Bila Jiwa Sakit

Semalam aku dikejutkan dengan satu berita berat yang amat-amat sukar diterima. Ibu saudara kepada suamiku (kami panggil makcik) telah mengambil keputusan untuk minta diceraikan kerana telah bertemu semula dengan teman sekolah melalui ‘reunion’. Makcik bukan muda. Umurnya telah mencecah 55 tahun dan juga telah mempunyai tiga orang cucu. Makcik tekad dengan keputusan dan pendirian untuk minta diceraikan. Rupanya, kisah cinta berputik semula setelah perjumpaan ‘reunion’ mereka. Buah hatinya seorang polis yang juga beristeri. Rumah tangga mula goyah dan dia mula tidak menghiraukan suaminya. Telefon bimbit sentiasa di tangan. Cucu-cucu tidak lagi dihiraukan dan sebaliknya akan dimarahi kerana dianggap menggangu. Maklumlah orang yang dilamun cinta. Tangan, mata dan minda hanya tertumpu pada telefon bimbitnya sahaja. Makcik sakit. Sakit diserang penyakit angau diusia yang telah menginjak senja.

Perbincangan pakcik, makcik dan anak-anak tidak membuahkan hasil yang diharapkan. Usaha pakcik untuk cuba memujuk dan membuka mata makcik, gagal sama sekali. Pakcik cuba mengingatkan makcik tentang penyaki kencing manis yang dihidapi oleh makcik. Adakah lelaki itu mampu menjaga makcik kelak. Makcik dengan selamba menjawab “tak apa… saya memang nak kawin dengan dia. Saya tak kisah”

Makcik telah keluar dari rumahnya meninggalkan pakcik seorang diri. Dia kini menumpang dirumah seorang sahabat. Memandangkan itu adalah pilihan makcik untuk teruskan hasratnya, pakcik mengarahkan makcik keluar dari rumah dengan perabut kegemaran makcik. Kekecewaan pakcik menyebabkan pakcik mengambil keputusan untuk tidak melihat makcik.

Allahuakbar, Kegilaan apa yang aku dengar ini. Tidakkah makcik tahu tentang dosa pahala. Menjalinkan hubungan dengan lelaki lain bermakna curang kepada suami. Tidakkah dia tahu bilamana seorang wanita itu curang dan menduakan suami, dia menempah tiket ke neraka dengan mudah. Pakcik seorang yang baik. Penyabar dan tidak mudah melatah. Pakcik bertindak mengikut fikiran yang waras. Macam-macam yang cuba makcik lakukan untuk menaikkan kemarahan pakcik agar dia dapat ‘dilepaskan’ dengan mudah. Agar mungkin, pakcik hilang kawalan dan menyakitinya dengan tangan. Tetapi pakcik lebih bijak dari itu. Pakcik bertindak seperti lelaki-lelaki matang dan bukan lelaki pengecut yang hanya tahu menggunakan kekerasan terhadap isteri. Makcik pula semakin galak dan semakin berani berkomunikasi dengan lelaki itu secara terang-terangan di hadapan pakcik. Tidakkah makcik takut pada dosa? Bukankah sepatutnya diusia-usia senja sebegini, akhirat menjadi matlamat dan bukan dunia.

Lebih tidak masuk akal, bila aku diberitahu, makcik sanggup menjadi isteri kedua lelaki itu. Mampukah si lelaki memBila nafsu mengatasi akal yang waras. Segalanya menjadi kucar-kacir. Bila ilmu tidak diamal. Hidup seakan tiada arah tujuan. Tidakkah makcik sepatutnya bersyukur kerana dikurniakan seorang suami yang amat penyabar, lemah lembut dan yang penting sekali, amat menyayangi makcik. Bukan pakcik tidak diuji dengan godaan perempuan lain. Bukan tiada yang cuba-cuba memikat pakcik ketika dia masih bekerja. Tetapi semua itu pakcik abaikan dan pakcik tepis kerana kasih sayang terhadap isteri yang satu. Kini setelah pencen, pakcik mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada amal ibadahnya bersama makcik. Tetapi, ini yang makcik hadiahkan buat pakcik.

Pakcik membawa hati yang kecewa ke rumah kakak sulongnya (ibu mertuaku) dan menceritakan segala kesakitan yang sedang di alaminya. Ternyata semua hati menjadi berang dengan berita itu. Memandangkan pakcik sudah bercerita, maka segala pekung terbongkar juga. Mak mertuaku menceritakan tentang sikap makcik terhadap saudara mara. Makcik tidak suka orang datang bertandang ke rumahnya. Makcik tidak mahu melayan tetamu yang datang. Makcik akan tarik muka sekiranya yang bertandang itu berhajat untuk bermalam sehari dua. Ada kalanya makcik mereka-reka cerita dan menyebarkan berita palsu tentang saudara mara. Masak jauh sekali. Alasan kononnya pakcik bukan orang yang gemar makan. Jadinya masak yang mudah-mudah sahaja. Tetapi hakikatnya, pakcik suka makan. Jelas kerana apabila di rumah kakak sulongnya (ibu mertuaku) dia makan banyak.

Bila mereka bertandang kerumah orang, makcik tidak akan sibuk-sibuk ke dapur membantu. Selesai makan, makcik hanya akan letakkan pinggan di dalam sink. Kebiasaanya jika kita kerumah saudara-mara, selesai makan, kita pasti akan bantu tuan rumah untuk sekurang-kurangnya membasuh pinggan mangkuk. Tanda terima kasih kita dilayan dengan baik oleh tuan rumah. Tetapi malangnya makcik tidak ada peradaban seperti itu. Dia berlagak seperti ‘Datin’. Pakaian mesti yang cantik-cantik. Mekap tidak pernah lekang di muka. Makcik bangga dan seronok bila dipuji kelihatan muda dari usia.

Sehingga pagi ini aku masih belum dapat menghadam cerita ini. Kisah orang tua yang perasan muda dan lupa batas agama. Teringat pada lelaki lain walau sedetik pun sudah menjadi dosa, apatah lagi menjalin hubungan cinta. Bertaubatlah makcik. Takut nanti, makcik tidak diberi kesempatan untuk bertaubat dan dicabut nyawa dalam keadaan berdosa besar pada suami kerana pakcik belum lagi menceraikannya. Menyesal kemudian, tiada gunanya.

Kepada yang membaca, ambil ikhtibar. Biarlah kita dikata anti social. Tidak mahu bereunioun asal tidak menjejaskan apa yang kita ada sekarang. Apa guna seronok hanya sehari dua tetapi kelak diakhirat menderita beribu tahun. Tidak salah bertemu rakan lama tapi perlu tahu batas-batas agama dan adab.

#semutkecil

– Semut Kecil

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit