Topeng

Setiap makhluk di atas muka bumi ini pasti akan menghadapi dugaan pada suatu tahap di dalam riwayat hidup mereka. Tidak kiralah sama ada dugaan tersebut adalah dari segi mental mahupun fizikal kerana impaknya tetap sama cuma mungkin berbeza dari segi magnitudnya. Segala masalah yang kita hadapi di dalam hidup ini sudah tentu akan mendatangkan tekanan ke atas diri kita dan tidak dinafikan yang kadang-kala ianya akan mengakibatkan seseorang individu itu tidak dapat berfikir dengan waras sehingga menyebabkan dirinya ditelan dek masalah-masalah tersebut. Kita perlu sedar yang tiada siapa pun yang dilahirkan sedia kuat. Setiap apa yang kita lalui sepanjang hidup ini tidak kiralah sama ada perkara yang negatif mahupun positif inilah yang akan membentuk siapa diri kita ini. Minda kita telah diprogram untuk belajar dari peristiwa-peristiwa ini hinggalah ke suatu tahap di mana kita tidak perlu berfikir panjang kerana refleks kita telah tersedia untuk memberikan respons yang sewajarnya. Kadang-kala apabila kita terbiasa membiarkan refleks kita mengambil alih perbuatan kita, kita lupa akan kepentingan untuk berfikir sebelum membuat sebarang keputusan. Jika seseorang individu melontar bola ke arahmu, sudah pasti kamu akan cuba untuk menyambut atau menyepaknya. Akan tetapi, jika objek yang dilontar itu mempunyai bucu setajam pisau, mampukah kamu dengan sambil lewanya menyambut atau menyepaknya seperti biasa? Begitulah juga dengan masalah yang kamu hadapi hari demi hari. Bukan semua masalah boleh diselesaikan dengan cara yang sama setiap kali. Tatkala masalah memakan diri, topeng dipakai mengabur pandangan, menyedapkan hati.

Dalam budaya jepun terdapat suatu teori konsep yang dipanggil “Kamen” di mana jika ditafsirkan di dalam Bahasa Melayunya bermaksud topeng. Teori ini mengatakan yang setiap individu manusia ada mengenakan topeng yang berlainan mengikut situasi dan setiap topeng tersebut menggambarkan sikap dan tingkah laku individu tersebut pada masa itu. Topeng-topeng ini melambangkan tahap keterbukaan kita terhadap individu yang sedang kita berinteraksi. Ia bertujuan untuk memanipulasikan persepsi seseorang individu itu terhadap diri kita dengan menyembunyikan sifat negatif dan mengeluarkan sifat positif yang ada dalam diri kita. Seperti sewaktu kita bergaul dengan individu yang kita hormati, kita tidak akan mengenakan topeng yang sering kita gunakan sewaktu bersama dengan rakan-rakan kerana ianya bersifat lebih kepada gurauan yang mungkin agak kasar dan tidak sesuai digunakan secara formal. Melihat pada perilaku manusia, setiap individu mempunyai sesuatu perkara yang ingin disembunyikan dari orang lain dan topeng-topeng ini juga merupakan salah satu cara untuk kita menyimpan rahsia-rahsia tersebut. Kita mungkin tidak sedar bahawa topeng-topeng ini merupakan senjata yang paling penting dalam meluaskan rangkaian sosial kita, akan tetapi jika ianya disalahgunakan, tidak mustahil ianya mampu mendatangkan padah kepada penggunanya. Seperti dalam konteks menyelesaikan masalah peribadi, ramai individu yang menggunakan topeng-topeng mereka untuk menyembunyikan masalah yang mereka hadapi dari orang lain sungguh pun mereka tidak mampu untuk menyelesaikan masalah itu sendiri. Hingga ke suatu tahap di mana mereka tidak mampu untuk bertahan lantas memilih jalan yang salah dalam proses menyelesaikan masalah mereka. Mungkin mereka malu untuk menceritakan masalah itu atau mungkin mereka beranggapan yang orang lain tidak akan dapat memahami perasaan mereka lantas mendesak mereka untuk mencipta personaliti-personaliti artifisial untuk mengelakkan emosi mereka dari terzahir. Umpama mengalami perpecahan personaliti, mereka tampak gembira ketika bersama rakan dan keluarga tetapi murung bila berseorangan. Dari luaran mereka tampak ceria tetapi fikiran mereka yang sedang bercelaru itu tiada siapa yang tahu.

Depression atau dalam Bahasa Melayunya, masalah kemurungan merupakan salah satu gangguan mental yang sering kita dengar pada hari ini. Pelbagai masalah yang terpendam menyebabkan berlakunya tekanan emosi yang seterusnya akan mengganggu pemikiran rasional dan secara tidak langsung akan mempengaruhi tingkah laku dan fizikal individu yang mengalami masalah tersebut. Ianya agak sukar untuk difahami kerana penyebab berlakunya tekanan perasaan berbeza untuk setiap individu. Hal ini kerana nilai sesuatu benda atau perkara juga berbeza mengikut individu. Untuk mudah difahami, seorang jutawan yang kehilangan seratus ringgit tidak akan berasa sedih yang melampau seperti mana seorang fakir miskin yang juga kehilangan wang dengan nilai yang sama. Dalam situasi yang lain pula, terdapat individu yang langsung tidak mengambil kisah tentang keputusan peperiksaan mereka tetapi bagi sesetengah individu yang lain pula mereka menganggap yang keputusan peperiksaan mereka amat penting dalam menjadi pengukur nilai diri mereka. Di sini dapat kita simpulkan bahawa walaupun kita tahu punca yang menyebabkan masalah kemurungan mereka, kita tetap tidak akan dapat memahami sepenuhnya magnitud tekanan yang dialami mereka kerana kita tidak dapat menafsir kepentingan elemen yang sedang mempengaruhi minda individu tersebut.

Persepsi masyarakat kita adalah mereka menganggap bahawa masalah kemurungan ini adalah masalah yang kecil dan tidak perlu dirujuk kepada pakar terapi atau doktor. Oleh kerana semuanya berlaku di dalam minda pesakit tersebut dan tidak melibatkan masalah fizikal, secara tidak langsung mereka tidak meminta bantuan doktor sehinggalah masalah ini akhirnya mempengaruhi kesihatan fizikal mereka. Individu-individu yang tidak pernah mengalami masalah kemurungan mungkin tidak dapat membayangkan gangguan mental apa yang mereka rasai setiap hari. Bila seseorang individu mengalami masalah kemurungan, mereka hilang rasa gembira dan mereka sering kali merasakan yang diri mereka tidak berguna. Mereka juga hilang kemampuan untuk fokus dan segala apa aktiviti yang mereka lakukan tidak lagi mendatangkan kepuasan pada diri mereka. Setiap hari mereka mengalami kesedihan yang melampau dan perasaan sedih ini berbeza dengan perasaan sedih yang dialami oleh seseorang individu yang sihat mentalnya kerana kadang-kala ianya berlaku tanpa sebarang sebab. Setiap perasaan yang melanda jiwa manusia memerlukan elemen pencetus. Seperti api yang memerlukan bara untuk dihidupkan, begitu juga emosi manusia. Jika elemen tersebut tidak dapat dikenal pasti, sudah tentu ianya tidak dapat dikawal oleh individu tersebut dan secara tidak langsung akan menambahkan lagi tekanan perasaan yang melanda individu tersebut. Ianya menjadi lebih teruk lagi apabila individu tersebut dibiarkan berseorangan kerana pada masa inilah mindanya lebih cenderung untuk dipengaruhi oleh hasutan kata-kata hati. Monolog dalaman yang mereka rasai juga tidak sama seperti manusia yang normal. Mereka tidak bermonolog tentang cinta hati mereka ataupun apakah menu makanan malam mereka pada hari itu sebaliknya monolog mereka adalah lebih kepada kata-kata kecaman dan kejian yang ditujukan ke atas diri mereka sendiri. Setiap hari mereka dihidangkan dengan kata-kata negatif tanpa sebarang cara untuk menghentikan gangguan tersebut. Manusia jika mulutnya ditutup tidak boleh berkata-kata tetapi hati jika berkata-kata, tiada cara untuk kita menghalangnya. Mahu atau tidak, individu tersebut terpaksa mendengarnya walau perit mana sekalipun kata-kata yang dilontarkan.

Masalah kemurungan ini tidak boleh dibiarkan terbuku di dalam hati. Ianya perlu diluahkan tidak kiralah sama ada kepada ahli keluarga, sahabat handai ataupun pakar. Segala perasaan dan emosi kurang sihat tersebut jika dibiarkan begitu sahaja akan akhirnya menjadi bom masa yang hanya menunggu masa untuk meledak dan membanjiri fikiran pesakit dengan unsur-unsur negatif dan ianya boleh berlaku pada masa yang kita sendiri tidak boleh jangka. Sekiranya ahli keluarga ataupun sahabat handai telah mengetahui keadaan pesakit, mereka perlu cuba untuk memahami dan mengurangkan tekanan yang dialami pesakit dengan memberi sokongan moral kepadanya. Disebabkan oleh keadaan pesakit yang tidak mampu untuk menghasilkan fikiran yang positif terhadap diri mereka sendiri, tugas-tugas ini terserah kepada ahli keluarga dan kawan rapat untuk menghujani mereka dengan kata-kata positif bagi meneutralkan pemikiran negatif pesakit. Jangan lokek dengan kata-kata pujian dan penghargaan kepada mereka dan jangan sesekali membiarkan pesakit keseorangan buat masa yang panjang kerana khuatir mereka ditelan oleh emosi sendiri dan melakukan perkara yang berbahaya ke atas diri mereka.

Setiap kali aku terbaca artikel mengenai individu yang mencabut nyawa mereka sendiri disebabkan oleh masalah kemurungan ini aku turut berasa kecewa dan sedih. Tidak kiralah apa agama yang dianutinya, warna kulitnya, mahupun usianya. Sama seperti penyakit ini yang tidak memilih siapa mangsa-mangsanya. Kecewa kerana mereka tidak menggunakan keberanian mereka membunuh diri itu untuk melawan gangguan mental tersebut dan sedih kerana mereka memilih jalan yang salah dalam menangani masalah tersebut. Kebanyakan kes-kes yang berakhir sebegini adalah kerana pesakit tidak mahu meminta pertolongan orang lain sebaliknya hanya bergantung pada diri sendiri di samping cuba untuk mengalihkan tumpuan mereka dengan dadah dan alkohol. Kesemua elemen ini jika digabungkan bukan sahaja akan mengakibatkan keadaan pesakit bertambah buruk, malah akan mendatangkan masalah-masalah jangka panjang lain yang jauh lebih rumit untuk diselesaikan. Mungkin juga mereka telah mendapatkan pertolongan dan telah cuba sedaya upaya melawan gangguan tersebut tapi apakan daya sampai ke suatu tahap, mereka tidak mampu lagi untuk melawan hasutan negatif bisikan hati mereka lantas bertindak mengambil nyawa mereka sendiri. Kita tidak akan dapat membayangkan betapa dalam dan gelapnya fikiran seseorang individu yang mengalmi masalah kemurungan. Bisikan dan ugutan yang bermain di dalam fikiran seseorang yang tidak stabil mentalnya mampu membuatkan individu tersebut tidak mampu untuk berfikir dengan rasional dan bertindak di luar kawalan. Terdapat beberapa kes di mana individu yang mengalami masalah kemurungan ini telah membunuh dirinya setelah membunuh keluarganya sendiri. Tidak mustahil yang individu tersebut telah ditelan oleh fikiran gelapnya yang mendorongnya untuk melakukan perbuatan ngeri itu. Terdapat pelbagai punca yang menyebabkan seseorang pesakit itu bertindak membunuh dirinya dan salah satunya adalah untuk melindungi orang tersayangnya dari dirinya yang sudah semakin tidak terkawal. Ya, mungkin ada jalan lain yang pastinya lebih baik akan tetapi jika anda berada di tempat pesakit tersebut yang sedang berada dalam keadaan mental yang tidak stabil, mampukah anda untuk membuat keputusan yang rasional? Bagiku, dalam hal ini tiada siapa pun yang berhak untuk menghakimi pesakit tersebut kerana kita tidak tahu apakah yang sedang dilalui olehnya pada waktu itu. Aku tahu yang ianya bukan tugasku untuk menghakimi kerana aku pun masih menanti untuk dihisab kelak. Andai kata dia membunuh dirinya dalam keadaan dirinya yang tidak waras, apa hak kita untuk menghukumnya? Ya, kita boleh membuat spekulasi akan tetapi hanya Tuhan saja yang berhak menentukannya.

Dalam mencari matlamat hidup ini, manusia sanggup melakukan berbagai perkara semata-mata untuk memakbulkan impian mereka. Setiap kejayaan dan pencapaian yang mereka peroleh dijadikan kayu pengukur nilai diri mereka. Mereka terlampau asyik menaik taraf hidup mereka sehingga tidak mengendahkan batasan kekuatan fizikal dan mental mereka sehinggalah ianya mencapai tahap yang kritikal. Cubalah tanya diri anda. Adakah kita hidup semata-mata untuk bekerja? Ataupun hanya untuk memuaskan nafsu serakah yang membuak-buak di dalam hati? Tidak kiralah walau apa pun jawapan yang diberi, ingatlah bila kau tiba di suatu tahap di mana kau rasa yang kau sudah tidak mampu untuk bertahan lagi, jangan teragak-agak untuk berhenti dan berehat seketika. Bila segalanya tidak berjalan mengikut rancangan kau, jangan lupa yang kau sentiasa ada pilihan untuk bermula dari awal. Hidup ini sentiasa ada butang reset cuma kau saja yang terlalu takut untuk menekannya.

-L.S.B-

– Lonely Solder Boy

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit