Salam. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada admin kerana sudi menyiarkan confession saya. Sakit hati saya tak tertanggung.
Saya merupakan lepasan universiti awam. Baru sahaja tamat pengajian pada tahap Master. Berumur lewat 20an. Masih tidak mempunyai pekerjaan tetap buat masa ini.
Baru-baru ini, saya dilamar oleh saudara kepada ibu saya untuk dijadikan isteri anaknya. Ibu saya setuju dan meminta saya untuk menerima lamaran itu.
Yang membuatkan saya serba salah untuk menerima lamaran itu ialah saya masih belum berfikir akan soal perkahwinan kerana saya masih belum mempunyai pekerjaaan yang stabil. Lagipun, saya mempunyai prinsip untuk tidak berkahwin dengan saudara mara.
Fokus utama saya ketika ini ialah untuk mendapatkan pekerjaan. Dan kemungkinan untuk saya menyambung pengajian di peringkat PhD adalah tinggi kerana saya seronok belajar.
Apabila saya menyuarakan hasrat saya kepada ibu, dia menegur saya agar tidak terus menolak lamaran itu, sebaliknya berkenalan terlebih dahulu dengan lelaki tersebut. Dan itulah saya lakukan. Saya bertemu dengan lelaki itu di sebuah restoran.
Ketika menjamu selera, saya menyatakan niat saya kepada kehidupan saya buat masa sekarang. Dia memahami saya dan menasihatkan saya agar memujuk ibu supaya memahami hasrat saya itu. Saya sangat berterima kasih padanya kerana memahami saya. Dan sebenarnya, dia juga seperti saya, diminta oleh ibu bapa untuk berkenalan dengan saya.
Saya sangat terbeban dengan perkara ini, tambahan pula adik beradik cuba membuat saya menerima lamaran itu. Apabila saya memberitahu hasrat saya untuk menolak lamaran itu, mereka mengejek dan menakutkan saya. Kata mereka, saya akan menjadi anak dara tua dan berkahwin dengan duda.
Semua ini membuatkan saya mahu lari dari rumah. Biarlah saya menenangkan fikiran dan membebaskan diri daripada perkahwinan yang dirancang ini.
– Si Kunang-kunang
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit