Assalamualaikum.
Sebelum solat jumaat ni, aku nak buat satu perkongsian. Kisahnya tentang apa yang aku alami dalam tempoh terdekat sehingga beberapa tahun sebelum ini.
Aku salah seorang pelajar UIA yang baru memasuki UIA pada semester lepas dengan STAM. Pendek cerita, aku mahu berkongsi tentang doa. Mungkin dah banyak kalian sendiri mengalami betapa berpengaruhnya kuasa doa mahupun mendengar perkongsian daripada orang lain.
Ketika STAM (2015) dulu, aku bermula lewat sebulan berbanding rakan-rakan yang lain. Awal bulan dua baru aku mula belajar. Ketika itu, aku memang rasa berada di tempat paling rendah. Sebab kebanyakan rakan sekolah aku sudah berada di tahun 1 degree di universiti awam tempatan ataupun tahun dua bagi yang berada di luar negara.
Tumpuan aku ketika mengambil STAM pada tahun tersebut adalah untuk dapat semua mumtaz dan sekurang-kurangnya band 4 bagi MUET sebab nak ambil kos tertentu apabila di peringkat degree nanti. Jujur aku katakan, tahun-tahun sebelum tahun aku mengambil STAM adalah tahun yang paling mencabar dalam hidup yang pernah aku alami.
Kecewa, sedih, takut, sakit dan macam-macam yang mengakibatkan penderitaan emosi aku alami. Dan memang bagi aku, STAM lah satu-satunya laluan terakhir untuk aku mengubah segala kekecewaan itu kepada cahaya pengharapan. Cukup setakat itu aku ceritakan apa yang dialami sebelum STAM.
Ketika tahun 2015 itu, aku betul-betul cuba berikan fokus terbaik. Pendek cerita, aku betul-betul dapat semua yang aku hajatkan. 10 mumtaz dan markah tertinggi MUET di pusat aku ambil ujian MUET dengan markah 216 (if i’m not mistaken).
Bila aku dapat capai dua tu, memang mampu lah untuk mohon kos yang aku hajatkan tu. Semasa memohon UPU, aku letakkan kos yang aku hajatkan tu di kedudukan paling atas sekali.
Masa berjalan, kecenderungan aku juga sedikit goyah. Sepanjang menunggu keputusan UPU, aku buat macam-macam. Minat aku pula sangat cenderung kepada Bahasa Arab. Namun, bila sampai hari keputusan sama ada dapat panggilan temuduga atau tak, aku sempat berdoa supaya diberi keputusan yang terbaik. Ketika itu, aku dalam musafir pulang ke kampung halaman dan berhenti rehat sekejap di sebuah surau.
Ketika aku masih berada di surau itu, mesej daripada adik aku masuk mengatakan yang aku dapat panggilan temuduga untuk kos tersebut. Jujur aku katakan, menangis bila aku dapat tahu keputusan tu. Sekali lagi Tuhan betul-betul kabulkan doa aku bulat-bulat macam yang aku minta.
Masa terus berjalan, aku berjaya melepasi temuduga dengan baik. Dipendekkan cerita, aku diterima untuk memasuki kuliah tersebut. Fyi, aku selitkan terus di sini yang sepanjang tempoh pengajian, aku tak jumpa orang selain aku dalam kuliah aku yang masuk dengan STAM. Ketika minggu orientasi, aku mengalami masalah tak dapat mengambil ujian bahasa yang mana boleh mengakibatkan aku tidak mampu memasuki kuliah terus. Ketika itu, aku diuji dengan kesakitan sehingga terpaksa kembali ke kampung kerana sakit yang agak teruk. Selepas sembuh, aku kembali ke UIA.
Pada asalnya, aku memang sangat takut tak dapat masuk kuliah. Disebabkan itu, hampir sepanjang perjalanan aku dari Kelantan ke UIA, aku berdoa supaya aku tak tersekat disebabkan isu Bahasa ini.
Banyak sebab yang buat aku rasa takut tak lepas, satu rasa tak mahu menambah beban ibu bapa dari segi kewangan. Kedua kerana usia aku tambahan aku anak sulung. Lagi, kerana kos pengajian aku yang agak panjang berbanding kos lain. Dipendekkan cerita, segala apa yang aku takuti itu tak terjadi. Bahkan, aku mampu memasuki kuliah sebagaimana orang lain pada hari kedua pengajian.
Di sepanjang tempoh pengajian juga, banyak sekali ketakutan yang aku alami. Takut kena repeat paper, takut tak dapat selesaikan tugasan yang pensyarah bagi. Takut dapat pointer rendah di bawah target minima yang aku letak, dll. Yang buat aku lega, semua yang aku takutkan, langsung tak terjadi.
Semasa tempoh persediaan sebelum final, aku banyak kali doa untuk subjek tertentu supaya topik yang aku baca beberapa hari sebelum peperiksaan masuk. Dan untuk subjek tu, betul-betul masuk topik-topik yang aku baca. Untuk final ni, aku memang tak nafi langsung yang aku usaha last minute. Cuma satu fakta tentang diri aku yang tak dapat disangkal, beberapa minggu sebelum tu adalah antara minggu paling barai yang aku alami dalam semester lepas.
Selain itu, aku pernah berdoa moga-moga pointer yang aku dapat atas 3. Bagi aku, dapat banyak tu dalam situasi semasa aku ketika tu sudah cukup tinggi. Dan bayangkan sahaja, aku benar-benar dapat atas sedikit daripada apa yang aku doakan.
Selepas semua aku ceritakan ni, aku juga nak katakan yang aku bukan orang yang tak terlepas dari salah silap. Nak ceritakan semua salah yang aku buat juga memang tak habis. Cerita yang aku kongsi ni bukan nak tunjuk aku ni rapat dengan Tuhan, ada kelebihan doa makbul ke apa, tak sesekali aku berniat macam tu. Cuma pendek cerita, aku tahu aku banyak salah tapi dalam masa yang sama aku tahu hanya Tuhan yang selayaknya aku minta pertolongan.
Aku lupa nak cakap, aku juga selalu minta doa dari orang-orang soleh yang masih hidup. Moga-moga boleh tampung kekurangan dalam doa yang aku buat. Doa mak aku memang selalu aku minta. Doa guru-guru, doa sahabat-sahabat baik. Kenalan apa semua. Jadi, apa yang aku alami sampai sekarang ini juga tak mustahil datang daripada doa-doa mereka.
Ingatlah, ادعوا الله وأنتم موقنون بالإجابة. Nanti carilah huraian tentang teks arab ni. Disebabkan penulisan kali ni sudah tersangat panjang, aku berhenti setakat ni dulu. Kalau ikutkan ada lagi nak tambah termasuk amalan-amalan yang berkait dengan doa yang aku pegang. Kalau perlu, aku buat satu lagi post khusus untuk nyatakan semua itu.
Semoga kisah yang aku kongsikan ini bermanfaat. Akhir sekali, doakan aku berjaya dunia dan akhirat.
– Hakim
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit