Seseorang kamu tidak benar-benar beriman sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri.
Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim.
Aku pernah belajar mengenai hadith ni dalam suatu halaqah kecil yang aku hadiri. Kami ditanya oleh penyampai, “Cuba semua orang bagi satu perkara yang kita suka orang buat pada kita, maknanya, itulah juga perkara yang kita perlu buat pada orang lain.” Ada berbagai-bagai jawapan termasuk suka orang bagi hadiah, suka orang masakkan makanan dan juga suka kalau orang bagi kejutan hari lahir.
Sampai giliran aku, aku tak dapat bagi satu perkara yang spesifik. “Entahlah , saya rasa suka pada benda yang praktikal je kot.”
“Contoh?”Penyampai menyoal lagi.
” Contohnya, apabila saya masuk tandas awam, saya suka kalau tandas tu bersih, takde sisa tertinggal dan sebagainya. Tu dah cukup untuk buat saya ‘happy’. Jadi saya pun akan pastikan perkara yang sama selepas saya tinggalkan tandas awam terbabit”
Penyampai tersenyum. “Betul juga tu. Kadang-kadang apa yang membuatkan kita bahagia bukan terletak pada satu benda yang ‘special’ pun. Cukup dengan setiap orang disekeliling kita menjalankan tanggungjawab dengan baik. Kebahagian akan hadir tanpa kita sedar. Melaksanakan amanah kita pada seseorang merupakan antara tanda kita mengasihi orang tersebut. Contohnya apabila ibubapa menjaga anak-anaknya dengan baik sepertimana mereka jaga diri sendiri, malah lebih lagi. Memang itu tanggungjawab asas, tapi kalau yang asas tak terlaksana, mana mungkin hal-hal yang lain bisa difikirkan”
Sebenarnya, aku sekadar ingin berkongsi konsep berhubungan dengan manusia yang diajarkan melalui hadis ini. Aku memang dibesarkan dalam keluarga yang sangat praktikal. Kami bahagia walaupun sangat jarang berpeluang melancong atau mengadakan sambutan khas untuk hari lahir contohnya. Kami diajar untuk menghargai setiap detik dan tanggungjawab yang telah dilaksanakan oleh setiap ahli keluarga dalam kehidupan seharian kami. Pernah baru-baru ni ayah ada hadiahkan emak bunga segar semasa hari ulang tahun. Mak aku terkejut dan cakap kat aku “Mana ayah belajar ni. Membazir ja beli bunga ni nanti layu. Buat makan pun sedap!”. Hahaha, nampak tak betapa praktikalnya keluarga aku.
Contohnya dalam urusan pengurusan rumah. Ayah akan memastikan keselamatan, teknikal dan keadaan halaman rumah bersih. Ibu pula seperti biasa masak dan buat kerja rumah yang lain. Manakala kami adik-beradik tak kira lelaki mahupun perempuan dah diasuh untuk ada ‘common sense’ dalam membantu menguruskan rumah. Apabila dah dewasa, tanpa disuruh, tong sampah penuh, pasti ada orang buangkan. Lantai kotor, semua orang ringan tangan menyapu. Hujan turun, pasti akan ada orang angkat pakaian di ampaian. Aku rasa kehidupan sangat harmoni macam ni.
Pernah sekali aku hubungi adik lelaki yang bekerja di ibu kota. Bila ditanya aktiviti dia hujung minggu, dia jawab, “Tak buat apa pun, tengah cuci tandas ni. Kotor sangat dah”
Aku sekadar menguji “Housemate lain tak buat ke?” Adik jawab, “Tak apalah, dah kotor sangat ni, nanti diri sendiri nak guna pun tak selesa”. Terima kasih adik sebab mengingatkan aku nilai yang mak ayah didik kita semenjak kecil.
Aku mula tertekan apabila berjauhan dengan keluarga dan perlu memulakan kehidup baru bersama teman-teman serumah. Biarpun jadual tugasan sudah disiapkan atas persetujuan semua, masha Allah, sampai kesudah memang aku yang buat semua benda. Dah puas sangka baik. Oh, dia busy minggu ni. Dia ada kuiz minggu ni. Eh, aku lupa yang aku pun belajar dan ada semua benda tu. Cuma berkat didikan makayah, aku mampu bahagi masa dengan baik, belum pernah ada masalah untuk menjalankan tanggungjawab asas. Pada awalnya, aku buat kerana terbiasa dengan ‘common sense’ yang diajar dari kecil. Tapi aku perasan orang lain langsung tak hargai. Aku tak mengharapkan hadiah sebagainya. Seperti dinyatakan diatas, aku cuma buat sebab aku nak orang gembira bila rumah bersih dan dalam masa yang sama, mengharapkan orang lain pun ada perasaan yang sama. PERASAAN yang mana meletakan tanggungjawab terhadap hak manusia lain sebagai priority, sama seperti keperluan diri sendiri.
Perasaan ‘saling’ menjaga hak dan keperluan asas ni bagi aku merupakan KUNCI kebahagian sesuatu unit kumpulan manusia, sama ada diperingkat keluarga dan lebih besar sikit, masyarakat. Ni lah asas yang diajarkan dalam hadith di atas. Kita seharusnya layan semua orang dengan cara kita nak semua orang layan kita. Konsep ni harus seimbang. Bila wujud ketidakseimbangan, dari situlah timbulnya konflik. Contoh, bos sangat prihatin, tapi pekerja ambil kesempatan. Ada pulak pekerja cukup berdisplin, tapi bos garang dan emosional.
Namun aku faham bahawa ‘common sense’ semua orang tak serupa. Sebab tu Allah pesan dah dalam quran, supaya kita saling mengenal antara satu sama lain. Allah nak tengok siapa yang bersabar kerana dari situ baru dapat Dia bagi ganjaran!
Aku pun tak tahu apa aku melalut. Aku sebenarnya dah sampai limit kesabaran dekat housemates, sampai terfikir nak kongsikan konsep ni dengan diorang. Aku rasa semua orang perlu faham yang kadang-kadang kita memang tak suka nak buat sesuatu benda, tapi kita buat jugak sebab itu merupakan apa yang menggembirakan dan memudahkan urusan orang-orang yang kita sayang. Aku tak nak perangai ni jugak yang diamalkan bila pulang ke kampung halaman masing-masing. Kesian mak ayah kita.
Pesanan aku kepada pelajar di luar sama, kita masuk menara gading ni bukan sekadar nak genggam ijazah. Pulang ke kampung halaman, perangan masih sama, akhlak masih tak ada peningkatan seiring dengan usia dan ilmu. Disini kita belajar erti kehidupan dan cara nak harunginya. Takde orang sempurna, tapi kita kena bukak hati seluas-luasnya untuk belajar. Belajarlah untuk menunaikan ‘hak-hak asas’ orang-orang terdekat yang kita sayang sebelum berangan nak pegang jawatan tinggi dalam syarikat. Cuci toilet lepas guna dan jauhi ‘janji melayu’ tu pada aku merupakan contoh perkara asas yang mungkin ramai pun antara kita belum lepas. Aku pernah tinggal di negara maju dan menyaksikan sendiri bila mana perkara asas kehidupan selesai, yang lain akan mudah membangun dengan sendiri.
Yang penting, Allah maha adil. Semua orang ada peluang yang sama untuk memperbaiki diri selagi mana masih dianugerahi nyawa. Kita semua mungkin bermula di level yang berbeza kerana latar belakang dan sejarah hidup kita tak pernah sama, tapi tak mustahil untuk kita semua capai satu tujuan yang sama, yakni meraih redha Allah.
– Abdullah
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit