I’m A Survivor, Cancer Free

#SyukurSelalu apabila Allah menarik aku untuk kembali ke jalan yang benar sebelum Dia menarik nyawa aku untuk selamanya. Hi, aku alumni Bahasa dari UKM, graduan tahun 2015. Ini kisah aku dan kanser. Selama 2 tahun lamanya aku menyimpan sendiri kisah terfaktab ini.

Oktober 2015 detik hitam aku didiagnosis menghidap kanser limfoma tahap 1. Aku mula mendapat simptom kanser ini ketika MASUM di UTM pada tahun yang sama. Pada masa sama juga aku sedang menjalani praktikal sebelum sepenuhnya bergelar alumni UKM. Dugaan yg sebenar bagi aku pada waktu tersebut bukanlah kanser yang wujud dalam badan aku. Tapi aku diduga untuk melawan kanser tersebut BERSEORANGAN. Pada waktu tersebut grandparent yang menjaga aku sedang menjalani ibadah Haji, parent pula berpisah, adik-beradik masih tidak matang dan aku paling sulung. Sahabat rapat aku pula telah bermastautin ke daerah lain. Serius aku betul-betul keseorangan masa tu. Ulang alik ke hospital seorang diri, menjalani rawatan seorang diri, menghadiri sesi kaunseling seorang diri, admit di hospital seorang diri tanpa ada penjaga dan pelawat. Kedegilan aku untuk mewar-warkan insiden kanser tersebut kepada waris terdekat membuatkan doktor dan staf hospital bertindak untuk menggali maklumat tentang keluarga aku. Ya aku degil masa tu, aku merayu dengan staf hospital supaya perkara ini dirahsiakan daripada keluarga dan teman rapat aku.

Dugaan ketiga aku dalam tempoh tersebut adalah kewangan. Pada tahun yang sama, aku bakal bergraduasi. Banyak duit nak kena guna. Allah itu maha pemurah, sejurus aku tamat praktikal aku dilamar oleh salah seorang pensyarah aku untuk menjadi RA dia. Dalam keadaan badan dihuni oleh kanser, aku cuba berfikiran rasional. Aku perlukan duit untuk rawatan dan konvokesyen. Pada asalnya aku xnak hadirkan diri ke konvokesyen tapi disebabkan aku dah tempah tiket kapal terbang dan hotel awal dan adik adik aku pulak teruja nak menghadiri majlis konvokesyen aku sebab aku dapat 1st Class Degree. Kebetulan simpanan aku juga makin susut. Aku terima lamaran RA tersebut. Oktober 2015 aku mula kutip data untuk penyelidikan di salah sebuah daerah suburban di Sarawak. November 2015 aku konvo bersama-sama rakan seperjuangan di UKM. Oleh kerana aku cuma menghidap kanser limfoma tahap 1 pada masa tersebut, aku masih dapat menyembunyikan simptom-simptom yang aku hidapi dan berlagak sihat.

Setelah 4 bulan keseorangan melawan kanser, aku mula cuba untuk sediakan diri supaya memaklumkan perkara ini kepada salah seorang individu terdekat dengan aku. Namun mulut aku terkunci ketat, jantung berdegup kencang ketika cuba nak sampaikan berita terfaktab tersebut. Sejak dari bangku sekolah lagi aku jenis memendam masalah dan aku tak nak bebankan orang lain dengan masalah aku walaupun dengan hanya meluah. Jadi aku batalkan niat untuk berkongsi kisah kanser aku dengan keluarga dan teman aku dan sejak dari itu aku tetapkan prinsip ‘TELL NO ONE’.

Februari 2016, aku sambung kontrak sebagai RA dan sekaligus ambik Master di UKM. Walaupun belum sepenuhnya sihat dan masih memerlukan rawatan di Kuching, namun aku teruskan juga perancangan untuk menjadi RA di UKM sebab aku perlukan duit dan itu sahaja peluang pekerjaan yang terbuka untuk aku pada masa tersebut. Sepanjang Semester 1 dan 2 master aku di UKM aku kerap ulang alik Bangi – Kuching untuk menjalani rawatan. Alhamdulillah setelah 10 bulan menjalani rawatan aku disahkan bebas kanser. Itulah nikmat hidup dan peluang kedua yang paling manis yang Allah bagi kepada aku. Namun aku masih memerlukan pemeriksaan susulan setiap 4 bulan dan bergantung dengan ubat yang dibekalkan oleh pihak hospital.

Sebulan selepas menerima berita gembira tersebut aku ditimpa kemurungan (depression/anxiety). Insomnia selama 2 minggu. Bayangkan dalam tempoh dua minggu aku cuma dapat tidur kurang daripada 10 jam. Bukan itu sahaja, aku juga sering membayangkan supaya diri aku ditimpa musibah dan kemalangan sehingga menyebabkan kematian dalam erti kata lain aku ingin MATI tapi bukan dengan cara bunuh diri. Setelah beberapa bulan kemurungan aku berikhtiar untuk jumpa pakar psikatri. Dalam tempoh kemurungan ini juga aku betul-betul keseorangan. Aku sangka aku kuat, dan aku cuba untuk kuat walaupun aku tahu aku betul-betul memerlukan bahu dan telinga seseorang untuk aku luahkan semua masalah yang terpendam. Kemurungan itu masih berlarutan hingga sekarang. Jujur aku sudah kehabisan saki baki kekuatan dalam diri. Dalam keadaan tenat sebegini aku memerlukan seseorang untuk aku peluk, aku nak menangis sepuas-puasnya. Aku dah x mampu berlagak kuat depan semua orang.

Aku terlalu takut untuk memaklumkan berita buruk kepada keluarga aku, Aku xnak teman-teman rapat aku terasa terkongkong dengan dugaan yang menimpa diri aku, aku tidak merasa kepuasan sepenuhnya dengan meluahkan masalah dengan orang yang aku tidak kenal, aku hanya mampu menukil kronologi kisah terfaktab aku di medium ini kerana aku dah tidak kuat. Aku bukan selfish aku cuma ego xnak terima simpati daripada orang sekeliling walaupun sebenarnya simpati dan empati yang aku perlukan selama ini untuk aku terus kuat.

Some secrets are hard to tell and hard to keep. As much as I’m grateful for everyone around me, I am never feel bad for fighting alone. But friends and family, at this point I really need u guys. Also dear friends, family and my dear supervisor, maaf andai aku tidak berlaku jujur selama ini. Maaf aku terlalu sayang hubungan silaturahim kita, Maaf jika kalian terasa dengan tindakan aku. Berdiam diri dan memendam segalanya hanya pilihan yang aku ada. Memahami itu satu daripada kunci kepada ukhwah. Aku akan memahami segala reaksi daripada kalian dan aku juga berharap kalian akan cuba memahami tindakan aku ini. Bukan mudah bagi aku untuk berlagak sihat dan normal di hadapan kalian. 2 tahun aku memendam sendirian bukanlah satu usaha yang senang. Maaf.

– MS A.Rm

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit