memang aku diterapkan berdikari. Cari duit sendiri dan tidak mengharapkan orang lain. Apabila aku berkahwin, itulah perancangan yang kami buat bersama. Dia bekerja, aku bekerja.
Setahun perkahwinan aku, semuanya berjalan lancar. Aku akui gaji aku lebih tinggi dari dia. Jadi, kebanyakan kos, aku yang tanggung. Rumah, kereta, pinjaman peribadi waktu renovate rumah. Aku tak kisah semua tu, sebab aku taw dia bukan orang senang, begitu jugak aku.
Bila cahaya mata kami lahir, dia membuat keputusan berhenti kerja dan memulakan perniagaan. Aku pada mulanya tidak bersetuju sebab kalau mengikut plan, aku yang nak berhenti kerja dan jaga anak. Perbincangan demi perbincangan, aku setuju untuk bertukar kerjaya. Aku bekerja, dia menguruskan bisnes dan menjaga anak di kala malam.
Aku bekerja shift di sebuah syarikat swasta. Pekerjaan aku majoritinya kaum Adam dan kaum hawa sangat minoriti sebab pekerjaan ni berat. Keadaan aku yang jauh dari rumah, aku berulang saban hari dan masa yang aku ada di rumah tidak lebih dari 6 jam.
Anak kami dihantar ke pengasuh pada waktu siang sahaja dan di kala aku bekerja, sebab dia dah berjanji untuk menjaga anak kami pada waktu malam. Walaupun hari cuti, dia tetap akan menghantar anak ke pengasuh kerana katanya untuk berehat.
Masa yang aku ada di rumah yang tidak sampai 6 jam setiap hari, aku gunakan untuk membuat kerja rumah. Dalam 6 jam tu termasuk waktu tidur aku, jadi aku memang tak sempat untuk melakukan semua kerja harian yang surirumah lain lakukan. Itu kalau shift siang. Kalau shift malam, memang siang tu aku takkan tidur langsung, sebab aku dahulukan buat kerja rumah. Aku juga akan uruskan kerja “part time” aku di kala cuti. Ya, aku ada buat bisnes on9 dan alhamdulillah mendapat sambutan yang memberangsangkan.
Dia bukan orang yang romantik. Aku tak kisah sebab aku sendiri memang mencari ciri lelaki yang tak romantik sebab aku agak kasar orangnya. Memang tiada sambutan ulang tahun kelahiran, ulang tahun perkahwinan macam pasangan lain lakukan. Tak pernah aku merasa dapat hadiah, pujian melambung macam apa yang diviralkan pasangan lain.
Jujurnya aku tak kisah semua tu. Cuma aku harapkan sifat penyayang tu ada untuk diri aku yang kecil ini. Pedulikan pakaian aku, apa yang aku nak, sakitnya badan aku sebab kerja berat. Aku kasar, tapi ada ketikanya aku mahu juga merasa layanan sebagai seorang perempuan biasa.
Perniagaan dia semakin hari semakin merosot. Ketika itu, aku menangggung 100% perbelanjaan keluarga termasuk nafkah diri aku dan dia. Setahun jugak aku berterusan begini. Akhirnya bila perniagaan dia terpaksa ditutup, kebanyakan masa hanya di rumah. Anak tetap dihantar ke pengasuh. Aku berbincang secara baik supaya dia mencari kerja makan gaji seperti aku, dia akan tarik muka. Dia akan senyap membisu. Aku menangis setiap kali perbincangan kami sebab selalunya tidak akan mendapat kata putus dari dia.
Pendapatan aku setiap bulan memang tiada lebihnya. Simpanan pon aku tak dapat buat sebab kesemuanya aku uruskan, iaitu nafkah aku, anak aku, dan dia sekali. Aku rasa kecewa, sedih, sebab apa yang dibincangkan sebelum kahwin dulu ternyata tidak sama seperti apa yang aku lalui.
Kurangkanlah mahar kerana sebaik baik perempuan adalah yang rendah maharnya. Aku dulu hantaran sangat rendah, majlis kahwin sangat simple, tak ada dj, kompang, pelamin. Yang ada, hanya khemah dan meja makan, serta lauk pauk untuk dihidangkan kepada tetamu. Aku percaya kehidupan lepas kahwin, aku akan dapat lebih dari tu. Dia juga berjanji untuk bekerjasama dalam menguruskan rumahtangga.
Sekarang, aku tidak rasa indahnya rumahtangga itu. Aku menangis, berdoa kepada Allah agar aku diberi jalan yang mudah. Aku berdoa agar aku dapat menjadi surirumah sepanjang hayat dan menjaga makan pakai anak aku tanpa perlu aku bekerja seperti ini. Sebab aku tidak nampak jalinan kerjasama yang dia janjikan dulu.
Aku redha dengan apa yang tertulis untuk aku. Cuma aku harapkan untuk pembaca agar faham maksud kerjasama dan melakukannya bersama pasangan. Give and take. Wanita sekarang banyak yang berdikari, tetapi jangan biarkan “terlampaunya” berdikari anda tu mengikat hidup anda. Nafkah adalah tanggungjawab suami (jikalau sihat, tiada masalah kesihatan, mampu tubuh badan). Wanita, hargailah pengorbanan pasangan anda jikalau dia banyak berkorban untuk anda. Lelaki, fahamilah jiwa wanita. Sekuat mana pon, wanita tetap ada lembutnya di dalam hati. Layanilah dan gembirakanlah pasangan anda hingga ke akhir hayat terutamanya yang sama-sama mencari nafkah membantu keluarga.
– Wanita bekerjaya
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit