Namaku Zairi. Seorang anak lelaki sulung kepada tiga adik perempuan. Ayah sibuk bekerja sebagai kakitangan kerajaan, mak suri rumah sepenuh masa. Banyak masa maklah yang uruskan hal anak-anak.
Sedutan confession yang lalu (Anak Mak di Perantauan), aku menceritakan bahawa mak aku menyuruh membuat kerja hal-hal rumah macam-macam sewaktu aku masih remaja. Aku banyak masa duduk dengan rumah dengan mak dan adik-adik. Namun sebagai seorang lelaki, aku rasa kerja-kerja rumah ni kerja perempuan, kenapa lah aku kena buat juga? Tapi kerana takutkan Mak marah-marah dan kena bantai. Aku turutkan jua paksa ikhlaskan diri. Kerana aku percaya keredhaan Allah itu pada keredhaan Mak. Kalau Mak marah maksudnya Allah marah. Kalau Mak menangis pun aku rasa Allah marah juga. Bila mak menangis, menggeletar kaki lutut aku, rasa macam kiamatnya dunia. Cepat-cepat aku pujuk mak minta maaf.
Keluarga aku ibarat sistem suria di alam semesta. Mak aku ibarat sang suria, Matahari. Ayah, aku dan adik-adik ibarat planet-planet, mengelilingi matahari mengikut orbitnya. Dengan izin Allah. Jika matahari kelam dan suram, sudah pasti menganggu pergerakan orbit planet-planet kerana mungkin tiada graviti. Pasti berpecah belah akhirnya.
Tanpa mak, ayah tak pandai uruskan diri. Ayah juga kurang pandai uruskan anak-anak. Ayah sibuk sangat bekerja. Ayah hasil anak manja arwah nenek. Semua perkara arwah nenek uruskan. Sampai satu ketika mak mahu ayah majukan diri mempunyai kenderaan motorsikal sendiri. Sampai bila ayah berulang alik pergi kerja mengejar bas awam? Mak paksa ayah belajar lesen memandu. Sehinggakan arwah nenek marah-marah mak supaya jangan paksa anaknya. Tapi mak tak putus asa. Biar keluarga ayah mencemuh mak, mak mahu ayah seperti ayah normal seperti keluarga lain, memandu mak dan anak-anak ke mana-mana saja. Akhirnya ayah memiliki lesen motosikal dan membeli motosikal Kriss Modenas warna merah. Arwah nenek yang suatu masa dulu tak suka cara mak, akhirnya bergambar dengan ayah yang memiliki motosikal baru. Motosikal itulah yang membawa ayah pergi dan pulang kerja, menghantar anak-anak pergi sekolah dan membonceng mak pergi pasar membeli ikan-ikan dan sayur-sayuran.
Jodoh mak ayah adalah jodoh orang tua perkenalkan. Orang tua dulu-dulu sangatlah garang, keputusan mereka berdaulat, tak boleh dibantah. Mak tak kenal ayah, ayah pun tak kenal mak. Orang tua yang dulu fikir kahwinkan cepat anak, cepat kurangkan bebanan mak ayah (arwah atuk nenek aku). Terutama anak lelaki. Dulu, ayah harapkan arwah nenek. Kini ayah harapkan mak pula. Walaupun ayah begitu, dia tetap tunaikan nafkah zahirnya walaupun kurang pada nafkah batin kepada keluarga. Aku tak benci dan tak mengeji ayah. Aku hormati ayah. Aku mengasihani ayah dan bersyukur dengan apa yang ada.
Tapi AKU SAYANG MAK lebih lagi dan ketat-ketat. Mak istimewa. Zaman 70-an. Mak antara orang-orang awal yang membawa budaya tudung labuh di kalangan masyarakat. Orang pandang serong wanita yang bertudung, apatah lagi Mak yang bertudung labuh. Tatkala adik beradik Mak leka berhibur gaya barat, memakai skirt, Mak aku pula teguh memilih budaya islam pondok, belajar di KL. Aku suka mak betul-betul menutup aurat dan menjaga solat di zamannya sampai kini.
Mak selalu pujuk aku jangan bencikan ayah. Baiklah mak, aku tak benci ayah. Cuma aku tak mahu jadi macam ayah. Ayah tak pandai berdikari jadi ayah susah mahu naik pangkat dalam ofis. Bertahun-tahun ayah jadi staff orang. Ayah banyak pengalaman bekerja tapi orang yang lebih muda jadi bos kepada ayah.
Gaji ayah tak mampu menampung pengajian anak-anak di sekolah. Ayah adalah golongan miskin bandar. Jadi ayah mohon bantuan zakat negeri hampir setiap tahun. Layak dapat. Alhamdulillah. Sampai sekarang tapi aku pula sambung mohon zakat untuk keluarga. Cuma zakat negeri sekarang ni tak tanggung bidang pelajaran lain melainkan hanya jurusan Agama saja. Selalu saja permohonanku ditolak.
Demi menampung kekurangan pendapatan keluarga, Mak sebagai surirumah sepenuh masa, mula mengasuh anak-anak orang lain yang bekerja. Sedikit sebanyak membantu pendapatan keluarga. KASIHAN MAK. Mak kena uruskan hal penjagaan diri ayah, kemudian persekolahan anak-anak, lepastu jaga anak orang-orang bekerja pula. Kami adik beradik yang pulang dari sekolah pun tolong mak jaga anak orang. Aku anak lelaki pun balik sekolah mak suruh bancuhkan susu anak mak orang. Mak ajar aku bancuh tepung susu bayi ikut sukatan sepatutnya. Lepastu tuang sikit susu kat belakang telapak tangan jaga suhu susu bancuhan. Pastikan suam rasanya. Panas sangat nanti lebur lidah budak-budak.
Sebelum bagi kembali anak kat ibubapa diorang lepas workhours, mak suruh aku mandikan budak-budak. Budak yang lelaki je. Budak-budak perempuan dimandikan oleh adik perempuan aku. Mak dan adik aku mandikan semua budak laki dan perempuan. Aku je tak boleh haha. Fahamlah. Yang aku benci basuhkan najis budak. Eaarghhhh. Dululah, sekarang dah lali. Pastu pakaikan lampin diorang, pakaikan bedak pastu pakaikan diorang baju dan seluar. Walaupun busuk-busuk aku kena, tapi bila lepas mandi tu.. tengok bayi-bayi ni comel tersenyum.. bau diorang wangi.. lupa segala penat lelah. Dengan harapan, janganlah berkira sangat upah asuh dengan mak aku wahai ibubapa yang bekerja. Kasihanilah mak, mak penat, sampai sekarang jaga anak orang lagi.
Sehinggalah suatu masa aku mendapat tawaran di sebuah IPTA diploma jurusan sains komputer. Satu-satunya tawaran aku terima akibat SPM 1A je.
“Mak, Zairi dapat belajar IPTA,” aku tunjuk surat tawaran kat mak. Mak baca surat tu.
“Maaf Zairi, mak takde duit nak bayar yuran pendahuluan belajar ni,” aku terkejut bila mak kata macamtu.
“Tapi mak, ni je surat tawaran yang Zairi dapat. Kalau tolak… mana nak pergi lepas ni,” kata aku sambil air mata mengalir.
“Maaf Zairi, mak ayah tak mampu, kamu belajarlah STPM ya,” kata mak sambil menangis..
“Bukan mak tak mahu Zairi sambung belajar, tapi tak mampu, belajar STPM yuran tak mahal lepastu boleh balik rumah mak hari-hari,”
Ya Allah, aku menangis, aku mahu belajar ipta macam kawan-kawan sekolah yang lain… berjaya dalam SPM mereka.
Sejak dari tu aku berazam belajar sungguh-sungguh. Aku nak ubah kemiskinan keluarga. Aku belajar form 6 dua tahun. Adik perempuan aku pinjamkan basikal dia untuk aku pergi sekolah form 6 (sebab dia habis sekolah pagi so aku pula yang sambung sekolah petang). Kawan-kawan pergi sekolah naik kereta dan motor, aku seorang je pergi sekolah naik basikal. Sedih juga basikal aku bawa basikal warna pink siap bakul depan dengan loceng. Kring..kring…Namun, demi ilmu di dada, malu dengan orang dibuang tepi jua.
Dipendekkan cerita aku belajar pandai-pandai sampai masuk program luar negara belajar di US selama 4 tahun, sponsored by MARA..(baca balik Anak Mak di Perantauan)..sehinggalah ke hari graduasi Mak tiba di airport L.A.X., California. Aku peluk mak kuat-kuat sebab aku rindu mak.. deras air mata mengalir.. lama tak jumpa mak. Basah tudung labuh putih mak dengan air mata ku. Aku cium pipi mak sungguh-sungguh.
Aku drive mak tumpangkan mak kat bilik sewa aku. Esoknya hari graduasi kat taman universiti (suasana macam orang nak kahwin haha). Aku pakai kemeja hitam bertali leher kelabu. Lepastu, sarung jubah graduasi. Majlis graduasi orang Amerika tak macam Malaysia ada istiadat bagai. Mereka meraikan graduasi macam berparti. Maka aku pun beratur mengambil skrol daripada dekan. Aku ambil skrol pastu bergambar dengan dekan. Lepas tu dengan jubah tu pegang skrol bergambar sebelah mak bertudung labuh putih. Tiada apa perasaan melainkan gembira saja. “Tahniah anakku, Zairi,” itu saja diungkapkan Mak.
Lepas tu aku bawa mak pergi jalan-jalan, hadiah kan mak barangan berjenama. Tapi aku tahu, apa saja aku buat, aku bagi, aku tak akan pernah mampu dan selesai sampai mati, dalam membalas JASA MAK , yang sangat besar dalam mendidik anak-anaknya.
Alhamdulillah, kini aku selamat tiba di tanah air..dipendekkan cerita aku kini sedang menghabiskan jurusan doktor falsafah di universiti sekitar KL..
– Zairi
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit