Penghuni Baru

Selamat malam kepada admin yang sudi menyiarkan coretan ini dan juga kepada pembaca IIUM Confession yang setia. Diharapnya semua berada dalam keadaan sihat sejahtera.

Sebelum saya bercerita dengan lebih mendalam, saya ingin pembaca mengetahui serba sedikit tentang latar belakang masa, tempat, tahun dan juga watak-watak yang akan terlibat. Perkara ini terjadi ketika saya sedang melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma (semester 4 – 5), sekitar tahun 2014, kejadian terjadi ketika saya menyewa disebuah hostel di Alor Gajah yang merupakan salah satu tempat percutian yang dikenali ramai. Kini bangunan tersebut sudah pun ‘viral’ dengan kisah-kisah seram dan aneh yang berlaku disekitarnya. Watak watak yang akan terlibat ialah rakan sebilik saya yang menghuni bersama hampir tiga tahun. Akan tetapi saya tidak akan siarkan nama sebenar mereka.

*Kejadian 1*
Umum ketahui bahawa ‘hostel’ ataupun asrama kebiasaannya dihuni dua orang ataupun lebih. Kolej kami memuatkan satu bilik sehingga 8 orang. Namun begitu ahli yang ke-8 seringkali bertukar.

Pada pertengahan semester, salah seorang daripada kami menerima panggilan telefon yang memaklumkan bahawa ada penghuni yang ke-8 yang akan menghuni bersama sama kami.

Sebelah petangnya, penghuni baru mendaftar masuk ke bilik kami. Seperti biasa kami akan menyambut baik dan juga menunjukkan kemudahan kemudahan sedia ada di kawasan kolej kami. Pada mulanya semua kelihatan normal, namun setelah hampir seminggu Ani (bukan nama sebenar) tinggal bersama kami. Beberapa orang daripada ‘housemate’ mula perasan akan tingkah lakunya yang pelik. Seperti, Ani (penghuni baru) seringkali memberikan pandangan yang tajam setiap kali kami sedang bersiap ke kelas ataupun setelah selesai mandi. Tetapi kami tetap berfikiran positif mungkin Ani merasa pelik kerana setiap daripada kami bersungguh mengenakan sedikit solekan untuk ke kelas.

*Kejadian 2*
Kelas kami bermula seawal jam 8 pagi, manakala kelas di sebelah petang bermula pada jam 2. Kebiasaannya selepas selesai makan tengahari kami akan menunaikan solat zohor sebelum ke kelas masing masing. Namun begitu, setiap kali kami menghamparkan tikar
sejadah dan ketika itu Ani pasti sudah bertenggek di atas katilnya sendiri. Sehingga kami selesai beribadah barulah Ani akan menyegerakan diri turun dari katilnya dan terus ke kelas. Begitulah perilakunya setiap kali kami menunaikan solat fardhu.

*Kejadian ke 3*
Disebabkan jadual dan kelas kami yang berbeza waktu, saya dan rakan rakan sebilik jarang berjumpa dibilik pada waktu yang sama. Pada siang hari bilik kami sunyi bagaikan rumah tinggal. Saya masih ingat pada waktu itu sesudah saya mandi, saya ke bilik locker dimana kami menyimpan pakaian. Baru sahaja saya hendak masuk ke bilik tersebut, saya terdengar Ani bercakap cakap tetapi saya musykil dengan siapakah dia bercakap. Lalu saya terus ke dapur dan buat-buat seperti tidak nampak sedangkan saya nampak dengan mata kepala saya sendiri dia seperti berbual-bual dengan lockernya.Terdetik didalam hati saya, mungkin Ani bercakap dengan dirinya sendiri. Namun apabila saya bercerita kepada rakan sebilik yang lain, mereka juga turut nampak perbuatan Ani bercakap seorang diri dengan lockernya.

*Kejadian 4*
Selepas kejadian Ani bercakap seorang diri, kami mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena. Kerana Ani tidak pernah sekali pun meninggalkan lockernya tanpa berkunci walapun ketika dia berada dibilik bersama kami, mungkin dia masih tidak mempercayai rakan bilik sendiri. Selama kami tinggal dibilik itu, tiada seorang pun daripada kami yang mengunci locker pakaian kerana kami tidak menyimpan barangan berharga di dalamnya. Pada pendapat kami, mungkin Ani menyimpan sesuatu yang tidak ingin kami ketahui. Pada petang itu selepas selesai aktiviti kokurikulum, beberapa orang rakan sebilik saya ingin mengetahui apa yang disimpan Ani didalam lockernya. Lalu mereka nekad hendak melihat, Ila dan Nur dengan beraninya cuba membuka locker yang terkunci rapi. Namun selepas beberapa saat mereka terdengar bunyi cakaran daripada dalam almari. Lintang pukang mereka berlari sambil menjerit halus, kerana ketakutan. Kami tidak berani memberitahu Ani tentang perkara itu. Tetapi kami sudah tahu Ani ada menyimpan sesuatu.

*Kejadian 6*
Pada suatu malam, Ani tidur lebih awal daripada kami semua. Saya dan Nur seperti biasa lebih suka tidur di atas lantai di sebelah katil Ani. Tempat tidur Ani di tingkat atas katil ‘double-decker’, tapi kebiasaannya saya akan tertidur dulu sebelum Nur. Seperti biasa Nur akan mendengar alunan muzik mp3-nya sebelum tertidur, malam itu Nur memerhatikan Ani tidur. Rambut Ani yang pendek mula berubah menjadi panjang, lalu Nur cepat-cepat menarik selimutnya dan memaksa dirinya untuk tidur. Pada keesokan harinya, Nur menceritakan tentang kejadian tersebut kepada kami semua.

*Kejadian 7*
Selepas dua minggu Ani tidak pulang, saya mula bermimpi. Ani memberitahu saya di dalam mimpi, bahawa dia ingin berpindah ke tempat lain. Dia juga akan datang semula, dan mengambil barang-barang miliknya. Saya menceritakan hal tersebut kepada beberapa orang rakan sebilik. Selepas beberapa hari, Ilya memberitahu bahawa dia ternampak Ani didalam kereta yang terletak di depan pejabat. Seolah-olah dia telah memberitahu saya di dalam mimpi tersebut. Beberapa jam kemudian, salah seorang daripada kami menerima panggilan telefon daripada pejabat pengurusan asrama yang bertanyakan sama ada kami ada membuli Ani atau tidak. Kerana Ani ingin berhenti belajar, kami agak terkejut dengan situasi tersebut. Kami dipanggil untuk pertanyaan lebih lanjut, 5 orang daripada kami yang tidak mempunyai kelas ketika itu turun dan menerangkan satu per satu perilaku pelik Ani. Seperti tidak percaya bahawa ibu Ani sendiri pelik dengan perangai dan tingkah laku Ani yang bercakap seorang diri dirumah. Mungkin Ani disampuk ketika berseorang di kelas.

Selepas Ani pindah kami berasa sedikit lega kerana tiada lagi kejadian aneh yang berlaku di dalam rumah. Kami percaya mereka juga menumpang di dunia kita. Jangan sekali sekali bercakap besar ketika kita ditempat baru. Kita mungkin tidak tahu, perkara lain yang menanti.

– -Nas-

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit