Pilih Kawan

Pertama-tama sekali terima kasih kepada admin yang siarkan confession ni. Just a random sharing sebab terdetik di hati nak point out benda yang kadang-kadang kita terlepas pandang.

Kalau nak jadi baik…Kenalah bersahabat dengan orang yang soleh.
Bukan orang yang soleh penampilan (pakai tudung labuh tapi mulut kuat mengumpat, nampak alim tapi bercinta sebelum nikah macam nak rak), dan bukan juga orang yang “tak nampak macam soleh pun (tak tutup aurat, tak jaga batas pergaulan antara lelaki dan perempuan) tapi baik hatinya”. Soleh di sini adalah mereka yang taat kepada Allah, jaga akhlaknya, penampilannya, yang mantap dan sahih ilmu agamanya, dan kuat jati diri sebagai seorang Mukmin yang soleh. Boleh bezakan ya tiga jenis golongan ini.

Kalau masuk usrah, atau baca bahan-bahan agama, memang inilah yang selalu disebut-sebut apabila timbul persoalan macam “mana nak berubah jadi baik”. Aku tahu perkara ini, tapi bila selalu sangat kita dengar, kadang-kadang kita terlupa dan tak ambil pusing. Sampailah satu masa aku sedar bahawa saranan ini sangat perlu untuk kita pegang dalam hidup.

Kesedaran aku timbul bila aku rasa aku nak sangat jadi baik. Iya lah, aku dah lama masuk usrah, tapi perangai aku, ibadah aku macam orang biasa-biasa saja. Sampaikan hati aku sendiri pun aku rasa kotor sangat gara-gara ditimpa penyakit hati (boleh cari la apa benda penyakit hati ni). Ada masa aku rasa aku bersemangat macam nak turun jihad fisabilillah, ada pula time aku futur (leka, malas, lalai) tak habis-habis. Lepas diteliti balik kenapa jadi macam ni, barulah aku sedar, environment dan kawan-kawan sangat memainkan peranan penting dalam usaha kita untuk mengikis jahiliyah dalam diri. Terutama sekali kalau kita ni jenis yang mudah terikut dengan orang.

Contohnya, dulu aku seorang yang sangat pemalu dengan lelaki. So bila dapat bergaul dengan mereka, aku rasa seronok dan rasa diterima. Bila aku tahu tentang ikhtilat, aku cuba untuk kawal pergaulan aku. Tapi bila aku dengan rakan-rakan yang tidak kisah soal ikhtilat, aku pun secara tak langsung terjebak. Kadang-kadang aku tak mampu nak halang bila budak-budak lelaki diajak join sekali ketika kami buat gathering kecil. Dan bila berada dalam kumpulan macam tu, apa lagi…sembang lagha, hiburan, semuanya terhidang. Dan aku pun terkial-kial nak balik cepat sebab tak selesa. Mungkin silap aku kerana aku tak menegur, tapi nak tegaskan di sini tentang betapa pentingnya untuk kita mencari sahabat yang mampu membawa kita jauh dari perbuatan yang tidak mendatangkan redha Allah.

Contoh yang lain pula, kadang-kadang hati kita ni kotor. Negatif. Mana taknya, asyik buka instagram lepas tu tengok benda-benda lagha. Tengok orang senang kita jeles. Tengok orang susah kita bersangka buruk pula. Jadi, bila aku dekati beberapa orang sahabat yang mana ucapannya positif, mindanya terbuka, kurang judge orang, dan selalu bagi nasihat, maka aku terambil iktibar dan aku pun secara tak langsung belajar untuk jadi macam mereka. Dan banyak lagi lah contoh-contoh yang berkaitan.

Conclusionnya di sini, bersahabatlah dengan orang-orang soleh dan berilmu. Kita kalau nak cuci baju yang kena lumpur, tapi cuci pakai air lumpur, agaknya hilang tak lumpur kat baju tu? Logiknya tak lah…. Tapi kalau guna Dynamo dan air bersih, sekelip mata saja kotoran hilang. Macam tu juga kita kalau nak buang sifat jahiliyah dalam diri. Gauli orang-orang yang berilmu yang pelihara akhlak Islami mereka. Kurangkan aktiviti sosial dengan rakan-rakan yang jarang mengingatkan kita kepada Allah. Kerana sahabat yang soleh dan taat akan mengajak kita melakukan perkara yang Allah redha.

Penegasan tentang keutamaan untuk kita bergaul dengan orang-orang soleh bukan tandanya kita hendak mendiskriminasikan mereka yang masih kurang sempurna akhlak Islaminya. Kita juga perlu mendekati mereka kerana kita adalah khalifah Allah yang mana tidak seorang pun akan terlepas daripada tanggungjawab untuk melaksanakan amar makruf nahi mungkar. Jika kita sendiri tidak kuat, maka terjadilah seperti kes aku tadi. Untuk kuatkan iman kita, maka perlu kita kikis jahiliyah yang menebal dalam diri kita dengan mendekati sambil belajar dari sahabat-sahabat yang soleh..

“Bersahabat dengan orang yang soleh dan dengan orang yang jahat persis seperti berkawan dengan pengedar minyak wangi dan tukang besi (yang menghembus bara api). Pengedar minyak wangi sama ada ia memberi anda sebahagian atau anda membeli bau-bauan daripadanya atau sekurang-kurangnya anda mendapat juga baunya. Manakala tukang besi pula samada ia menyebabkan baju anda terbakar atau anda mendapat bau yang hapak.”

(Riwayat Abu Daud)

– AStudent

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit