Assalammualaikum dan selamat sejahtera, terima kasih IIUM Confession kerana memberi peluang pada saya untuk berkongsi cerita di sini.
Syukur kepada Allah, kerana kaki ini masih berdiri di bumiNya dan diteduh di bawah naungan langit Ilahi. Moga nukilan ini memberi inspirasi buat remaja-remaja yang merasakan hidup mereka gelap , seperti tiada sinaran yang membuatkan mereka bahagia seperti insan lain.
Bermulanya kisah ini , semasa aku kecil aku bukan dari keluarga yang berlatar belakangkan keluarga yang bahagia. Dari kecil Allah menguji aku dengan keluarga yang bermasalah, mama dan papa tidak seperti ibu bapa yang lain. Yang beraya setiap tahun sama-sama, 9 years aku hanya beraya dengan mama tanpa seorang ayah. Sebab itu , bila tiba ramadhan aku sangat seronok tapi bila tiba hari raya , bagi aku hanya biasa-biasa. Apa yang insan lain dapat masa mereka kecil-kecil, aku tak dapat. Tapi aku terus survive diri aku masa aku sekolah rendah. Cuba berdikari sendiri kerana mama aku bekerja untuk besarkan aku, besar pengorbanan mama.
Masa sekolah rendah juga , keputusan UPSR teruk , maybe di atas faktor family yang mempengaruhi pertumbuhan dan pembesaran aku. Tapi tak apa , UPSR gagal siapa yang heran?? Aku tak minat belajar.
Bermulanya kisah ini juga masa aku sekolah menengah, hidup aku semakin tertekan kerana masa tu parents everyday gaduh, lari rumah itu perkara biasa, ayah tak balik rumah itu rutin harian. Aku kuat sebab ada mama , tapi masa tu aku tetap rasa kesunyian di rumah. Aku anak tunggal yang kurang kasih sayang keluarga seperti keluarga lain. Aku hanya ada mama, aku syukur. Tipu andai tidak ada rasa cemburu dalam hati melihat family lain bahagia.
Tapi yang membuatkan hidup aku terasa di isi dengan kasih sayang bila hadirnya seorang insan yang bernama Cikgu AS, masa aku form 2 dia baru posting masa aku belajar di Johor dulu. Hadirnya Cikgu AS banyak mengajar aku erti kehidupan , hadirnya dia juga baru aku kenal agama dan apa itu “Halal Haram”. Especially, dia didik aku cara tutup aurat dalam Islam. Aku seorang yang sosial dan sangat nakal. Banyak kali dia terluka dengan sikap aku, dengan adab aku.
Takdir Ilahi, siapa sangka kami menjadi rapat. Macam adik beradik, kalau nak tahu aku bukan pelajar yang rajin , aku budak kelas belakang. Tapi dia yang slow-slow ubah aku jadi manusia. Nama je Penolong Ketua Pengawas, tapi nakal dan ponteng kelas tu tak dapat dipisahkan (Subjek tertentu ke ponteng). Bila ponteng, wajib pergi bilik guru dan bilik kaunseling , antara port wajib setiap hari. Walaupun aku nakal, tapi aku suka tolong cikgu , bila aku tolong mesti aku minta satu benda dari cikgu yang aku tolong tu “Cikgu, tolong doakan saya berjaya ya ” . Ayat ni setiap hari aku minta.
Sudahlah malas belajar , tapi minta doa pula tu. Sebab aku percaya doa mereka mampu jadikan aku seorang manusia yang berguna satu hari nanti. Kembali semula cerita tentang Cikgu AS, kalau kalian nak tahu , Cikgu AS ni inspirasi aku masa kat sekolah , tak nampak dia sehari rasa macam tak lengkap hidup aku, rasa kosong sebab dia antara cikgu yang aku paling sayang. Masa dah nak PMR , Cikgu AS yang bertungkus lumus ajar aku sebab aku kat rumah tak ada siapa-siapa, jadi dia ajak aku stay bermalam rumah dia. Masa tu mama kerja kilang , keluar pagi balik malam. Jadi mama tak kisah aku rapat dengan dia.
Selepas PMR , kegagalan muncul lagi. Keputusan peperiksaan aku teruk. Macam tak percaya , rasa macam tak ada harapan hidup. Walaupun aku dari background keluarga yang bermasalah, aku aktif masa kat sekolah dulu, aku tak pernah bawa masalah rumah bawa masuk sekolah, sebab itu aku boleh jadi Penolong Ketua Pengawas , maybe sebab disiplin aku jaga dan adab dengan guru-guru aku jaga walaupun aku nakal. Selepas PMR juga kes penceraian parents aku selesai, lagi aku rasa down. Selang beberapa tahun , tiba-tiba papa aku muncul setelah bertahun tak muncul , kalian bayangkan masa esok nak SPM Paper Bahasa Melayu , ayah kau tiba-tiba muncul depan rumah kau sebab dia sakit. Masa tu aku cuba kuat , tak tahu nak marah ke , nak bunuh diri ke. Tapi dalam hati tetap ada rasa memberontak, yela anak remaja kan pasti memberontak tu perkara biasa.
Masa kaki melangkah nk pergi SPM, rasa down sangat. Apa aku perlu buat Ya Allah sambil air mata mengalir sampai lah depan pagar sekolah , masuk pagar aku cuba lupakan apa yang dh berlaku, masa jawab paper Bahasa Melayu karangan. Soalan no 5, tajuk “Air yang dicincang tak akan putus” , aku terpandang soalan itu , dan terus tangan ini menulis, aku menceritakan tentang aku dan papa di dalam dewan peperiksaan sambil mengalir air mata buat karangan. Hanya Allah yang tahu betapa tidak kuatnya aku masa itu.
Selepas beberapa bulan kemudian , peperiksaan SPM keluar, tapi kegagalan menyapa lagi , aku gagal lagi. Bagi aku , aku anak yang sangat tak guna. Sebab tak pernah bagi mama tersenyum dengan keputusan aku. Lepas SPM aku sambung belajar di KUIM, masa nak daftar , Mama dan Cikgu AS yang hantar aku , melihat insan lain yang mak ayah mereka hantar terasa sebak tiba-tiba. Tapi aku kuatkan azam untuk buat yang terbaik masa kat kuim, setelah aku lalui 3 kegagalan peperiksaan. Dua orang insan itulah yang aku sayang , kekuatan aku.
Setelah tamatnya pengajian aku selama 3 tahun dalam bidang Diploma , dengan result yang tak seberapa tapi dengan doa mama dan doa cikgu-cikgu dulu yang aku minta tu , Dengan “Takdir Ilahi” Allah beri aku rezeki untuk sambung belajar di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) . Bila masuk UPSI aku masih tak percaya , sebab kisah hidup aku dulu, aku orang susah dan banyak ujian keluarga yang aku kena hadap. Aku terus usaha , aku tak nak lagi hadap kegagalan macam dulu , result first semester kat UPSI aku dapat Degree First Class, mama happy sangat. Walaupun baru first semester, tapi tanpa permulaan yang baik kita tak akan dapat pengakhiran yang baik. Yang penting usaha! Syukur mama happy. Terima Kasih Allah.
Akhir sekali, remaja.. walaupun ujian menyapa diri kalian, tetaplah kuat untuk kau terus melangkah menggapai cita-cita. Orang yang hebat , dulunya mereka diuji. Andai kau diuji , one day kau kan jadi insan yang hebat. Jadi teruslah bersyukur dengan kehidupan. Tidak bermakna kau pernah gagal dulu, kau akan gagal selamanya. Percayalah setiap kegagalan kau, titik permulaan untuk kau berjaya. Aku bersyukur dengan ujian yang dulu Allah beri , kerana tanpa ujian selama bertahun dulu , aku bukanlah siapa aku yang sekarang.
Doakan saya, moga habiskan pengajian di UPSI dengan jayanya. Doakan saya moga cita-cita untuk menjadi seorang motivator tercapai. Selamat Maju Jaya dan Mohonlah kekuatan selalu pada Dia
#Dr. NAA
– Dr. NAA
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit