Assalamualaikum. Terima kasih admin jika sudi publish confession aku. Kalau aku letak tajuk ‘Kuasa Sedekah’ agak-agaknya korang baca atau scroll laju-laju? Haha.. Sebab confession sebelum ni kalau keluar bukan aku tak baca. Cuma aku baca yang atas, yang tengah, yang akhir. Jadi, kalau confession aku pun korang buat hal yang sama, tak pa aku faham.
Kenapa aku baca yang atas, yang tengah, yang akhir saja confession sebelum ni tentang sedekah? Sebab aku cemburu dengan korang. Serius. Korang lepas sedekah je, 2-3 hari lepas tu orang bagi duit la, orang yang dah lama tak bayar hutang, tetiba datang bayar hutang la, tetiba korang dapat tempahan yang banyak la. Kadang aku tertanya-tanya kenapa bila aku bersedekah, aku tak dapat macam korang. Tapi dalam aku cemburu, aku tetap rasa syukur dengan apa yang aku ada saat ini. Jadi, biar aku ceritakan tentang kisah sedekah aku.
Aku ni nak sedekah ikut mood. Tapi agak kerap. Cara sedekah aku pun macam-macam cara. Bukan riak sebab korang bukan kenal aku pun. Kebanyakannya aku lebih banyak sedekah makanan berbanding duit. Aku suka masak banyak-banyak. Kadang bagi jiran, kadang bagi kawan sekerja makan. Ada jugak kalau time rezeki aku lebih, aku tempah makanan hantar kat rumah anak yatim yang sedikit bilangan penghuni. Aku mampu setakat tu je la. Adakala juga bila aku beli sarapan pagi kat gerai, aku tak ambil baki. Kesian makcik jual nasi lemak asyik jerit-jerit panggil aku suruh ambil baki. Selagi aku tak cakap aku sedekah, selagi tu la dia dok panggil. Sedekah duit ni pun ikut aku jugak. Kadang dalam purse aku ada RM5, RM5 tu jugak aku bagi kat orang. Lepas tu aku pi tekan balik kat mesin atm. Kadang dalam purse aku ada RM100 termasuk duit kecil pun, aku buat tak peduli ja bila orang datang ketuk cermin kereta aku mintak duit. Sebab pada aku orang yang datang mintak tu muda lagi. Kenapa perlu meminta-minta. Aku sedekah pun tak menentu. Kadang aku bagi RM2 ja, dan pernah juga aku sedekah cecah nilai ratus.
Sikap aku kalau nak sedekah aku memang malu kalau orang nampak. Aku pun tak tahu kenapa aku kalau bole tak nak orang tahu aku ada bagi sedekah. Kalau kebetulan kat tempat awam, aku akan lipat kecik-kecik duit tu supaya orang tak nampak berapa nilai aku sedekah. Dan aku seboleh mungkin elak sedekah time aku dengan kawan aku atau ahli keluarga aku. Aku risau hati dia orang tercuit bila aku sedekah, tapi dia orang tak. Aku tak nak dia orang fikir macam tu. Nak sedekah biar ikut hati. Jangan ikut orang. Kalau aku keluar dengan anak-anak aku, aku akan suruh anak aku yang bagi duit tu kat sesapa yang aku rasa nak bagi. Macam yang berjualan kat kaki lima shop lot ke, yang ada kat pasar malam ke. Pada aku sedekah ni tak perlu orang lain tahu pun. Tapi kalau niat korang supaya nak galakkan orang lain pun ikut bersedekah, takda masalah. Sebab tu aku lebih suka letak duit awal-awal dalam sampul sebelum keluar pergi pasar malam atau pasar tani.
Hidup aku kaya ke bila kerap bersedekah? Kalau kaya harta yang ditanya, memang tidak lah. Kadang-kadang aku rasa sempit jugak. Aku masih pakai kereta lama. Hidup masih menyewa. Hujung bulan aku makan jugak maggi, biskut kering, nasi dengan telur. Anak-anak aku ja makan sedap. Haha.. Tak sampai hati kot aku nak tengok anak aku makan macam aku. Takpa dia orang makan ayam, makan ikan. Aku makan nasi dengan telur pun dah kenyang. Rezeki jugak tu kan?
Apa yang membuatkan aku mula faham dengan konsep sedekah? Bila aku terdengar satu tazkirah dari seorang ustaz. Kata ustaz tu, bila bersedekah antara yang kita akan dapat ialah ketenangan, kecukupan. Ini betul. Walaupun aku tak pernah dapat ‘duit terpijak’ atau apa-apa lah seperti durian runtuh, aku rasa apa yang aku ada ni serba cukup. Aku ada tempat berlindung walaupun rumah kosong tanpa perabot dan hanya menyewa, aku masih ada rezeki untuk makan anak beranak walaupun disaat hujung bulan kadang-kadang rasa semput jugak. Aku masih lagi boleh beli pakaian kat anak-anak walaupun kadang-kadang aku beli yang preloved atau beli di pasar malam saja. Ada masa kereta aku buat hal, melayang juga 3, 4 ratus sampai aku fikir apa la aku dengan anak-anak nak makan tengah-tengah bulan nanti. Alhamdulillah gaji aku masih ‘ngam-ngam’ sampai gaji berikutnya. Cuma aku kena puasa la berselang seli. Pada aku kehidupan aku masih berjalan lancar. Sewa rumah, duit kereta, bil-bil aku masih mampu bayar tanpa tunggakkan. Aku dikelilingi orang-orang yang tak mendatangkan masalah pada aku. Pekerja seliaan aku pun sentiasa bagi komitmen yang baik setiap kali aku bertugas. Kawan-kawan, jiran-jiran, bos-bos pun baik-baik. Aku rasa tenang. Hidup aku lancar, Alhamdulillah. Dari situ aku faham tentang hikmah bersedekah.
Pada aku dah terlalu banyak status kawan-kawan aku atau quote bahawa nak kaya perlu sedekah. Statement ni pada aku kurang tepat. Aku salah satu contohnya. Sampai sekarang tak kaya. Atau boleh jadi korang tukar sikit ayat, nak kaya pahala kena sedekah. Ini baru betul. Berapa banyak pahala yang Allah janjikan kalau kita bersedekah. Sebab pada aku sedekah tak menjanjikan kita kaya harta atau duit. Tapi menjanjikan kita serba cukup. Serba cukup ni pula datang sekali dengan pekej rasa syukur. Kalau Allah bagi kita nikmat selepas bersedekah pun, kalau kita tak bersyukur, tak cukup juga kan.
Jadi, teruskanlah bersedekah untuk mendapatkan rasa cukup. Yang penting sentiasa syukur. Mohon maaf kalau confession aku korang anggap macam riak ke apa. Aku just bercerita dari hati. Korang tak kenal aku kan… Sekian.
– Aisyah
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit