Mimpi Kawan

Assalamualaikum.

Lama betul berkira-kira untuk berkongsi kisah ini. Bila ada sahabat yang memberi pandangan, agar aku kongsikan untuk diambil iktibar, maka aku coretkan ceritanya di sini.

Dua tahun lepas, aku mendapat khabar seorang kawan sekerja lama meninggal dunia. Selain berkata innalillah hi wainnailaihi rojiuun, tiada kata lain yang keluar. Tiada rasa sedih, tiada rasa terkilan.Tiada rasa apa-apa. Perasaanku kosong. Arwah itu tidak terlalu rapat denganku, sememangnya aku menjarakkan diri darinya kerana sikapnya.

Seminggu selepas khabar itu, aku bermimpi. Mimpi yang agak memberi kesan pada perasaanku. Aku bermimpi arwah muncul dengan wajah sedih. Arwah tidak berkata-kata. Kemudian muncul tiga orang yang kononnya kawan arwah, memohon maaf dariku bagi pihak arwah. Merayu-rayu mereka agar aku memaafkan arwah. Tiada sepatah kata dariku.

Selang malam kemudian, aku bermimpi lagi tentang arwah. Wajahnya begitu sayu. Tiada kata.
Kemudian muncul kawan-kawannya juga nasihatkan aku agar memaafkan arwah. Dalam mimpi itu, aku ketakutan. Seolah-olah roh arwah akan menghantui hidupku. Muncul dengan wajahnya di mana-mana. Dalam pada itu, muncul pula abang arwah memohon maaf bagi pihak adiknya. Merayu-rayu. Ketika itulah aku katakan aku telah memaafkan arwah. Tapi, abangnya memarahi aku pula. Katanya aku tidak ikhlas.
Aku bingung.

MImpi tentang arwah buat perasaanku tidak tenteram. Kenapa arwah mesti hadir dalam mimpi sedangkan aku tidak rapat dan tidak pernah ambil tahu tentangnya kerana hati aku terluka dengan perbuatannya.

Cerita mimpi ini aku kisahkan pada sahabat yang rapat. Aku katakan selama arwah hidup, aku tidak rapat dengannya. Tapi, sampai ke telingaku arwah selalu memburukkan namaku dengan macam-macam cerita. Seolah ada cemburu yang membukit. Aku tidak ambil pusing dengan cerita-cerita itu walau aku sedar ramai yang telah mempunyai salah anggapan padaku. Aku hanya diam dengan segala cerita tidak berasas yang arwah sebarkan kerana aku yakin DIA selalu ada pada pihak yang benar.

“Maafkan dia, kalau boleh sedekahkan yassin padanya” cadang sahabatku.
“Sudahlah memburukkan aku di kala hidup, dah mati masih menyusahkan aku”, getus hatiku.
Aku bukan malaikat, aku juga bukan wali. Kesan sedih perbuatannya masih terasa.

Sahabat aku itu agak alim orangnya. Dia nasihatkan aku maafkan arwah. Maaf itu bukan sekadar kata, tapi kena ikhlas. Mendapat kekuatan untuk ikhlas bukan mudah, terutama bila disakiti.

Tipu jika aku katakan cerita-cerita tentang aku itu tidak memberi kesan padaku. Apatah lagi ramai yang percaya dengan cerita-ceritanya. Sehingga sekarang, mereka masih percaya cerita arwah itu mungkin.

Aku sendiri tidak pasti adakah aku benar-benar ikhlas memaafkan dia. Hingga sekarang, jika teringat apa yang telah dia lakukan, sakit itu akan terasa.

Aku hanya mampu berdoa, Tuhan lembutkan hati aku untuk memaafkan bukan hanya arwah, malah semua yang telah melukakan hatiku. Mungkin aku juga pernah melukakan hati sesiapa.
Mungkin apa yang aku lalui ini adalah cara Tuhan memgajari aku agar menjaga lidah sendiri dan menjaga hati orang lain. Aku harus belajar memaafkan mereka bukan untuk mereka semata, tetapi untuk aku terus tenang dan dirahmati DIA.

Dari Jabir dan Abi Said,Rasulullah S.A.W bersabda:
“Awaslah daripada mengumpat,kerana mengumpat itu lebih keras daripada zina.Sesungguhnya seseorang terkadang ia berzina dan bertaubat. Maka diterima Allah S.W.T akan taubatnya.
Dan sesungguhnya seseorang yang mengumpat,tidak akan diampun dosanya sebelum diampuni oleh orang yang diumpatnya itu.”

– Qemira

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit