Aku Bukan Yang “Paling”

Assalamualaikum….terima kasih kepada admin kerana menyiarkan tulisan ini dalam iium confession ini. Pada awalnya aku macam teragak-agak untuk menulis kisah ini memandangkan ianya berbentuk confession which means kisah benar pasal aku la kan. Sometimes aku fikir confession ni boleh jadi membuka aib aku dan macam-macam lagilah. Tapi aku berpegang pada kata-kata seorang penulis, “writing to heal”. Ya, aku menulis untuk mengubati.

Semoga penulisan aku ni dapat menjadi ubat untuk pembaca sekalian dan diri sendiri. Ok apa yang aku nak share kat sini ialah tentang sedikit ujian yang telah aku hadapi dalam hidup. Kalau sebut sahaja ujian mestilah banyak ujian yang kita semua lalui. Takdela aku nak confess semuanya, certain je yang mungkin boleh jadi ‘ubat’ untuk korang.

Ok, antara ujian besar yang aku hadapi ialah ‘disihir’ ataupun dibuat orang. Masa tu aku cuma darjah tiga. Apa yang aku tahu, sihir itu ditujukan pada ayah aku. Bayangkan aku baru berumur sembilan tahun. Sepanjang tempoh tu, aku jadi malas ke sekolah, jadi pendiam. Seingat aku hampir beberapa bulan jugalah masa yang diambil untuk pulih semula. Itupun setelah pergi berubat beberapa kali. Aku tidak ingin bercerita lanjut tentang perkara sebenar yang berlaku.

Cukuplah orang tahu itu antara ujian yang aku lalui, dan selepas kejadian itu aku menjadi seorang yang agak pasif. Ya, benar-benar beri kesan pada aku. Memang kesan ketara adalah aku berubah menjadi pendiam dan malas sekolah. Nasib baik masa UPSR aku dapat paksa diri untuk lebih rajin. Kalau tak macam mana nak exam.

Ujian besar kedua yang aku rasa selepas tu bila aku dah naik sekolah menengah. Aku selalu sakit, tapi bukan sampai kena masuk hospital, cuma aku rasa dalam ramai-ramai adik beradik aku, akulah yang paling kerap ke klinik. Sakit tekak, macam tercekik something je tapi bila jumpa doktor tak dapat dikesan pun. Lagi satu, keluarga aku bukanlah orang senang memang ayah aku je yang support kami sebab mak aku surirumah.

At that time, penyakit diabetes ayah aku agak kritikal dan mata dia dah rabun jadi memang tak boleh kerja. Kadang-kadang makan nasi dengan ikan masin je. Apa yang boleh dicari dan dijual aku dengan adik aku jual je macam pucuk-pucuk atau tin kosong. Aku pun nak exam SPM tahun tu…jadi banyak benda kena fotostat. Nasib baik pihak sekolah bagi bantuan biasiswa jadi aku boleh gunakan untuk tambang bas.

Aku berterima kasih juga pada sorang cikgu yang tampung belanja aku dan adik makan di kantin sekolah sepanjang tahun. Memang aku rasa berat sangat dengan kewangan kami masa tu walaupun aku ramai kakak dan abang tapi diorang pun ada yang belajar lagi dan tak mampu tolong. Tak sampai sebulan sebelum aku hadapi SPM ayah aku pulak meninggal dunia setelah sebulan lebih terlantar akibat diserang strok kali ketiga kalau tak salah.

Allah, memang ujian besar bagi aku. Fokus aku pada exam agak terganggu. Memang aku perlukan masa kerana sebuah kehilangan itu. Tapi Alhamdulillah aku boleh strive sampailah aku dapat masuk sebuah UA. Sekali lagi aku diuji sakit migraine pada tahun kedua aku di universiti. Ia berpanjangan selama setahun. Kuasa Allah migraine tersebut hilang setelah setahun. Berkali-kali juga aku buat appointment dengan doktor.

Baiklah aku tak nak panjangkan lagi. Pernah dalam satu sesi kaunseling, kaunselor tanya macam mana aku hadapi semua itu. Jawapan aku adalah ‘sabar’. Tapi sekarang jawapan aku selain daripada sabar ialah minda aku yang disetkan bahawa aku bukan orang yang “paling”. Macam mana? Ya, memang aku pernah terkena buatan orang sehingga aku menjadi begitu tetapi ada lagi yang disihir sampai mati.

Aku orang miskin, tetapi ada lagi yang lebih miskin bahkan makan nasi tanpa lauk. Aku selalu sakit sehingga rekod kad perubatan akulah yang paling tebal berbanding adik beradik yang lain. Tetapi ada lagi yang lebih sakit berbanding aku sehingga bertahun-tahun ke hospital. Ya, aku juga kehilangan ayah pada tahun aku duduki SPM tetapi ada kawan aku yang kehilangan ayah juga pada tahun yang sama bahkan kehilangan ibu pula beberapa bulan kemudian.

Sekarang aku baru sahaja masuk ke alam pekerjaan. Lumrahlah kita yang baru nak menimba pengalaman, rasa susahnya kerja ni. Aku tak naklah cerita masalah kerja pulak sebab daha panjang sangat. Yang penting aku tak give up dengan kerja ni, kerana kawan aku yang baru kerja pun rupa-rupanya lagi rumit masalah dia. Jadi sekarang aku betul-betul yakin dan berpegang dengan word “paling”.

Walau apa sahaja ujian yang aku lalui, akan sentiasa aku ingat yang aku bukanlah orang yang paling susah, paling miskin, paling banyak ujian, paling bodoh, paling kaya, atau paling apa sahaja pun kerana yang pasti ada lagi yang lebih dari aku. Ya, itulah yang aku nak kongsikan sedikit sebanyak dengan semua. Apa sahaja rintangan kita kena ingat ada lagi yang lebih susah dan berat ujiannya daripada kita.

Yes, bila dalam fikiran kita telah sematkan rasa itu, kita tak akan rasa kecewa dengan hidup dan tidak ada rasa putus asa dalam hidup malah sentiasa bersyukur kerana kita bukanlah orang “yang paling”. Bagi aku kalau benda-benda yang positif macam kaya atau berilmu pun boleh pikir yang kita ni bukannya orang paling kaya pun atau yang paling pandai.

So bila dah rasa kita ni bukan yang paling, maka tidak adalah rasa sombong dan bongkak dalam diri. Malah sifat tawadduk itu yang timbul dalam hati kerana kita yakin bukan orang yang paling kaya atau bijak. Nah itulah sebenarnya point untuk tajuk confession ni. Aku harap pembaca sekalian dapat terkesan dengan penulisan ini dan lepas ni semua yang baca tanam perkataan ni dalam hati. Sekian.

– Qalam Fitrah

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit