Assalamualaikum Admin.
Terima kasih kerana sudi memaparkan kisah saya.
Pada ketika saya menulis confession ini, saya berada di kampung husband untuk meraikan Hari Raya yg ke-4 kami. Kami telah berkahwin selama 4 tahun dan kini mempunyai seorang cahaya mata berusia 2 tahun. Nur Ain Zulaikha (cahaya mata cantik). Itulah nama puteri kami.
Kisah kami bermula setelah berkenalan di laman myspace (hujung tahun 2007). Tak tahulah wujud lagi ke tak myspace tu. Kami berkawan di alam maya kurang dari setahun, lalu kami berdua mengambil keputusan berjumpa. Selalu jugaklah berjumpa, lepak dengan kwn2. Dan akhirnya dia berkenan tuk berkenalan dengan saya dengan lebih serius. Dalam hubungan yang terjalin selama 4 tahun, banyak yang telah kami tempuhi. Pahit manis sebagai pasangan kekasih. Lumrah alam. Sedangkan pasangan yang sudah berkahwin pun selalu bergaduh berselisih faham. Inikan pula kami yang masih di dalam perhubungan yang belum di sahkan halal.
Namun bagi saya, terlalu banyak kisah pahit berbanding yang manis selama menjalinkan hubungan cinta kami. Panas baran, cemburu buta, kecurangan dia, semua ditunjukkan pada saya. Itulah petunjuk yang Allah tunjukkan pada saya, namun kerana perasaan sayang dan cinta, saya rela meneruskan hubungan ini.
Setelah 4 tahun menjalinkan cinta, kami mengambil keputusan untuk mengikat tali pertunangan. Iaitu pada tahun 2012. Sepanjang setahun di dalam ikatan pertunangan, tiada apanyang berubah. Sama sahaja seperti zaman kami bercinta. Panas baran, camburu buta, kecurangan. Masih lagi sama. Allah masih sayangkan saya, maka semua itu ditunjukkan agar saya lebih terbuka mata. Namun, saya masih berdegil meneruskan perhubungan kami. Sehinggalah dia melamar saya untuk menjadikan saya sebagai suri hati dia. So, biasalah… Hati perempuan mana yang tidak berbunga2 apabila pasangan melamar untuk dijadikan isteri.
Maka, bermulalah kisah perkongsian hidup saya bersama lelaki yang kini bergelar suami setelah kami disatukan pada September 2013. Saya berharap wanita/isteri/ibu di luar sana mengambil sedikit iktibar dari kisah kehidupan saya yang ingin saya kongsikan di sini.
Suami bekerja di dalam sektor awam, manakala saya juga wanita dan isteri yang mempunyai kerjaya sendiri. Tidak pernah meminta ehsan suami. Malah kami berkongsi segalanya bersama. Membahagikan perbelanjaan bulanan mengikut kemampuan kami suami isteri. Dia bayar kereta, rumah, bil api dan air. Saya pula mengeluarkan perbelanjaan seperti barang dapur, bil unifi, malah saya juga ada membantu memberi sedikit perbelanjaan kepada orang tua saya. Malah saya bukanlah isteri yang berkira terhadap suami.
Bermacam2 pahit manis yang dilalui sepanjang perhubungan kami. Sebelum bergelar suami isteri, suami telah berjanji untuk tidak mengulangi perbuatan dia sebelum berkahwin. Dia juga mengatakan mahu berubah menjadi seorang suami yang baik, penyayang dan dapat dibanggakan. Namun, itu semua hanyalah suatu perjanjian di atas angin. Hanya kerana mahu mengahwini saya dan janji itulah yang digunakan untuk mendapatkan saya secara sah.
Hari berganti hari, bulan berganti bulan. Perangai masih sama namun lebih menyedihkan hati, dia berani menaikkan tangan dan kaki. Malah maki caci sudah menjadi darah daging. Bila bergaduh, pelbagai kata caci maki yang saya harus telan. Sepak terajang seolah2 satu kemestian. Namun, 1 benda yang buat saya sentiasa terbantut untuk meneruskan penceraian, setiap kali selepas kami bergaduh, dia akan pujuk saya, meminta ampun dan maaf malah sanggup menangis melutut di hadapan saya supaya saya memaafkan perbuatannya. Itu juga adalah 1 kelemahan buat diri saya. Acap kali pergaduhan berlaku, maaf, ampun, menangis melutut tetap saya terima. Kerana cinta dan sayang pada dirinya.
Setelah 2 tahun berkahwin, pada Oktober 2014 saya disahkan hamil. Anak pertama kami. Setelah dia mengetahui tentang kehamilan saya, saya perasan ada sedikit perubahan didalam dirinya. Pertuturan semakin lembut, tidak kasar, tidak mudah melenting dan tidak pernah lagi terkantoi mmpunyai wanita lain.
Namun saya sangkakan panas hingga ke petang, ribut tetap melanda di tengah hari. Ketika kandungan saya berusia 3 bulan, dia kembali balik kepada perangai lamanya. Silap sedikit, segala maki cacian saya harus terima malah penampar, sepak terajang bermula kembali. Tidakkah dia terfikir bahawa adanya 1 lagi nyawa di dalam perut saya. Nyawa yang datang dari benih dia sendiri. Setiap minggu ada sahaja pertelingkahan yang terjadi. Seperti yang biasa terjadi, ampun, maaf, menangis melutut tetap menjadi pilihan dia untuk mengambil hati saya semula. Keadaan ini tetap tiada perubahan.
Even ketika kandungan saya sarat masih lagi sama. Saya masih terima segala habuan makian cacian sepak terajang smua. Bukan setakat itu, malah mempunyai perempuan lain di belakang saya. Apabila ditanya, mudah sungguh alasannya. Saya tidak dapat memenuhi kehendak nafsu dia kerana saya sedang hamil. Saya kurang memberi layanan istimewa sepanjang kehamilan saya. Maka dengan mudah dia mencari perempuan lain untuk dijadikan peneman sementara saya sedang sarat, masih bekerja, rumah tingkat 4 naik turun tangga, tak habis di situ dekat ofis saya berulang alik menaiki tangga ke tingkat 3 setiap hari. Balik saya kepenatan, namun masih meneruskan kerja rumah seperti biasa. Namun tidak terkecuali kadang kala saya terlalu penat, saya tak dapat nak buat segala kerja rumah dan memasak. Besar sangat ke dosa saya terhadap dia?
Dia tidak pernah menjadi seorang suami yang soleh, malah solat tifak pernah dijaga dengan baik. Puasa memang tidak pernah ditinggal (setahu saya sepanjang perhubungan). Namus solat hanyalah ketika dia berada di dalam kesusahan. Diajak untuk berjemaah, sekali pun tak pernah. Subuh? Setahun 5x je kot. Saya x mampu untuk.menegur, kerana ada sahaja alasan yang diberi dan ia akan memjadi isu yang besar sehingga akan berlaku pertelingkahan. Kadang kala terfikir sendiri, kerana sikap sambil lewa dia terhadap tanggungjawab kepada Yang Maha Esa jugalah yang membuatkan perkahwinan kami senantiasa berada di dalam keadaan kucar kacir. Mengharapkan suami untuk membimbing isteri pada saat dan ketika ini, adalah sangat sukar ditemui.
Sehinggalah Ramadhan 2015, ketika sahur puasa ke-4. Bersamaan tarikh 21.06.2015. Saya bangun untuk bersahur bersama, saya masuk ke bilik air, tiba2 air ketuban pecah. Saya menjerit kerana memikirkan sudah sampai masa saya untuk melahirkan anak kami. Lalu saya dibawa ke hospital. Tetapi pembukaan saya masih di bwah 4cm maka saya hanya berada di atas wheelchair sehingga pembukaan terbuka pada jam 2 petang. Dan pada jam 2.38 petang lahirlah puteri yang pertama kami. Ya, Nur Ain Zulaikha nama diberi. Cahaya Mata Cantik. Syukur tidak terhingga. X putus2 saya mengucapkan terima kasih ke hadrat Ilahi kerana memudahkan saya sepanjang kelahiran cahaya mata kami.
Maka bermulalah kehidupan kami sebagai ibu dan ayah. Suami menampakkan sedikit perubahan, perubahan yang baik. Lebih bertanggungjawab, tiada kata cacian makian, tidak nampak apa2 yang memusykilkan seperti kecurangan yang dilakukan sebelum ini. Lebih alert pada semua perkara. Ya, memang sangkaan panas hingga ke petang… Lagi… Dia berubah sekelip mata, tanpa ada ribut dan angin, perangai lamanya kembali. Bergaduh penampar penumbuk semua saya hadapi bersama dengan anak kecil kami. Bayangkan anak kami yang masih tidak mengerti apa2. Saya dipukul disepak di hadapan anak kami, baby… Apa sahaja lah yang mereka tahu, selain dari menangis mengamuk. Walaupun mereka kecil dan tidak memahami apa yang berlaku, namun mereka adalah manusia yang mempunyai nyawa. Anak acap kali menangis apabila melihat saya bergaduh menjerit dipukul dan disepak terajang. Betapa terseksanya kehidupan saya ketika itu. Saya simpan segala2nya, tidak terlintas untuk saya memberitahu ibu tentang apa yang saya lalui. Saya tidak mahu mereka risau tentang saya. Pernah juga saya keluar dari rumah balik ke rumah ibu bapa saya selepas melihat pergaduhan kami tiada penghujung. Ya, saya bersalah keluar tanpa izin suami. Dia boleh memutuskan bahawa saya nusyuz terhadapnya kerana telah keluar dari rumah tanpa izin darinya. Tetapi sampai bila saya harus bertahan dan bersabar dengan pelbagai seksaan yang diberi olehnya? Kadangkala hati berbisik jahat, alangkah bahagianya hidup saya jika ditakdirkan dia mati accident. Allahu… Betapa jahatnya detik hati saya ketika itu.
Sehingga ke hari ini, tidak ada juga perubahan besar yang berlaku. Cacian dan makian masih menjadi makanan harian dia. Dan saya masih di sini. Masih memberi peluang terhadap dirinya. Malah puteri kami juga sudah berusia 2 tahun pada 21.06.17 hari itu. 2 hari lepas. Dan kami masih sentiasa ada pertelingkahan. Isu yang sekecil zarah jika dibangkitkan akan menjadi besar. Sebesar alam semester seolah dunia mahu kiamat. Tetap tiada kesedaran dr dirinya. Tidak pernah fikir akan kejadian yang mungkin boleh berlaku pada puteri kami sekiranya dia mmbesar dan berkahwin kelak. Astaghafirullah. Nauzubillah. Mintak dijauhkan dari keturunan kami.
Kepada wanita/isteri/ibu di luar sana, tolong jangan jadi seperti saya. Masih utuh mengharapkan keajaiban berlaku terhadap suami. Tinggalkanlah suami yang berperlakuan seperti ini. Masih ada sinar harapan bg diri anda di luar sana. Masih ada kebahagiaan yang sedang menanti diri anda. Jangan kerana sayang dan cinta kepada mereka, anda sanggup memusnahkan kehidupan dan kebahagiaan diri anda dan anak2. Sperti yang sedang saya lakukan ini. Saya masih lagi mengharapkan agar suami saya akan berubah. Doakan kebahagiaan saya. Semoga Allah mengampunkan kesalahan dan dosa saya juga kesalahan dan dosa suami saya.
– Mizsmaya
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit