Assalamualaikum kepada pembaca. Terima kasih admin sebab sudi post confession. Niat saya membuat luahan di sini hanya untuk berkongsi dan mendapat pandangan daripada semua khususnya pembaca. Bismillah. Saya mulakan dengan sedikit pengenalan diri. Saya masih bergelar pelajar tahun akhir dan merupakan satu satunya anak perempuan dalam keluarga.
Untuk pengetahuan, saya bukan seseorang yang begitu taksub dengan alam ghaib. Supernatural things bak kata orang putih. Tak malu untuk saya katakan bahawa saya sendiri tak berani untuk tengok filem seram Melayu. Even filem seram yang berunsur komedi seperti Hantu Boceng lakonan Zizan pun saya tak berani! Senang cakap, saya tak pernah berminat untuk tonton filem seram tidak kisah lah filem itu box office ke filem terbaik ke. Kalau baca atau dengar cerita superstitious macam saka cari waris, orang kena buat atau boleh nampak hantu, lagi lah saya bosan. Bukan nya saya tak percaya, tapi kalau manusia dengan pangkat biasa biasa dan rupa yang sederhana. wajarkah untuk dibenci? Mentaliti di sihir oleh orang lain kerana tidak puas hati perlu dijauhi. Saya fikir, ada baiknya untuk kita muhasabah daripada terus menyalahkan orang lain. Unless memang ujian Allah, hati perlu kuat. Saya percaya sihir. Tetapi kalau perut buncit terus menyalahkan busung dan tidak mahu berjumpa doktor, agak susah juga.
Lima tahun bersekolah di asrama penuh, agak bosan jugak lah asyik dengar cerita anugerah hijab terbuka ni. Bukan apa, takkan Yang Maha Kuasa begitu mudah memberi anugerah yang bukan senang untuk di tanggung oleh manusia biasa seperti kita. Bukan niat saya untuk menidakkan kebolehan orang lain, cuma lebih baik untuk kita tidak meminta kalau tidak mampu menanggung akibatnya. Saya fikir, penampakan entiti makhluk lain oleh kawan kawan di asrama waktu itu bukan lah boleh di cop sebagai anugerah, tapi mungkin kerana niat mereka untuk mengusik dan menguji iman kita. Wallahualam. Untuk para pembaca yang sudah mula merasakan saya seperti berlagak atau ego, maaf ya. Memang saya kalau boleh semahunya tidak mahu mentaliti kita terlekat dengan perkara ini.
Baiklah. Untuk pengetahuan, memang nenek moyang saya ada mengamal ilmu. Ilmu yang tidak wajar diamalkan. Harapan saya, moga dosa-dosa arwah diampunkan. Namun saya sedikit pun tidak ambil pusing. Ada ahli keluarga saya terutamanya saudara perempuan yang gemar menyalahkan arwah nenek apabila anaknya sakit – sakit. Kononnya, akibat saka. Jujur, bila saya melihat anaknya, dia cuma mengalami stress. Bayangkan, gadis berumur 20 tahun nekad untuk bersembunyi dalam almari? Terkejut saya! Syukurlah dia sudah berkahwin dan kini lebih gembira daripada sebelumnya.
Sebenarnya, saya lebih gemar mengamalkan sikap tidak ambil pusing. Saya tidak mahu membesar – besarkan perkara yang saya fikir masih mampu untuk saya tangani. Pertama kali saya melihat makhluk halus ketika usia saya masih kecil. Saya masih ingat, saya nampak ada dua orang kenit berwarna hijau berjalan di dalam bilik saya. Saya hanya mampu diam.
Kemudian, tidak lama selepas arwah nenek saya meninggal, arwah datang dalam mimpi saya. Ketika itu saya baru tadika. Berpakaian serba putih. Sungguh manis senyumannya. Wajah arwah nenek begitu berseri. Arwah datang mengambil saya dan bawa saya berjalan – jalan ke satu tempat. Sangat cantik dan mendamaikan. Kemudian arwah bertanya: ‘Mahu ikut nenek?’ Dan saya menangis kerana tidak sampai hati meninggalkan ibu dan ayah. Arwah cuma tersenyum dan menghantar saya pulang. Sedar – sedar, saya menangis. Pipi saya basah. Mimpi seakan betul – betul terjadi.
Selepas itu, saya ada bermimpikan arwah lagi. Namun arwah cuma membawa saya berjalan – jalan di tempat yang sama dan tidak bersuara langsung. Saya fikir saya terlalu rindukan arwah kerana kami sangat rapat. Alfatihah untuk arwah nenek.
Dan itu cuma sebahagian pengalaman ketika saya masih kecil. Kalau ada ahli keluarga atau orang terdekat yang meninggal, nescaya malam selepas pengebumian mereka, saya akan bermimpikan mereka. Pernah saya bermimpi menyuapkan makanan kepada arwah babysitter adik saya yang lengkap berkain kapan, sehari selepas arwah meninggal dunia. Wallahualam. Untuk pembaca, jujur niat saya bukan untuk menakutkan anda semua. Saya cuma mahu berkongsi dan meminta pandangan.
Pernah juga makhluk Tuhan ini muncul di depan mata. Terutamanya ketika saya sakit. Saya fikir cuma satu. Saya sedang lemah. Cuma zikir di dalam hati saja yang saya mampu apabila menghadapi situasi sedemikian. Jujur, bila berhadapan dengan mereka, lidah jadi kelu, badan rasa kaku. Cuma kuat atau tidak sahaja untuk melawan mereka, penghasut anak Adam.
Dan klimaksnya bermula baru – baru ini. Kali ini saya tidak mampu lagi untuk berpura – pura tidak ambil serius. Saya bermimpi tentang kes bunuh. Kes bunuh yang terjadi pada awal tahun. Kes tersebut tidak mahulah saya menyebutnya secara terperinci. Cukuplah saya memberi hint bahawa mangsa adalah pelajar ipt. Dan apabila saya bangun, saya terus Google nama yang saya dengar disebut dalam mimpi. Dan, nah! Kes tersebut memang wujud. Mengucap saya!
Mimpi tersebut bukanlah semata – mata menunjukkan arwah dibunuh. Mimpi yang saya fikir amat tragik. Saya melihat arwah memakai jubah graduasi. Saya rasa mungkin arwah tidak sempat convo. Saya nampak arwah memeluk ahli keluarga yang tidak henti – henti menangis. Saya dengar arwah memujuk ibu dan ayah: ‘Maafkan Abu (bukan nama sebenar) sebab tak dapat bekerja untuk balas jasa mak dan ayah. Kemudia arwah senyum pada saya dan terus hilang. Jujur, saya tidak pernah kenal arwah dan kes bunuh tersebut sudah berbulan lamanya.
Memang lately ni saya kerap bermimpi yang bukan-bukan. Mimpi yang pelik-pelik. Mimpi pontianak bertinggung di atas bahu saya dan mengilai apabila saya gagap membaca surah yasin pun ada. Geram jugak lah apabila dia seperti mengejek saya. Walau dalam mimpi, saya tetap terkumat – kamit membaca surah yasin hingga ayat ke sepuluh. Hingga makhluk itu ghaib. Yang anehnya, saya tidak berasa takut. Saya bangun seperti biasa dan orang pertama yang akan saya hubungi adalah ibu. Wallahualam.
Yang akan saya ingat sampai bila – bila semestinya peristiwa yang masih baru terjadi. Saya baru sahaja mahu melelapkan mata, kepala terus rasa sakit dan suara – suara garau yang entah dari mana terus menyerbu ke telinga. Mereka seakan – akan marahkan saya. Kemudian saya lihat sayup – sayup satu keluarga yang rentung berdiri di hadapan rumah yang terbakar. Saya nampak juga kelibat yang tidak berkepala dan satu makhluk yang mengengsot. Kelihatan sebuah hospital yang turut terbakar dan seketul najis di atas lantai. Astaghfirullah. Saya tidak pasti sama ada itu mimpi atau bukan. Saya tidak mampu menggerakkan tubuh. Lidah saya terkumat – kamit menyebut nama Allah dan membaca ayat Kursi. Allahuakbar.
Ibu menasihati saya untuk tidak meninggalkan Quran dan membaca Ruqyah, saya akur kerana saya akui, saya sedikit khilaf dalam menjaga hubungan dengan kitab suci. Ibu risau sebab saya semakin panas hati. Dan kerap bermimpi pelik – pelik. Lagi – lagi apabila saya bermimpi menyeberangi air lumpur dan berjumpa seorang perempuan tua sebelum memarahi nya: ‘Kenapa nenek hidup sekarang?’ Wallahualam.
Saya manusia biasa. Yang mengenali saya pasti tahu perangai sebenar saya macam mana. Otak gila – gila. Saya tidak tahu sama ada ini ujian Allah atau saya sebenarnya sixth sense. Yang pasti, saya mahu muhasabah diri. Saya mahu berubah menjadi lebih baik. Saya bukan lah kuat. Filem The Conjuring pun saya tak mampu tengok. Haha! Untuk para pembaca, maaf ya kalau cerita saya menakutkan anda. Saya sendiri masih pelik dengan diri sendiri yang selalu mengalami perkara yang tidak pernah saya inginkan. Kalau admin sudi post confession ini, terima kasih ya. Yang baik datangnya dari Allah dan yang buruknya datang dari saya sendiri. Wallahualam. Moga kita semua dirahmati Yang Maha Pengasih.
– Bunga
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit