Assalamualaikum w.b.t and harap admin approve confession ni supaya sama-sama ambik pengajaran.
Aku tulis confession ni sebab nak share kisah aku yang maybe dapat beri manfaat kat orang lain yang baca ni.
Ini kisah aku dan Al-Quran.
Aku dulu masa kecik hidup susah dengan ramai adik beradik. Mak abah aku tegas dan penyayang. Kami memang dididik dengan solat dan mengaji sejak kecik lagi. Terutama mak aku, dia selalu marah aku dan adik beradik lain kalau tinggal solat. Setiap kali waktu maghrib, lepas solat, kitorang dah taw dh mesti kena mengaji muqaddam. So, kami adik beradik ni tunggu la giliran untuk mengaji. Bila kenang balik zaman kecik-kecik dlu, memang best.
Then, sampai la ade waktu tu, kitorang dah makin jarang mengaji. Hari demi hari, aktiviti kerohanian tu pon makin kurang. Kitorang leka dengan hiburan tv dan macam2 lagi distractions. So, mengaji pon dah tak selalu. Bila abah tegur suruh mengaji, aku buat-buat tak dengar, ade yang terus masuk bilik, buat-buat mengantuk dan macam-macam alasan lagi kitorang bagi. Masa tu memang dah rasa macam makin malas nak mengaji lagi. Kitorang berenti sampai muqaddam je. Al-Quran langsung tak rasa nak belajar sebab dari dulu masa baca muqaddam, aku bukan jenis eja ayat tapi ikut bacaan mak je. So, memang aku dikatakan tak reti baca Al-Quran masa tu sebab tak reti eja. Yang tahu sekadar surah-surah lazim je.
Untuk kecilkan skop, cukuplah aku cerita tentang diri aku je. Hari demi hari aku makin selalu tinggal solat, mengaji apatah lagi, memang dah stop. Masa tu takde rasa bersalah pon. Kalau kat sekolah plak, bila subjek Pendidikan Islam je mesti aku akan takut kalau ustazah masuk bab Al-Quran sebab selalunya dia akan suruh murid baca potongan ayat quran dalam buku teks. Setakat ni aku tak kena panggil suruh baca lagi la. Tapi yang pelik, subjek tu aku selalu dapat A. Dan lagi satu, aku ni boleh dikatakan pelajar cemerlang waktu zaman sekolah dulu.(Maybe ni istidraj Allah nak bagi kat aku dulu). One thing, aku rasa aku ni kategori manusia yang “berilmu tapi tak mengamalkan ilmu” la kot.
Dari sekolah rendah sampai ke sekolah menengah pon tetap macam tu. Aku solat berlubang2, Quran dah tak sentuh, aurat pon tak tutup sempurna, hanya syarat tudung di kepala. Bab2 agama ambik endah tak endah je. Bukannya mak abah tak tegur, cuma aku sendiri rasa keras hati dan aku pon tak tahu kenapa time tu aku tak rasa nak berubah. Nasib baik waktu sekolah, aku takde handphone. Kalau ade handphone, mesti dah lama aku jadi makin leka dan sosial. Dan sama jugak waktu sekolah rendah, aku seorang pelajar cemerlang dari form 1 sampai form 5. Aku dilabel sebagai budak pandai kat sekolah. Cikgu-cikgu semua suka aku. Tapi kalau diorang tahu disebalik sikap luaran yang aku pamerkan ade sikap dalaman yang membusuk, mesti diorang kecewa dengan aku. Aku tipu diri sendiri. Aku baik di mata orang tapi tidak di mata Penciptaku. Tapi kenapa kekesalan tu tak pernah hadir dalam diri aku? Kenapa aku tak terfikir untuk carik hidayah Allah time tu?Betapa iman aku turun naik waktu tu tanpa rasa menyesal pon.
Masa SPM result keluar, aku dapat keputusan cemerlang. Jadi, bermulalah kehidupan aku di universiti.
Di universiti, aku dapat roommate dengan housemates yang baik2. Alhamdulillah. Ade 2 orang housemates yang memang tingkah laku diorang baik dan sopan – bertudung labuh, menutup aurat dengan sempurna, memang ciri-ciri wanita solehah dan layak dibuat bini. haha.First day kenal, kitorang dah boleh ngam. Kalau ade program apa-apa je, kitorang join sama-sama.
Suatu hari, kawan aku tu, (aku bagi nama A) ajak aku join usrah dengan kakak-kakak senior. Aku pon ikut je la. Dalam seminggu tu ade la dalam dua tiga kali buat usrah malam-malam kat gelanggang futsal depan kolej. Mula-mula join sebab nak jaga hati si A tu. Kerana terpaksa, aku relakan. Tapi lama-lama dah terbiasa. Aku rasa seronok pulak dengar usrah dari kakak-kakak senior. Maklumlah, masa zaman sekolah mana ade group2 usrah macam ni sebab sekolah harian biasa. Dan lagi satu, sejak berkawan dengan diorang, aku mula terbiasa tutup aurat dengan sempurna; pakai handsock, pakai stokin, pakai baju muslimah. Alhamdulillah..
Lepas tu, dekat kolej aku, ade la tawaran untuk pemilihan Biro-biro dibawah penyeliaan mahasiswa senior kolej aku. Si A ni ajak aku join. Aku pon join la and end up, aku dapat jawatan dalam Biro X (dirahsiakan). Dia dapat jawatan Biro Dakwah sebab memang dia suka pon bab-bab dakwah dan tarbiyah ni. Kalau ade aktiviti-aktiviti, kitorang join sekali la dengan kakak, abang senior kolej kami.
Suatu hari, ketua kolej kami cadang nak buat program tadarus waktu petang sepanjang bulan puasa. Kehadiran semua adalah wajib. Aku dengar je cadangan tu, tiba-tiba hati aku rasa tak sedap. Dalam hati aku, aku fikir, dah la aku tak reti baca Quran. Malu je kalau aku baca gagap-gagap depan orang. Time tu mula la rasa serba salah, nervous, takut. Aku macam nak tarik diri je. Tapi takut malu pulak. jadi, aku terpaksa carik jalan lain. Mujurlah aku ade bawak Terjemahan Al-Quran dalam tulisan roman dari rumah. Sebelum bulan puasa datang, aku gagahkan diri praktis baca dalam tulisan roman walaupun ada salah sebutan dan tajwid. Aku nak carik guru, tapi malu dengan diri sendiri. Aku usaha jugak baca. Masa tu aku usaha bukan kerana aku ikhlas untuk mempelajari Al-Quran tapi sebab nak menghadapi tadarus nanti. Sampai la waktu tadarus pon aku baca sekat-sekat. Memang aku tahan je malu sepanjang bertadarus dalam bulan puasa tu. Aku harap program tadarus ni cepat-cepat habis.
Ada satu masa tu, lepas habis tadarus, kakak naqibah bagi sikit tazkirah sebelum buka puasa. Dia cakap pasal Al-Quran dan kepentingannya. Dalam setiap kata-katanya terselit hikmah dan pengajaran. Aku tertunduk malu dan memang rasa sentap dengar tazkirah tu. Dan sejak tu, entah kenapa aku tiba-tiba rasa bersalah dan rasa menyesal sebab tak baca Al-Quran dari kecik. Untuk menebus kesalahanku, aku mula usaha baca Quran walaupun dalam tulisan roman sebab tak reti eja bahasa arab. Lepas maghrib je, baca Quran. Aku ade bukak youtube dengar bacaan Quran sebab nak make sure sebutan yang betul. Tapi waktu tu, aku baca quran seolah-olah bukan kerana keikhlasan tetapi atas tuntutan rasa bersalah. Bukan kerana cintakan ayatNya dan bukan juga kerana Allah. Astaghfirullahal’aziim…
Lama-kelamaan aku dah biasa baca dan bacaan roman aku semakin baik. Aku tergerak hati dan tertanya-tanya, sampai bila lagi aku nak baca dalam tulisan roman? Sampai bila lagi aku still tak belajar mengeja dalam bahasa Arab. So, aku bertekad, aku beli pulak Al-Quran kecik rasm uthmani dengan baucer buku. Sejak tu, aku praktis eja banyak kali walaupun tersekat-sekat. Dimulai dari surah Al-Baqarah semula. Sampai la suatu malam tu, roommate aku dah tidur. Aku tergerak hati nak baca Quran malam-malam. Masa aku praktis eja, praktis baca, hati aku tiba-tiba sebak sampai menitik air mata. Macam ada satu panahan cucuk hati aku. Ye, aku menangis tengok Al-Quran. Mungkin Allah nak jentik hati aku atau mungkin Allah lembutkan hati aku dengan ayat-ayatNya yang aku baca tu. Aku sedar, aku dah mula bersungguh-sungguh untuk mempelajari Al-Quran. Aku semakin ikhlas kerana Allah. Aku terus menangis, menangis dengan penuh penyesalan sampai dah tak tahan, tersedu-sedu. Aku letak Al-Quran di dada. Betapa menyesalnya aku sebab tak kenal Al-Quran waktu dulu. Aku peluk erat Quran yang dekat dada aku tu. Pelbagai persoalan menerpa minda – Kenapa aku hanya membaca tanpa menghayati bacaannya? Adakah selama ni aku baca hanya kerana suka-suka?.. Aku menangis sampai tak boleh nak bukak mata. Malam tu pon aku berdoa supaya Allah bagi hidayah kat aku, perbetulkan niatku, dan perbaiki amal ibadahku. Malam tu aku rasa Allah pilih aku untuk mendapatkan hidayahNya. Aku bersyukur sangat.
Hari demi hari, alhamdulillah..bacaan aku semakin lancar kerana istiqamah. Aku rujuk semula hukum-hukum tajwid dan sebutan untuk perbaiki bacaan aku. Di samping itu, waktu bulan Ramadhan yang datang pon, aku dah rela hati join tadarus dekat masjid tanpa ajakan atau paksaan. Aku bawak Al-Quran rasm uthmani dalam tangan dan tiada lagi tulisan roman. Aku sama-sama bertadarus dengan kawan-kawan aku, at the same time, jika ada bacaaan aku yang salah, diorang tegur. Macam tu la cara aku berguru; dengan bertadarus. Berkat usaha dan hidayah yang Allah bagi, alhamdulillah.. Sekarang aku dah boleh baca Al-Quran dengan lancar, dah boleh hafal beberapa surah dalam Al-Quran. Aku bersyukur sebab Allah detikkan hati aku untuk rasai dan menghayati betapa cantiknya ayat-ayat Allah.
Sekarang aku dah pon habis belajar (bukan pelajar IIUM) dan sedang bekerja. Aku masih istiqamah dalam berbuat kebaikan. Aku tak tinggal baca Al-Quran tiap-tiap hari sebab aku tak nak sia-siakan nikmat yang Allah telah bagi pada aku. Tetapi aku jugak takut hatiku berbolak-balik semula. Aku sering berdoa supaya Allah kuatkan aku dan tetapkan iman aku agar sentiasa lurus dijalanNya. Aku juga dalam usaha mengajak adik-beradikku untuk mendekatkan diri dengan Allah dan dapat baca Al-Quran dengan lancar. Doakan aku ye.
Semoga kita semua diberikan iman yang kuat untuk terus istiqamah berbuat kebaikan di jalan yang diredhaiNya..aamiiin~
Kesimpulannya, walau seteruk mana pun kita, usahalah untuk dapatkan hidayah Allah. Hidayah Allah ni datang dari pelbagai cara. Daripada kisah aku yang tak mahu mengaji tu, Allah hantar hidayah melalui teguran mak abah tapi aku buat tak endah dan tak usaha untuk dapatkannya. Allah pon tak berhenti hantar hidayahNya dekat aku melalui kawan-kawan kolej aku, melalui aktiviti kerohanian dan macam-macam lagi sewaktu di kolej dan alhamdulillah aku dapat jugak hidayahNya di usia aku yang makin tua ni. Jadi, bukaklah mata seluas-luasnya, bukaklah hati sebesar-besarnya untuk mencari hidayah Allah yang mungkin berada disekelilng kita..Sesungguhnya Allah Maha Pemberi Hidayah.
Sekian. Terima kasih semua kerana membaca dan berfikiran positif.
– Sekeping Hati
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit