Assalamualaikum Admin. Aku terpanggil untuk berkongsi pengalaman aku ini selepas membaca artikel kiriman ibu muda yang menulis tentang Trend Beranak Ibu Muda. Salah satu confession yang berjaya membuka mata & menjentik hati ramai manusia terutamanya golongan isteri & ibu itu sendiri. Seperti yang aku katakan tadi, perkongsian ini berdasarkan pengalaman aku sendiri, dan juga apa yang aku belajar dari persekitaran & pengalaman orang lain. Terlebih dahulu aku nak minta maaf sebab artikel ini sepertinya lama untuk dihabiskan, tetapi harap-harap ada yang sudi membaca sehingga ke nokhtah terakhir.
*****
Pengalaman Aku.
Aku seorang ibu di awal 30-an. Mempunyai 3 orang anak, yang mana 2 daripadanya adalah kembar seiras. Sedikit pencerahan tentang diri aku, aku bukanlah medical student tetapi gemar membaca artikel-artikel tentang medics and stuff semenjak kecil. Gemar mempelajari & mengambil cakna tentang medical terms & jargons. Semenjak dari first pregnancy aku memang alert dengan segala perubahan yang tubuh seorang ibu akan alami selama tempoh kandungan. Aku banyak menghabiskan masa membaca artikel mengenai ‘pregnancy & birth’. Ditakdirkan Tuhan, first pregnancy aku adalah ‘missed abortion’ – janin aku tidak survived. Aku ok. Sebab aku percaya akan ada peluang kedua. Aku menjalani proses D&C untuk mengeluarkan janin yang hanya bertahan selama 8-9 minggu sahaja. Setahun selepas keguguran, aku hamil kali kedua dan ditakdirkan Tuhan, segala-galanya lancar walaupun mindset nak bersalin secara normal, tetapi Allah dah simpan rezeki aku rupanya — untuk melahirkan anak sulung melalui kaedah c-sect (due to fetal distress). Aku ok, sebab sepanjang tempoh mengandung aku dah persiapkan diri aku untuk kedua-duanya (normal & c-sect). Lagipun, aku positif aku masih berpeluang untuk merasai proses kelahiran normal untuk kandungan seterusnya (kaedah VBAC – vaginal birth after caesarian).
Tetapi Allah dah tetapkan kandungan ketiga aku adalah kandungan kembar seiras (shared placenta but different amniotic sac). Bahasa mudah, kembar aku berkongsi uri tetapi di dalam kantung berbeza. Time ni aku panik sedikit sebab pertama, keluarga aku & suami tak ada sejarah kembar di dalam keluarga kami. Maksudnya ini ‘spontaneous conception’. Bahasa mudah, ini rezeki kami. Mak ayah aku pun tak percaya sangat aku mengandung kembar haha. Tunjuk gambar scan pun diorang tak berapa faham. Semua nak tunggu aku bersalin dulu baru nak percaya. Sebenarnya sampai sekarang pun aku tak percaya aku pernah mengandung anak kembar. Tengok anak kembar aku, baru aku percaya balik. Huhu. Ok berbalik kepada isu, aku panik sedikit sebab keduanya, ‘twin pregnancy’ tak sama dengan ‘singleton pregnancy’. Kandungan aku walaupun berbeza kantung, namun masih dikategorikan sebagai ‘high-risk pregnancy’ – kandungan berisiko tinggi kerana mereka berkongsi uri. Bahasa mudah, aku kena study subjek baru sebab tak pernah ada dalam syllabus sebelum ni. Bermula lah episod aku menggali ilmu tentang kehamilan kembar. Dari seawal-awal proses kejadian (conception), jenis-jenis kembar – identical & fraternal, komplikasi kandungan kembar & faktor, kelahiran pramatang sehinggalah kemungkinan berakhir dengan satu kematian atau kedua-duanya sekali. Semua aku baca untuk pemahaman aku sendiri dan untuk memudahkan aku hadam semua explanations dari nurse KK, doktor pakar & gynae aku.
Oh ya, semenjak aku keguguran – proses D&C, kelahiran anak sulung & kelahiran si kembar semuanya dilakukan di pusat perubatan swasta, oleh gynae pilihan. Alhamdulillah suami aku mampu. Tetapi, itu bukan alasan untuk aku tidak mendapatkan rawatan & second opinion di Klinik Kesihatan & Klinik Pakar di Hospital Besar. Kesemua kandungan aku mempunyai Buku Merah. Kesemua kandungan aku di bawah pemerhatian jururawat & doktor kerajaan walaupun pada asasnya aku tidak perlu menjalani pemeriksaan di KK & Hospital kerana aku sudah memilih untuk bersalin di hospital swasta. Tapi aku sedar, final call bukan terletak dalam tangan aku, tetapi Allah. Aku tidak sanggup untuk menanggung risiko sekiranya ada komplikasi saat akhir terhadap kandungan terutamanya kandungan kembar. Masih tersisa lagi di ingatan, betapa letih mengusung perut hampir setiap 2 minggu ke KK, kemudian temujanji bulanan di Klinik Pakar Hospital Besar, dan temujanji bersama gynae aku. Sewaktu kehamilan kembar, aku, suami dan gynae berbincang dan mencapai persetujuan – sekiranya aku terpaksa melahirkan si kembar sebelum 34week (pramatang) maka kes aku secara automatik akan diserahkan kepada hospital besar, mengikut polisi kelahiran yang sedia ada. Doktor pakar di hopital besar juga maklum akan keputusan tersebut. Jadi, aku hanya perlu berdoa supaya kandunganku melepasi tempoh 36-37 minggu, dan mereka lahir sebagai bayi matang. Sewaktu kandungan kembar aku berusia 34 minggu, aku mengambil suntikan dexamethasone untuk mematangkan paru-paru si kembar, kalau-kalau aku terpaksa bersalin awal dari tarikh jangkaan. Aku ok, walaupun dexa tu sakit yang aku sendiri tak boleh nak describe macam mana. Tapi aku berjaya mempertahankan kandungan kembar aku sehingga minggu ke-37, walaupun hakikatnya di minggu ke-36 aku menangis dan merayu di hadapan gynae aku untuk dipercepatkan tarikh pembedahan kerana perutku yang terlampau padat. Ya, aku bersalin melalui kaedah c-sect sekali lagi kerana posisi Twin B yang songsang dan menghalang laluan. Aku ok, sebab aku faham tak semua impian kita akan menjadi sepertimana yang kita hendak. Biarpun impian VBAC aku dah musnah, tapi aku positif mengenai semua medical interventions yang aku dapatkan sepanjang ketiga-tiga kehamilanku. Bila difikirkan kembali, mungkin ada hikmah tersembunyi.
Tak. Cerita aku tak habis kat sini. Ada lagi.
Ini cerita kawan aku.
Dah lama aku nak ‘tegur’ kawan aku ni tapi kawan, kan.
Aku harap kalau ada sesiapa yang macam kawan aku ni, ambillah iktibar.
Kawan aku ni Independent Dist. satu produk ni – yang selalu claim the best product for pregnant mothers. Yang cakap ‘calcium pill’ doktor bagi tu tak sehebat so-called calcium pill produk ni. Kawan aku ni pun ada history keguguran dan kelahiran pramatang. Tapi setiap status dia kat FB asyik champion-kan gentle-birth & lotus birth (without intervention) dan selalu buat rumusan (stand) sendiri. Sedangkan hakikatnya, kelima-lima anaknya tiada satu pun yang vaginal birth. Bahasa mudah, semuanya c-sect. Cuma, di setiap cerita kelahiran dia akan spin begitu begini, bukan itu yang dia pilih, semuanya emergency. Setiap kandungan kawan aku ni di-refer di pusat rawatan swasta. Tanpa ada follow-up di hospital kerajaan mahupun klinik kesihatan. Katanya, buang masa. Dari anak pertama hingga ke lima. Lagipun, dia kata mampu pergi swasta. Walaupun berstatus pusat rawatan, tetapi berciri islamik. NICU, incubator semua tu tak ada pun tak apa. Terlalu yakin bahawa semua kandungannya sempurna dan jauh dari komplikasi. Pun begitu, salah satu kandungannya Allah nak duga, ada komplikasi sewaktu kelahiran. Pusat rawatan (bukan hospital) swasta tersebut terpaksa tolak kes. Refused to accept & proceed. Minta kawan aku untuk admit sendiri di hospital kerajaan. Alasan mereka, tak cukup fasiliti dan kemudahan. Logiklah, pusat rawatan bukan hospital. Facility mereka sangat terhad & very limited. Selama mengandung, kawan aku ni tak pernah dapatkan pemeriksaan di hospital atau klinik kerajaan. Bahasa mudah, tak ada Buku Merah. Kemuncaknya, semua hospital berhampiran terpaksa menolak kes kawan aku kerana tiada incubator yang available dan mereka perlu mengutamakan kes yang sedia ada. Paling hampir, hospital di JB ada kekosongan tetapi jarak yang terlalu jauh. Akhirnya terpaksa admit di hospital swasta yang menelan belanja dua-tiga kali ganda dari pusat rawatan tadi. Aku cuba bersangka baik bahawa ini ‘turning point’ untuknya berubah. Tetapi sangkaan aku meleset. Setelah 2 kandungan terpaksa melalui proses c-sect, dia masih dengan stand-pointnya mahu VBAC2 untuk kandungan ketiga & seterusnya. Penuh dalil & artikel yang menyokong kaedah tersebut biarpun diakui sangat berisiko tinggi. Tapi kan aku dah cakap tadi, kelima-lima anaknya semuanya melalui c-sect. Hmm. Dalam status claim breastfeed anak exclusively sampai 2 tahun penuh tips-tips tapi kantoi ambil gambar tengah shopping di Giant dalam troli penuh dengan tin susu formula. Hmm.
Prinsip aku mudah. Aku suka untuk merai perbezaan pendapat terutamanya dalam hal-hal yang menyentuh perbezaan antara kaedah sains dan alternatif. Tetapi perlu ada batasan. You’ve got to draw the line. Jangan sesekali melampaui batasan sehingga statement atau pendirian kita ni disalah tafsir oleh followers yang taksub dengan cara penulisan kita. Kenapa aku bangkitkan soal ini? Sebab salah seorang follower kepada kawan aku ni yang begitu beria-ria untuk mencuba kaedah VBAC telah mengalami komplikasi semasa proses kelahiran. Refused c-sect, nak deliver the baby vaginally, naturally without any interventions. No induce, no epidural, nothing. Yes, she did it – vaginally & naturally but it costs her a lifetime regret. Thick meconium. Bahasa mudah, bayi dah termakan najis sendiri dan lemas. Bayi meninggal tak lama selepas lahir. Dalam kes ni, siapa yang patut dipersalahkan? Memang semuanya takdir, tapi ada benda yang kita mampu lakukan untuk mengelakkannya dari terjadi. If you know what I mean here. Memanglah cara kematian tu hanyalah asbab, tetapi takkan tak ada rasa bersalah atau menyesal bila fikirkan kembali atas sebab kepentingan diri kita sendiri, bayi tak berdosa menjadi mangsa. Aku tak against dengan pro-gentle birth yang tahu batasan mereka. Yang aku against adalah mereka-mereka yang hanya tahu tunjuk kepandaian di media sosial dan selalu menegakkan benang yang basah. Hujah lesu, dalil sendu. Aku paling takut bila mana setiap penulisan kita atau pendirian kita yang dalam diam telah menginspirasikan orang lain, walaupun ianya hanyalah mudarat semata-mata.
Walaupun aku tahu tiada lagi VBAC untuk kandungan aku seterusnya, aku amat berlapang dada. Apalah sangat tidak dapat merasa melahirkan anak secara normal berbanding perasaan wanita-wanita lain yang belum lagi dihuni rahim mereka. Apalah sangat tidak dapat merasa kesakitan sebenar ketika bersalin berbanding kesedihan tidak beroleh peluang merasa tendangan si kecil di dalam sana. Bersyukurlah atas apa yang telah ditentukan kepada kita. Aku amat berharap tulisan ini sampai kepada bakal-bakal ibu di luar sana. Jangan terlalu mengikut melulu tanpa ada cukup ilmu di dada. Jika terasa ada yang tak kena, rujuklah kepada yang betul-betul pakar. Sekiranya mampu untuk memilih hospital swasta, pilihlah yang lengkap fasilitinya. Jika tidak, hospital kerajaan kita adalah sebaiknya. Kalau tak ada rezeki untuk bersalin normal, jangan kecewa. It won’t make us less a mother. Untuk para suami, hargailah isteri kalian ya. Jadikanlah tempoh mengandung itu sebagai pengalaman yang indah buat mereka. Alhamdulillah suami aku masih menghargai aku seadanya. Dia pun sebenarnya tak faham kenapa isu bersalin normal vs c-sect ni perlu jadi isu yang besar untuk diperdebatkan. Aku sentiasa pegang kata-kata suami aku: “Tak penting sebenarnya macam mana awak bersalinkan anak kita ni. Yang patut kita risau, macam mana kita nak bawa dia mengharungi pancaroba dunia ni.”
Tamat.
– Mommy Monster
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit